1 Pada suatu hari Sabat, Yesus berjalan melalui ladang gandum. Para murid-Nya lapar lalu memetik bulir gandum dan memakannya.
2 Apabila orang Farisi melihat perkara ini, mereka berkata kepada Yesus, “Lihatlah, murid-Mu melakukan sesuatu yang dilarang pada hari Sabat!”
3 Yesus menjawab, “Tidakkah kamu membaca apa yang dilakukan oleh Daud apabila dia dan mereka yang ada bersamanya berasa lapar?
4 Daud masuk ke dalam Rumah Allah, lalu dia dan mereka yang ada bersamanya makan roti persembahan, meskipun perbuatan itu dilarang kerana hanya imam dibenarkan makan roti itu.
5 Tidakkah kamu baca dalam Taurat Musa betapa setiap hari Sabat imam di Bait Suci melanggar hukum hari Sabat? Namun demikian, mereka tidak disalahkan.
6 Aku berkata kepadamu: Di sini ada yang lebih besar daripada Bait Suci.
7 Ada tersurat: ‘Aku menghendaki belas kasihan, bukan korban sembelihan.’ Jika kamu benar-benar memahami ayat itu, tentulah tidak kamu salahkan orang yang tidak bersalah;
8 kerana Anak Manusia ialah Tuhan atas hari Sabat.”
9 Yesus beredar dari situ lalu masuk ke sebuah saumaah mereka.
10 Di situ ada seorang yang lumpuh sebelah tangannya. Beberapa orang cuba mencari alasan untuk menuduh Yesus. Mereka bertanya kepada-Nya, “Tidakkah menyembuhkan orang pada hari Sabat melanggar hukum?”
11 Yesus menjawab, “Apakah yang akan kamu lakukan jika seorang daripadamu mempunyai seekor domba, dan pada hari Sabat domba itu terjatuh ke dalam lubang? Tentulah kamu berusaha untuk menariknya keluar.
12 Betapa lebih berharganya manusia daripada domba? Oleh itu, berbuat baik pada hari Sabat tidak melanggar hukum.”
13 Setelah itu, Yesus berkata kepada orang yang lumpuh sebelah tangannya itu, “Hulurkanlah tanganmu.” Orang itu pun menghulurkan tangannya yang lumpuh lalu tangan itu terus sembuh sama seperti yang sebelahnya.
14 Ketika itu orang Farisi beredar dari situ lalu berpakat hendak membunuh Yesus.
15 Apabila Yesus mengetahui pakatan itu, Dia pun meninggalkan tempat itu. Ramai orang mengikut-Nya dan ramai yang disembuhkan-Nya daripada pelbagai penyakit.
16 Dia melarang keras mereka mengatakan siapa Dia.
17 Dengan demikian terjadilah firman Allah melalui Nabi Yesaya:
18 “Inilah hamba-Ku yang telah Kupilih, Yang Kukasihi dan Kuredai. Aku akan menaruh Roh-Ku ke atas-Nya, dan keadilan-Ku akan diisytiharkan-Nya kepada semua bangsa.
19 Dia tidak akan bertengkar atau membentak, ataupun bersuara lantang di jalan raya.
20 Sehelai rumput mensiang yang terkulai tidak akan dipatahkan-Nya, dan sumbu yang malap tidak akan dipadamkan-Nya, sehingga Dia berjaya menegakkan keadilan.
21 Dalam nama-Nya, bangsa-bangsa asing akan bersandar harap kepada-Nya.”
22 Setelah itu, seorang yang buta dan bisu kerana dirasuk roh iblis dibawa kepada Yesus lalu disembuhkan-Nya.
23 Orang ramai di situ ketakjuban lalu bertanya sama sendiri, “Mungkinkah Dia ini Anak Daud?”
24 Apabila orang Farisi mendengar tentang itu, mereka menjawab, “Dia dapat menghalau roh-roh iblis kerana diberi kuasa oleh Beelzebul, ketua roh iblis.”
25 Yesus mengetahui isi hati mereka lalu berkata, “Kerajaan yang berpecah belah akan hancur lebur dan kota atau keluarga yang berpecah belah tidak dapat bertahan.
26 Begitu juga, andainya Iblis mengusir Iblis, dia akan berpecah belah, dan bagaimanakah kerajaannya dapat bertahan?
27 Tetapi jika Aku menghalau roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul, maka dengan kuasa siapakah pula pengikut-pengikutmu menghalau roh-roh iblis? Oleh itu, merekalah yang akan menjadi hakimmu.
