1 Aku kasih akan TUHAN, kerana Dia telah mendengar suaraku; dan permohonanku.
2 Kerana Dia telah menundukkan telinga-Nya ke arahku, maka aku akan menyeru-Nya seumur hidupku.
3 Azab maut telah mengelilingiku, dan seksa kubur telah mencengkamku; aku menanggung kesusahan dan kedukaan.
4 Lalu aku menyeru nama TUHAN: “Ya TUHAN, aku merayu kepada-Mu, selamatkanlah jiwaku!”
5 TUHAN penuh kasih kurnia serta benar; ya, Allah kita penuh belas kasih.
6 TUHAN memelihara orang yang tulus; ketika aku ditindas, Dia menyelamatkan aku.
7 Bertenanglah kembali, wahai jiwaku, kerana TUHAN baik kepadamu.
8 Engkau telah melepaskan jiwaku daripada maut, mataku daripada air mata, dan kakiku daripada tergelincir,
9 aku akan melangkah di hadapan TUHAN di alam orang yang hidup.
10 Aku percaya; maka aku berkata, “Aku ditimpa keazaban teruk.”
11 Dalam kedukaanku, aku berkata, “Semua manusia pendusta.”
12 Apakah yang akan kupersembahkan kepada TUHAN untuk segala kebaikan-Nya kepadaku?
13 Aku akan mengangkat cawan penyelamatan dan menyeru nama TUHAN.
14 Aku akan menunaikan janjiku kepada TUHAN di hadapan seluruh umat-Nya.
15 Sungguh tinggi nilainya di mata TUHAN kematian orang warak-Nya.
16 Ya TUHAN, sesungguhnya aku hamba-Mu; aku hamba-Mu seperti ibuku dahulu; Engkau telah membukakan ikatanku.
17 Aku akan mempersembahkan kepada-Mu korban kesyukuran dan akan menyeru nama TUHAN.
18 Aku akan menunaikan janjiku kepada TUHAN di hadapan seluruh umat-Nya,
19 di balai-balai rumah TUHAN – di tengah-tengahmu, wahai Yerusalem. Pujilah TUHAN!

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Mazmur 116
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Mazmur 116

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV