1 Untuk pemimpin muzik. Mazmur Daud, hamba TUHAN. Dia telah menuturkan kata-kata dalam lagu ini kepada TUHAN pada hari TUHAN menyelamatkannya daripada semua musuhnya dan daripada Saul. Kata Daud: Aku mengasihi-Mu, ya TUHAN, Engkaulah kekuatanku.
2 TUHAN ialah batu pejalku, kubuku dan penyelamatku; Allahku batu pejalku, kepada-Nya aku berlindung. Dialah perisaiku, tanduk penyelamatanku, benteng pertahananku.
3 Aku berseru kepada TUHAN yang patut dipuji, maka aku pun diselamatkan daripada musuhku.
4 Seksa maut telah mengepungku; curahan banjir kebinasaan mengerikanku.
5 Seksa alam kubur melilit aku, rahang jerat maut mendesak aku.
6 Dalam kesesakanku aku berseru kepada TUHAN; Aku meraung kepada Allahku. Dia mendengar suaraku dari Bait Suci-Nya; raunganku sampai kepada pendengaran-Nya.
7 Maka bumi pun gempa dan gementar, tapak bukit-bukau bergegar dan bergoncang; kerana Dia murka.
8 Asap naik dari hidung-Nya, dan api daripada mulut-Nya menghanguskan, dan bara menyala keluar daripada-Nya.
9 Dia menekuk langit lalu turun, kelam pekat ada di bawah kaki-Nya.
10 Dia terbang mengenderai malaikat kerubin; Dia melayang di sayap angin.
11 Dia menjadikan kegelapan di lelangit di sekeliling-Nya: diselubungi timbunan air kelam dan awan tebal di udara.
12 Daripada cahaya di hadapan-Nya awan tebal berlalu, dengan hujan batu dan arang yang menyala.
13 TUHAN mengguntur dari langit; Yang Maha Tinggi memperdengarkan panah suara-Nya.
14 Dia melepaskan anak-anak panah-Nya sehingga musuh bertempiaran, Dia memancarkan kilat sabung-menyabung lalu menumpaskan mereka.
15 Maka saluran di dasar lautan terserlah dan asas bumi terdedah akibat kemurkaan-Mu, ya TUHAN, dan hembusan hebat nafas-Mu.
16 Dia menghulurkan tangan-Nya dari langit, Dia menarikku keluar daripada pelbagai bencana yang menenggelamkan.
17 Dia menyelamatkanku daripada musuhku yang kuat, daripada mereka yang membenciku, kerana mereka terlalu perkasa bagiku.
18 Mereka menyerangku ketika aku dalam kesusahan, tetapi TUHAN menolongku.
19 Dia membawaku ke tempat yang luas; Dia menyelamatkanku kerana Dia berkenan kepadaku.
20 TUHAN memberiku ganjaran kerana aku melakukan yang benar; Dia menggantikan deritaku dengan rahmat kerana tanganku bersih daripada dosa.
21 Kerana aku telah mengikut jalan TUHAN; dan tidak menyeleweng daripada Allahku dengan melakukan kejahatan.
22 Segala hukum-Nya ada di hadapanku sebagai panduan; dan aku tidak mengetepikan ketetapan-Nya.
23 Di hadirat-Nya aku tidak bercela dan aku mengatasi kejahatan dalam diriku.
24 Maka TUHAN memberiku ganjaran kerana aku melakukan yang benar, kerana Dia tahu tanganku bersih daripada dosa.
25 Kepada orang yang berbelas kasihan, Engkau memperlihatkan belas kasihan-Mu, kepada orang yang tidak bercela, Engkau memperlihatkan diri-Mu tidak bercela,
26 kepada orang yang suci Engkau memperlihatkan kesucian-Mu, kepada orang yang menipu Engkau memperlihatkan kearifan-Mu.
27 Engkau menyelamatkan orang yang rendah diri tetapi akan menundukkan orang yang angkuh.
28 Engkau, ya TUHAN, akan menyalakan lampuku; TUHAN, Allahku akan menerangi kegelapanku.
29 Dengan kekuatan daripada-Mu aku dapat melawan musuh yang ramai; dengan kekuatan daripada Allahku aku dapat melompati tembok.
30 Jalan Allah itu sempurna; firman TUHAN terbukti benar. Dialah perisai pelindung semua yang bernaung kepada-Nya.
31 Tiada Allah melainkan TUHAN, tiada Batu Pejal melainkan Allah kita.
32 Allah yang memberiku kekuatan berjuang dan menjadikan jalan hidupku sempurna.
33 Dia menguatkan kakiku seperti kaki rusa; dan memantapkan jejakku di pergunungan.
34 Dia melatih tanganku berperang; berupaya melengkungkan busur gangsa.
35 Engkau telah memberiku perisai penyelamatan-Mu, tangan kanan-Mu telah memberiku kekuatan; kelunakan-Mu menjadikan aku besar.
36 Engkau meluaskan jalan yang kutempuh, supaya kakiku tidak tergelincir.
37 Aku telah memburu musuhku dan berdepan dengan mereka; aku tidak berpatah balik hingga kuhapuskan mereka.
38 Aku telah melukakan mereka sehingga mereka tidak berdaya bangkit lagi; mereka telah rebah di bawah kakiku.
39 Kerana Engkau telah memberiku kekuatan berperang; Engkau telah menundukkan di bawahku mereka yang bangkit menyerangku dahulu.
40 Engkau telah menyerahkan nyawa musuhku ke tanganku, supaya aku membinasakan mereka yang membenciku.
41 Mereka berteriak, tetapi tiada siapa menyelamatkan mereka – malah mereka merayu kepada TUHAN, tetapi Dia tidak menyahut mereka.
42 Lalu aku menghancurkan mereka seperti debu ditiup angin; aku menghumbankan mereka seperti sampah-sarap di jalan.
43 Engkau telah menyelamatkan aku daripada serangan; Engkau menjadikan aku pemerintah bangsa asing; bangsa yang tidak kukenali akan tunduk kepadaku.
44 Sebaik-baik mereka mendengar tentangku, mereka taat kepadaku; orang asing itu tunduk kepadaku.
45 Mereka menjadi putus asa; dan datang dengan ketakutan dari tempat persembunyian.
46 TUHAN hidup selama-lamanya! Segala puji bagi TUHAN, Batu Pejalku! Segala kemuliaan bagi Allah, Penyelamatku!
47 Allah yang membalas kejahatan orang terhadapku, dan menundukkan bangsa asing di bawahku,
48 Dia menyelamatkanku daripada musuhku. Engkau, ya TUHAN, mengangkatku mengatasi mereka yang bangkit menyerangku; Engkau telah menyelamatkanku daripada manusia yang ganas.
49 Maka itu aku akan mengucap syukur kepada-Mu, ya TUHAN, dalam kalangan bangsa asing; dan menyanyi memuji nama-Mu.
50 TUHAN telah memberi penyelamatan besar kepada orang yang dijadikan-Nya raja; Dia melimpahkan kasih setia kepada orang yang diurapi-Nya, kepada Daud, sampai anak cucu selama-lamanya.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Mazmur 18
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Mazmur 18

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV