1 Untuk pemimpin muzik. Dengan alat-alat muzik bertali. Renungan Daud. Dengarlah doaku, ya Allah, dan jangan palingkan wajah-Mu daripada rayuanku;
2 berilah perhatian-Mu kepadaku, dengarlah kata-kataku. Aku gelisah menderita, aku merintih kuat
3 kerana mendengar suara musuh, kerana ditindas orang zalim; mereka membawa kesusahan kepadaku dan mereka marah serta membenciku.
4 Hatiku terseksa; dan dihimpit rasa ngeri akan dahsyatnya maut.
5 Aku berasa gerun dan gementar; aku tertekan oleh ketakutan.
6 Maka aku berkata, “Kalaulah aku bersayap seperti merpati, aku akan terbang ke mana-mana mencari damai,
7 bahkan aku akan pergi jauh dan tinggal di gurun. Sela
8 Aku akan segera melarikan diri, daripada angin kencang dan ribut.”
9 Binasakanlah mereka, ya Tuhan, kelirukan lidah mereka, kerana aku telah melihat keganasan dan rusuhan di kota.
10 Siang malam mereka mengelilingi kota; melakukan kejahatan dan membawa kekacauan.
11 Pembinasaan berlaku di tengah-tengah kota; penindasan dan penipuan menetap di jalan-jalan rayanya.
12 Bukan musuh yang mengecamku, kalau musuh, masih dapat kutanggung; bukan pembenciku yang bangkit menentangku, kalau pembenciku, masih dapat aku bersembunyi.
13 Tetapi kamu yang melakukannya, rakan sebayaku, temanku, kawanku,
14 dahulu kita berbincang mesra dan berjalan seiring ke Rumah Allah di tengah-tengah orang ramai.
15 Biar maut menyambar mereka; biar mereka turun hidup-hidup ke neraka, kerana kejahatan meliputi tempat tinggal dan perhimpunan mereka.
16 Aku akan berseru kepada Allah, dan TUHAN akan menyelamatkan aku.
17 Petang, pagi dan tengah hari aku akan berdoa dan meratap kuat, dan Dia akan mendengar suaraku.
18 Dia telah menyelamatkan nyawaku dan membawaku pulang dengan selamat dari medan perang, padahal musuhku begitu ramai.
19 Allah yang wujud selama-lamanya, Allah akan mendengar dan menghukum mereka – Sela kerana mereka tidak mengubah kelakuan, nyatalah mereka tidak takut akan Allah.
20 Bekas sahabatku itu telah menyerang orang yang hidup berbaik-baik dengannya; dia telah memungkiri janjinya.
21 Kata-katanya halus lunak, tetapi niat perang tersembunyi dalam hatinya; kata-katanya lemah-lembut, tetapi serupa pedang terhunus.
22 Serahkanlah bebanmu kepada TUHAN Dia akan menolongmu; Dia tidak akan membiarkan orang yang benar dikalahkan.
23 Engkau, ya Allah, akan membinasakan orang zalim ke dalam lembah kehancuran; orang yang suka menumpahkan darah dan menipu tidak akan mencapai separuh usia. Aku akan percaya kepada-Mu.