1 Bukan kepada kami, ya TUHAN, bukan kepada kami tetapi kepada nama-Mu berilah kemuliaan, kerana kasih-Mu, kerana kesetiaan-Mu.
2 Mengapa bangsa-bangsa harus berkata, “Di mana Allah mereka?”
3 Namun Allah kami di syurga; Dia melakukan apa yang disukai-Nya.
4 Berhala mereka daripada perak dan emas, buatan tangan manusia.
5 Berhala itu ada mulut tetapi tidak berkata-kata, ada mata, tetapi tidak melihat;
6 ada telinga, tetapi tidak mendengar, ada hidung, tetapi tidak menghidu;
7 ada tangan, tetapi tidak memegang, ada kaki, tetapi tidak berjalan; juga tidak bersuara dari kerongkongnya.
8 Orang yang membuatnya serupalah dengannya, demikian juga semua yang percaya kepadanya.
9 Hai kaum Israel, percayalah kepada TUHAN – Dialah penolong dan perisai pelindungmu.
10 Hai keturunan Harun, percayalah kepada TUHAN – Dialah penolong dan perisai pelindungmu.
11 Kamu yang takut akan TUHAN, percayalah kepada-Nya – Dialah penolong dan perisai pelindungmu.
12 TUHAN ingat kepada kita, Dia akan memberkati kita: Dia akan memberkati keturunan kaum Israel, Dia akan memberkati keturunan kaum Harun,
13 Dia akan memberkati semua yang takut akan TUHAN – baik yang berkedudukan rendah atau tinggi.
14 Semoga TUHAN memberimu semakin banyak keturunan, kamu dan anak-anakmu.
15 Semoga kamu diberkati oleh TUHAN, yang menjadikan langit dan bumi.
16 Langit, malah seluruh angkasa, ialah milik TUHAN, tetapi bumi telah diberikan-Nya kepada anak-anak manusia.
17 Orang mati tidak memuji TUHAN, orang yang sudah turun ke alam sunyi;
18 tetapi kita akan menyanjung TUHAN, dari saat ini dan untuk selama-lamanya. Pujilah TUHAN!