1 Setelah siang, semua ketua imam dan tua-tua berpakat untuk membunuh Yesus.
2 Mereka menyuruh orang mengikat-Nya. Kemudian mereka membawa-Nya lalu menyerahkan-Nya kepada gabenor, Pontius Pilatus.
3 Apabila Yudas yang mengkhianati-Nya melihat bahawa Yesus telah dijatuhi hukum mati, dia menyesali perbuatannya lalu mengembalikan tiga puluh keping wang perak ke hadapan ketua-ketua imam dan tua-tua.
4 Yudas berkata, “Aku berdosa menyebabkan tumpahnya darah orang yang tidak bersalah.” Kata mereka, “Apa kami peduli? Tanganilah sendiri!”
5 Yudas pun mencampakkan keping-keping wang perak itu ke dalam Bait Suci lalu pergi menggantung dirinya.
6 Ketua-ketua imam memungut wang perak itu lalu berkata, “Menurut hukum, kita tidak boleh memasukkan wang ini ke dalam perbendaharaan rumah ibadat, kerana wang ini harga darah.”
7 Mereka bermesyuarat lalu menggunakan wang itu untuk membeli ladang tukang tembikar bagi dijadikan tempat perkuburan orang asing.
8 Oleh itu, padang tersebut dipanggil Padang Darah hingga hari ini.
9 Dengan demikian terlaksanalah apa yang dikatakan oleh Nabi Yeremia: “Maka mereka pun mengambil tiga puluh keping perak itu, harga Dia yang telah dinilai oleh anak-anak Israel,
10 lalu membeli tanah tukang tembikar seperti yang diperintahkan Tuhan kepadaku.”
11 Gabenor itu bertanya kepada Yesus yang berdiri di hadapannya, “Adakah Engkau Raja orang Yahudi?” Yesus berkata, “Begitulah seperti katamu.”
12 Ketika Dia dituduh oleh ketua-ketua imam dan tua-tua, Dia tidak berkata suatu apa.
13 Kemudian Pilatus berkata kepada-Nya, “Tidakkah Kamu dengar betapa banyaknya tuduhan terhadap-Mu dalam kesaksian mereka?”
14 Tetapi Yesus tidak berkata sepatah pun, sehingga amat hairan gabenor melihat-Nya.
15 Pada waktu perayaan, lazimnya gabenor membebaskan dari penjara seorang yang dikehendaki oleh orang ramai.
16 Pada masa itu ada seorang banduan yang terkenal jahatnya, bernama Barabas.
17 Setelah mereka berhimpun, Pilatus bertanya, “Yang mana kamu mahu aku bebaskan dan serahkan ke tanganmu, Barabas atau Yesus yang dipanggil Kristus?”
18 Gabenor itu tahu bahawa mereka telah menyerahkan Yesus kepadanya kerana iri hati.
19 Ketika Pilatus sedang duduk di atas kerusi penghakiman, isterinya berkirim pesan kepadanya, “Jangan apa-apakan orang yang tidak bersalah; hari ini aku banyak menanggung azab dalam mimpi kerana-Nya.”
20 Tetapi ketua-ketua imam dan tua-tua dapat meyakinkan orang ramai supaya meminta Barabas dibebaskan dan Yesus dibunuh.
21 Gabenor itu berkata kepada mereka, “Yang mana antara dua orang ini kamu mahu aku bebaskan dan serahkan ke tanganmu?” Mereka menjawab, “Barabas!”
22 Pilatus bertanya kepada mereka, “Jadi, apa yang harus kubuat dengan Yesus yang dipanggil Kristus?” Kesemua mereka berkata kepadanya, “Salibkan Dia!”
23 Gabenor berkata, “Mengapa, apakah kejahatan yang telah dilakukan-Nya?” Tetapi mereka berseru semakin kuat, “Salibkan Dia!”
24 Apabila Pilatus melihat bahawa dia tidak dapat mempengaruhi mereka malah mereka mula hendak merusuh, dia mengambil air lalu membasuh tangannya di hadapan orang ramai itu sambil berkata, “Aku bebas daripada kesalahan menumpahkan darah orang yang baik ini. Kamu tanganilah sendiri.”
25 Kesemua mereka menjawab, “Biarlah darah-Nya tertanggung di atas kami dan zuriat kami.”
26 Pilatus pun membebaskan Barabas kepada mereka; dan setelah menyebat Yesus, dia menyerahkan-Nya untuk disalib.
27 Kemudian askar-askar gabenor membawa Yesus ke istana gabenor dan menghimpunkan seluruh pasukan tentera di situ.
28 Mereka melucutkan pakaian-Nya dan menyarungkan jubah ungu ke tubuh-Nya.
29 Mereka membuat mahkota daripada duri lalu meletakkannya di atas kepala Yesus dan menggenggamkan mensiang di tangan kanan-Nya. Kemudian mereka berlutut kepada-Nya sambil mengejek-Nya, “Hai Raja orang Yahudi!”
30 Selepas itu, mereka meludahi-Nya dan memukul kepala-Nya dengan mensiang itu.
31 Setelah selesai mempermain-mainkan-Nya, mereka melucutkan jubah ungu itu dan mengenakan semula pakaian-Nya lalu membawa-Nya untuk disalib.
32 Dalam perjalanan, mereka bertemu dengan seorang lelaki dari Kirene bernama Simon. Mereka memaksanya mengangkat kayu salib Yesus.
