1 Untuk pemimpin muzik. Mazmur Daud. Janganlah membisu, ya Allah yang kupuji,
2 kerana mulut orang zalim dan mulut orang berdusta telah dibuka mengataku; mereka telah memfitnahku dengan lidah berdusta.
3 Mereka juga telah mengelilingiku dengan kata-kata kebencian; dan memerangiku tanpa sebab.
4 Sebagai balasan kasihku mereka menjadi pendakwaku, namun aku menumpukan diriku kepada berdoa.
5 Demikianlah mereka membalas kebaikanku dengan kejahatan, dan kasihku dengan kebencian.
6 Letakkanlah dia di bawah kuasa orang durjana; dan biarlah seorang pendakwa berdiri di sebelah tangan kanannya.
7 Apabila dia dihakimi, biarlah dia didapati bersalah, dan biarlah doanya menjadi hukuman.
8 Biarlah umurnya pendek; dan orang lain mengambil jawatan kepimpinannya.
9 Biarlah anak-anaknya menjadi anak yatim dan isterinya menjadi balu.
10 Biarlah anak-anaknya menjadi pengemis tanpa tempat berteduh; biarlah mereka mencari makan dari tempat-tempat mereka yang telah runtuh.
11 Biarlah pemiutang merampas segala hartanya; dan biarlah orang lain merompak hasil jerihnya.
12 Biarlah tiada siapa pun mengasihaninya, biarlah tiada seorang pun menyukai anak-anaknya yang menjadi yatim.
13 Biarlah semua benihnya dimusnahkan, dan nama mereka dilupakan oleh keturunan akan datang.
14 Biarlah dosa nenek moyangnya diingati di hadapan TUHAN; dan janganlah dosa ibunya diampunkan.
15 Biarlah dosa mereka sentiasa diingati TUHAN, supaya Dia meluputkan mereka daripada ingatan manusia di bumi.
16 Kerana dia tidak teringat hendak berbuat baik, tetapi dia menganiaya orang yang miskin dan sesak malah dia membunuh orang yang merana.
17 Kerana dia suka menyumpah – biarlah sumpahnya berbalik kepadanya; kerana dia tidak suka memberkati – biarlah berkat jauh daripadanya.
18 Kerana dia membiasakan dirinya dengan sumpahan seperti pakaian; biarlah sumpahan itu masuk ke tubuhnya seperti air, dan ke tulangnya seperti minyak.
19 Biarlah sumpahan itu seperti pakaian yang menyalutinya, dan tali pinggang yang sentiasa dipakainya.
20 Biarlah ini menjadi balasan TUHAN kepada mereka yang mendakwaku, dan kepada mereka yang menuturkan kejahatan tentangku.
21 Tetapi Engkau, ya ALLAH, ya Tuhanku, tolonglah aku demi nama-Mu; kerana Engkau pengasihan, selamatkanlah aku.
22 Kerana aku miskin dan sesak, dan memerlukan pertolongan, dan hatiku luka dalamku.
23 Aku kian lenyap seperti bayang-bayang ketika memanjang; aku dikebas seperti belalang.
24 Lututku lemah kerana berpuasa; dan tubuhku tinggal kulit dan tulang.
25 Aku juga telah menjadi celaan orang; apabila mereka melihatku, mereka menggeleng-geleng kepala.
26 Tolonglah aku, ya TUHAN, Allahku; selamatkanlah aku demi kasih-Mu.
27 Supaya mereka tahu bahawa ini kerja tangan-Mu, bahawa Engkau, ya TUHAN, yang melakukannya.
28 Biarlah mereka menyumpah, tetapi Engkau memberkati; apabila mereka bangkit, biarlah mereka berasa malu, tetapi biarlah hamba-Mu bergembira.
29 Biarlah pendakwa-pendakwaku disaluti malu, biarlah mereka melitupi tubuh dengan keaiban seperti jubah.
30 Aku akan memberi pujian tinggi kepada TUHAN dengan lidahku; ya, aku akan memuji-Nya dalam kalangan orang ramai.
31 Kerana Dia akan berdiri di sebelah kanan orang miskin, untuk menyelamatkannya daripada orang yang menjatuhkan hukum mati.