1 Renungan Daud. Diberkatilah orang yang diampuni kemungkarannya, dan yang dihapuskan dosa-dosanya.
2 Diberkatilah orang yang dosanya tidak diperhitungkan TUHAN dan yang tiada penipuan dalam hatinya.
3 Ketika aku membisu, tulang-tulangku kian uzur akibat rintihanku sepanjang hari.
4 Kerana siang malam hukuman-Mu berat menekanku; tenagaku hilang bagaikan kemarau musim panas. Sela
5 Lalu aku mengakui dosaku kepada-Mu dan tidak menyembunyikan kejahatan dosaku. Kataku, “Aku akan mengakui keingkaranku kepada TUHAN” – maka Engkau mengampunkan dosaku. Sela
6 Oleh itu, setiap orang yang warak hendaklah berdoa kepada-Mu ketika Engkau masih dapat dicari; apabila banjir besar melanda, tentulah dia akan terselamat.
7 Engkau tempatku berlindung; Engkau akan menaungiku daripada kesusahan Engkau akan memeliharaku dengan nyanyian penyelamatan. Sela
8 Aku akan mendidik dan mengajarmu ke jalan yang benar; Aku akan membimbingmu dengan mata-Ku.
9 Janganlah berkelakuan seperti kuda atau keldai, yang tidak berakal dan perlu dipasangkan tali serta kekang supaya menurut kata.
10 Orang zalim akan menanggung pelbagai penderitaan, tetapi orang yang percaya kepada TUHAN akan dilimpahi kasih setia.
11 Bersukacitalah dalam TUHAN dan bergembiralah, wahai orang yang benar; dan bersoraklah dengan girang, wahai semua orang yang tulus hati!