33 Mereka pun sampai di suatu tempat dipanggil Golgota, bermakna Tempat Tengkorak.
34 Di situ mereka memberi-Nya air anggur masam bercampur hempedu dan menyuruh-Nya minum. Tetapi setelah merasanya, Dia enggan minum.
35 Selepas itu mereka menyalib-Nya, dan membahagikan pakaian-Nya dengan membuang undi.
36 Kemudian mereka duduk berjaga di situ.
37 Di atas kayu salib Yesus mereka memaparkan tuduhan terhadap-Nya: “Inilah Yesus Raja orang Yahudi.”
38 Dua orang perompak disalib bersama-Nya, seorang di kanan dan seorang di sebelah kiri-Nya.
39 Orang yang lalu di situ mengejek-Nya. Sambil menggeleng-gelengkan kepala
40 mereka berkata, “Engkau mahu memusnahkan Bait Suci dan membinanya semula dalam tiga hari; selamatkanlah diri-Mu! Kalau Engkau Anak Allah, turunlah dari salib itu.”
41 Begitu jugalah ketua-ketua imam, ahli Taurat dan tua-tua, turut mengejek Yesus:
42 “Dia telah menyelamatkan orang lain tetapi Dia tidak dapat menyelamatkan diri-Nya. Kalau benar Dia Raja Israel, turunlah dari kayu salib itu sekarang, baru kami percaya kepada-Nya.
43 Dia percayakan Allah. Biar Allah menyelamatkan-Nya sekarang, kalau Allah mahu mengakui-Nya; kerana Dia berkata, ‘Aku Anak Allah.’ ”
44 Perompak yang disalib bersama Yesus pun mencela-Nya dengan kata-kata demikian.
45 Dari jam yang keenam hingga jam kesembilan, seluruh negeri itu diselubungi kegelapan.
46 Kira-kira jam kesembilan, Yesus berseru dengan suara yang lantang, “Eli, Eli, lama sabakhtani?” maksudnya “Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapa Kautinggalkan Aku?”
47 Beberapa orang yang berdiri di situ mendengar seruan itu berkata, “Orang ini memanggil Elia.”
48 Serta-merta seorang daripada mereka mengambil span, memenuhinya dengan air anggur masam dan meletakkannya pada mensiang lalu menawarkannya kepada Yesus sebagai minuman.
49 Yang lain berkata, “Jangan hiraukan Dia; mari kita lihat kalau Elia datang menyelamatkan-Nya.”
50 Yesus berseru dengan kuat sekali lagi, lalu menyerahkan roh-Nya dengan nafas terakhir.
51 Sejurus itu tirai Bait Suci terbelah dua dari atas ke bawah, bumi digegar gempa dan batu-batu pejal terpecah;
52 kubur-kubur terbuka; dan banyak jenazah orang suci dibangkitkan semula;
53 mereka keluar dari kubur dan selepas Yesus dibangkitkan semula, mereka masuk ke kota suci itu dan menampakkan diri kepada sebilangan besar orang di situ.
54 Apabila ketua tentera dan orangnya yang mengawal Yesus melihat gempa bumi serta kejadian-kejadian lain, mereka pun ketakutan lalu berkata, “Benarlah Dia Anak Allah!”
55 Ramai wanita yang telah mengikut Yesus dari Galilea dan melayani-Nya ada di situ, melihat dari jauh.
56 Antara mereka ialah Maria Magdalena dan Maria ibu kepada Yakobus dan Yusuf serta ibu kepada anak-anak Zebedeus.
57 Apabila malam menjelang, datang seorang hartawan dari Arimatea, bernama Yusuf, yang telah menjadi murid Yesus.
58 Dia pergi menghadap Pilatus dan memohon jenazah Yesus. Pilatus pun memerintahkan orang menyerahkan jenazah itu kepadanya.
59 Yusuf mengambil jenazah itu dan mengafankannya dengan kain linen yang bersih.
60 Dia membaringkan jenazah itu di dalam sebuah makam miliknya yang baru digalinya daripada batu pejal. Kemudian dia menggulingkan sebuah batu besar menutup pintu makam itu, lalu pergi dari situ.
61 Ketika itu Maria Magdalena ada di situ, begitu juga Maria yang seorang lagi. Mereka sedang duduk berhadapan makam itu.
62 Pada keesokannya, iaitu sehari selepas Hari Persediaan, ketua-ketua imam dan orang Farisi datang beramai-ramai menghadap Pilatus.
63 Mereka berkata, “Tuan, kami teringat, sewaktu Dia masih hidup si penipu itu ada berkata, ‘Selepas tiga hari Aku akan bangkit.’
64 Oleh itu, silalah tuan perintahkan supaya dipastikan makam-Nya tidak dapat dibuka hingga tamat hari ketiga. Kami takut kalau-kalau murid-murid-Nya datang pada waktu malam dan mencuri mayat-Nya dibawa pergi, lalu berkata kepada orang ramai, ‘Dia telah bangkit daripada kematian.’ Penipuan ini pasti lebih dahsyat daripada penipuan pertama.”
65 Pilatus berkata kepada mereka, “Bawalah beberapa pengawal. Pergilah sendiri, buat apa yang kamu fikirkan perlu untuk menjaga makam itu.”
66 Mereka pun pergi melakukannya. Mereka memperkukuh makam itu dengan memateraikannya supaya tidak dapat dibuka langsung, dan mereka menugaskan pengawal berjaga di situ.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Matius 27
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Matius 27
Studi Alkitab dengan Video LUMO, silahkan lihat LUMO Indonesia :: Matius

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV