1 Mazmur Daud. Sokonglah perjuanganku, ya TUHAN, dengan orang yang memerangiku; lawanlah mereka yang melawanku.
2 Gunakan perisai dan baju zirah-Mu; dan bangkitlah menolongku.
3 Hunuslah lembing dan hentikan mereka daripada memburuku. Katakan kepada jiwaku, “Aku penyelamatanmu.”
4 Malukan dan cemarkan nama orang yang hendak meragut nyawaku; dan mereka yang merancang untuk mencederakanku akan berundur dan kelam-kabut.
5 Jadikan mereka seperti sekam ditiup angin, dan perintahkan malaikat TUHAN menghalau mereka;
6 jadikan jalan yang ditempuh mereka gelap dan licin, dan perintahkan malaikat TUHAN memburu mereka.
7 Kerana tanpa sebab mereka memasang jerat tersembunyi untukku dan tanpa sebab mereka gali lubang untuk meragut nyawaku,
8 biar kebinasaan menimpa mereka dengan tiba-tiba – dan jerat yang disembunyikan mereka itu menjerat diri mereka sendiri, biar mereka terjerumus lalu binasa.
9 Maka jiwaku akan bersukacita dengan pertolongan TUHAN, akan bergembira dengan penyelamatan-Nya.
10 Semua tulangku akan berkata, “TUHAN, tiada siapa seperti-Mu, yang menyelamatkan orang daif daripada orang yang terlalu kuat bagi mereka, ya, menyelamatkan orang miskin dan sesak daripada orang yang merampas milik mereka.”
11 Saksi-saksi yang berniat jahat menuduhku; menyoalku tentang perkara yang tidak kuketahui.
12 Mereka membalas kebaikanku dengan kejahatan sehingga jiwaku berduka.
13 Sedangkan ketika mereka sakit dahulu, aku telah berkabung; aku merendahkan diriku dengan berpuasa. Dan doaku sentiasa kembali ke hatiku.
14 Aku mundar-mandir seolah-olah mereka sahabat atau saudaraku. Aku tunduk bersedih, bagaikan berkabung untuk ibu.
15 Namun demikian, apabila aku dalam kesusahan, mereka bergembira dan berhimpun; mereka berkumpul menyerangku sedangkan aku tidak tahu. Mereka memfitnahku dengan ganas terus-menerus.
16 Bersama pencemuh mungkar yang mencemuh di majlis jamuan, mereka menggertakkan gigi terhadapku.
17 Ya Tuhan, berapa lamakah Engkau akan melihat sahaja? Selamatkanlah aku daripada binasa di tangan mereka, dan nyawaku yang satu-satunya daripada mulut singa.
18 Aku akan mengucapkan syukur kepada-Mu di perhimpunan besar; aku akan memuji-Mu di hadapan khalayak ramai.
19 Jangan benarkan mereka yang memusuhiku tanpa alasan bergembira kerana kekalahanku; jangan benarkan mereka yang membenciku tanpa sebab berkenyitan riang.
20 Mereka tidak bertutur untuk kesejahteraan, tetapi merancang kepalsuan dan penipuan terhadap orang yang hidup damai.
21 Mereka juga telah bersuara lantang menuduhku dengan berkata, “Aha, aha! Kami telah melihatnya dengan mata kami.”
22 Ini telah Kaulihat, ya TUHAN; janganlah berdiam diri. Ya Tuhan, janganlah jauh daripadaku.
23 Bangkit dan pertahankanlah kebenaranku! Sokong perjuanganku, Ya Allahku dan ya Tuhanku.
24 Ya TUHAN, ya Allahku, pertahankanlah aku menurut perbenaran-Mu; dan jangan biarkan mereka bergembira kerana kekalahanku.
25 Jangan biarkan mereka berkata dalam hati, “Aha, inilah yang kita mahu!” Jangan biarkan mereka berkata, “Kita telah menghapuskannya.”
26 Malukan dan kelirukanlah mereka yang bergembira kerana penderitaanku; aibkan dan cemarkan nama mereka yang mengangkat diri menentangku.
27 Gembirakan hati sehingga bersorak girang mereka yang menyokong perjuanganku yang benar; biar mereka berkata setiap waktu, “Muliakan TUHAN, yang meredai kejayaan hamba-Nya.”
28 Lidahku akan mengisytiharkan perbenaran-Mu serta memuji-Mu sepanjang hari.