1 Pujilah TUHAN, wahai jiwaku. Ya Allahku, Engkau Maha Besar; Engkau penuh kehormatan dan keagungan.
                                                                                                                            2 Engkau menyaluti diri-Mu dengan cahaya seperti pakaian; Engkau merentangkan angkasa seperti tirai.
                                                                                                                            3 Dia mengasaskan lantai ruang-ruang atas-Nya di perairan. Dia menjadikan awan pedati-Nya; Dia berjalan di atas sayap angin.
                                                                                                                            4 Dia menjadikan para malaikat-Nya sebagai roh, para hamba-Nya nyala api.
                                                                                                                            5 Engkau yang meletakkan asas bumi; supaya tidak berganjak selama-lamanya.
                                                                                                                            6 Engkau meliputinya dengan lautan dalam seperti dengan pakaian; perairan itu berdiri di atas gunung.
                                                                                                                            7 Apabila Kaumurkai, ia lari, mendengar suara guruh-Mu, ia segera pergi;
                                                                                                                            8 perairan itu telah naik ke atas pergunungan, ia turun ke pelembahan, ke tempat yang Kauasaskan baginya.
                                                                                                                            9 Engkau telah menentukan sempadan yang tidak boleh dilaluinya; supaya ia tidak kembali meliputi bumi.
                                                                                                                            10 Dia menghantar mata air ke pelembahan; yang mengalir di antara bukit-bukau.
                                                                                                                            11 Mata air memberikan minuman kepada setiap binatang di padang; keldai-keldai liar menghilangkan dahaganya.
                                                                                                                            12 Di sisinya burung-burung angkasa membuat sarang; dan menyanyi di cabang-cabang pokok.
                                                                                                                            13 Dia mengairi bukit-bukau dari ruang-ruang atas-Nya; bumi berpuas dengan buah hasil kerja-Nya.
                                                                                                                            14 Dia membuat rumput tumbuh untuk lembu ternakan, dan pelbagai tanaman bagi kegunaan manusia – untuk membolehkannya menghasilkan makanan dari bumi:
                                                                                                                            15 air anggur yang menyukakan hati manusia, minyak untuk menyerikan mukanya, dan roti yang meneguhkan hati manusia.
                                                                                                                            16 Pokok-pokok TUHAN segar dan subur, pokok-pokok araz di Lebanon yang ditanam-Nya.
                                                                                                                            17 Di situ burung-burung membuat sarangnya; burung ranggung tinggal di pokok sanubar.
                                                                                                                            18 Bukit-bukit tinggi untuk kambing liar; curaman-curaman tempat landak bernaung.
                                                                                                                            19 Dia menentukan bulan untuk menandakan musim, matahari tahu bila waktu untuknya terbenam.
                                                                                                                            20 Engkau mencipta kegelapan, maka menjadi malam, masa untuk binatang-binatang hutan merayau.
                                                                                                                            21 Singa-singa muda mengaum mencari mangsa dan memohon makannya daripada Allah.
                                                                                                                            22 Apabila matahari terbit; mereka berhimpun lalu baring di gua mereka.
                                                                                                                            23 Manusia keluar ke tempat kerjanya, dan memerah tenaga hingga lewat petang.
                                                                                                                            24 Ya TUHAN, sungguh beraneka hasil kerja-Mu! Dengan bijaksana Engkau telah mencipta segala-galanya; bumi penuh dengan milik-Mu.
                                                                                                                            25 Laut yang besar dan luas, yang tidak terkira banyak isi di dalamnya – makhluk hidup yang kecil dan besar.
                                                                                                                            26 Di situ kapal-kapal belayar, dan Lewiatan yang telah Kaujadikan untuk bermain di sana.
                                                                                                                            27 Semuanya menantikan-Mu bahawa Engkau akan memberi mereka makanan pada waktu yang ditentukan.
                                                                                                                            28 Apa yang Kauberikan, mereka kumpulkan; Engkau membuka genggaman tangan-Mu, penuh dengan segala yang baik.
                                                                                                                            29 Engkau menyembunyikan wajah-Mu, mereka menanggung kesusahan; Engkau mengambil nafas mereka, lalu mereka mati dan kembali menjadi debu.
                                                                                                                            30 Engkau menghantar Roh-Mu, lalu mereka dicipta, dan Engkau membaharui muka bumi.
                                                                                                                            31 Semoga kemuliaan TUHAN kekal selama-lamanya; semoga TUHAN bergembira dengan hasil kerja-Nya –
                                                                                                                            32 Dia memandang bumi, lalu bumi gementar, Dia menyentuh bukit, lalu bukit berasap.
                                                                                                                            33 Aku akan menyanyi untuk TUHAN sepanjang hayatku; aku akan menyanyikan pujian untuk Allahku selagi aku hidup.
                                                                                                                            34 Semoga renunganku baik di sisi-Nya, aku akan bersukacita kerana TUHAN.
                                                                                                                            35 Semoga orang berdosa dihapuskan dari bumi dan orang zalim tiada lagi. Pujilah TUHAN, wahai jiwaku. Pujilah TUHAN!