1 Hai anakku, jika engkau menjadi penjamin bagi jiranmu, dan jika engkau membuat perjanjian jaminan dengan orang asing;
2 jika engkau terjerat oleh kata-kata mulutmu, dan terbelenggu oleh pengucapan mulutmu,
3 maka buatlah demikian, hai anakku dan lepaskanlah dirimu, kerana engkau telah jatuh ke dalam genggaman jiranmu. Pergilah, rendahkanlah dirimu, dan rayulah bersungguh-sungguh kepada jiranmu itu.
4 Jangan biarkan matamu tertidur, atau kelopak matamu mengantuk.
5 Lepaskanlah dirimu seperti kijang daripada tangan pemburu, dan seperti burung daripada tangan pemikat.
6 Pergilah kepada semut, hai pemalas, perhatikanlah cara hidupnya dan jadilah arif.
7 Meskipun tidak punya pemimpin, pengawas, ataupun penguasa,
8 ia menyediakan makanannya pada musim panas, dan mengumpulkan perbekalan pada musim menuai.
9 Berapa lama lagi engkau akan berbaring, hai pemalas? Bilakah engkau akan bangun daripada tidurmu?
10 “Tidur sebentar, mengantuk sebentar, lipat tangan sebentar untuk berbaring.”
11 Maka kemiskinan mendatangimu seperti pencuri, dan kesempitan seperti orang bersenjata.
12 Seorang durjana dan seorang manusia yang tidak berguna, berjalan ke mana-mana dengan mulut mungkar.
13 Dia mengenyitkan matanya, memberikan isyarat dengan kakinya dan berisyarat dengan jarinya.
14 Dengan tipu muslihat yang menulari hatinya, dia sentiasa merancang kejahatan, menimbulkan pertengkaran.
15 Kerana itu bencana akan datang menimpanya dengan tiba-tiba, dan sekonyong-konyong sahaja dia akan dihancurkan tanpa dapat dipulihkan lagi.
16 Ada enam hal yang dibenci TUHAN, bahkan tujuh perkara yang menjadi kekejian bagi-Nya:
17 Mata sombong, lidah dusta, tangan yang menumpahkan darah orang tidak bersalah,
18 hati yang merancang hal-hal durjana, kaki yang cepat berlari menuju kejahatan,
19 saksi dusta yang bertutur bohong, dan orang yang menimbulkan perbalahan antara saudara.
20 Hai anakku, peganglah teguh perintah ayahmu, dan jangan abaikan ajaran ibumu.
21 Tambatkanlah sentiasa semua didikan itu dalam hatimu, dan kalungkanlah pada lehermu.
22 Apabila engkau berjalan, segalanya itu akan memimpinmu, apabila engkau berbaring, segalanya akan menjagamu, dan apabila engkau bangun, segalanya akan menyapamu.
23 Kerana perintah itu pelita, dan ajaran itu cahaya, dan teguran yang mendidik adalah jalan kehidupan.
24 Dengan demikian, engkau akan terpelihara daripada perempuan yang jahat, dan daripada pujuk rayu perempuan penzina.
25 Janganlah hatimu mendambakan kecantikannya, jangan biarkan dia menjebakmu dengan kelopak matanya.
26 Kerana perempuan lucah dapat disewa dengan sepotong roti, tetapi perempuan penzina memburu nyawa yang berharga.
27 Dapatkah seorang lelaki membawa api di dalam dada bajunya, tanpa api menjilat pakaiannya?
28 Jika seseorang berjalan di atas bara, masakan kakinya tidak terbakar?
29 Demikian jugalah orang yang mencabul isteri jirannya. Sesiapa pun yang menyentuhnya tidak akan lepas daripada hukuman.
30 Seorang pencuri tidak dihina jika dia mencuri sesuatu untuk memuaskan nafsunya ketika dia lapar.
31 Tetapi jika tertangkap maka hendaklah dia mengganti tujuh kali ganda, dan hendaklah dia menyerahkan segala harta benda di dalam rumahnya.
32 Tetapi orang yang berzina dengan isteri orang lain memang orang yang tidak berakal budi; dia membinasakan dirinya sendiri dengan berbuat demikian.
33 Yang diperolehnya ialah luka dan aib, dan celanya tidak terhapuskan.
34 Cemburu memang membuat lelaki berang, dan pada hari pembalasan dia tidak akan berbelas kasihan.
35 Dia tidak akan mengendahkan tebusan apa pun, dan tidak akan menerima pemberianmu sebanyak mana pun.