28 Tetapi jika Aku menghalau roh-roh iblis dengan Roh Allah, maka sesungguhnya kerajaan Allah sudah bertapak dalam kalanganmu.
29 Atau bagaimanakah orang dapat memasuki rumah seorang yang gagah dan merampas harta bendanya kecuali orang gagah itu dapat diikat dahulu? Selepas itu, barulah dia dapat merompak rumahnya.
30 Orang yang tidak berpihak kepada-Ku menentang-Ku; dan orang yang tidak mengumpulkan bersama-Ku mencerai-beraikan.
31 Ketahuilah: Orang yang berbuat dosa dan mengucapkan kata-kata kufur akan diampuni, tetapi mereka yang mengkufuri Roh Kudus tidak akan diampuni.
32 Orang yang menentang Anak Manusia dengan kata-katanya dapat diampuni, tetapi mereka yang menghina Roh Kudus tidak dapat diampuni, baik di dunia mahupun di akhirat.”
33 “Jika kamu ingin mendapat buah yang baik, kamu harus mempunyai pokok yang baik. Jika pokok tidak baik, buahnya pun tidak baik. Baik tidaknya pokok diketahui daripada buahnya.
34 Hai kamu bagaikan ular kapak berbisa, bagaimana dapat kamu tuturkan perkara yang baik sedangkan dirimu jahat? Yang diluahkan mulut meluap daripada hati.
35 Orang yang baik membuahkan hal-hal baik daripada khazanah simpanannya kerana hatinya penuh kebaikan. Orang yang jahat membuahkan hal-hal jahat kerana hatinya penuh kejahatan.
36 Aku berkata kepadamu: Pada hari penghakiman, setiap orang harus mempertanggungjawabkan setiap katanya yang tidak sewajarnya dituturkan.
37 Kata-katamu sendiri akan dijadikan ukuran sama ada kamu bersalah atau tidak, dan dengan kata-katamu sendiri pula kamu dihukum.”
38 Selepas itu, beberapa orang ahli Taurat dan orang Farisi berkata kepada Yesus, “Guru, kami ingin melihat suatu tanda mukjizat daripada-Mu.”
39 Tetapi Yesus menjawab, “Manusia zaman yang durjana dan tidak setia ini ingin melihat tanda mukjizat. Tetapi satu tanda pun tidak akan ditunjukkan kepadanya kecuali tanda nabi Yunus.
40 Sebagaimana Yunus tinggal tiga hari tiga malam di dalam perut ikan besar, begitu jugalah Anak Manusia akan tinggal tiga hari tiga malam di dalam perut bumi.
41 Pada hari penghakiman, orang Niniwe akan bangkit bersama orang zaman ini dan menuduhnya pula kerana orang Niniwe itu bertaubat apabila mendengar perkhabaran Yunus; dan sekarang di sini ada yang lebih besar daripada Yunus.
42 Pada hari penghakiman, Ratu Syeba dari Selatan akan bangkit bersama orang zaman ini dan menuduhnya pula, kerana dia telah datang dari hujung bumi untuk mendengar hikmah Raja Salomo; dan sekarang di sini ada yang lebih besar daripada Raja Salomo.
43 “Apabila roh jahat keluar daripada seseorang, roh itu akan menjelajahi kawasan yang tandus untuk mencari tempat berehat. Sekiranya tempat itu tidak ditemukannya,
44 roh itu akan berkata, ‘Aku akan pulang ke rumah yang telah kutinggalkan.’ Roh itu pun pulang dan mendapati rumah itu kosong, bersih dan kemas.
45 Roh itu lalu pergi memanggil tujuh roh lain yang lebih durjana daripadanya. Semuanya memasuki tubuh orang itu dan menetap di situ. Akhirnya keadaan orang itu lebih teruk daripada dahulu. Inilah yang akan terjadi kepada manusia durjana zaman ini.”
46 Sedang Yesus berbicara dengan orang ramai, ibu dan saudara-saudara-Nya datang berdiri di luar kerana hendak bercakap dengan Yesus.
47 Seorang daripada orang ramai itu memberitahu Yesus, “Ibu dan saudara-saudara-Mu ada di luar dan hendak bercakap dengan-Mu.”
48 Tetapi Yesus menjawab, “Siapakah ibu-Ku? Siapakah saudara-saudara-Ku?”
49 Dia menunjuk kepada murid-murid-Nya lalu berkata, “Inilah ibu-Ku dan saudara-saudara lelaki-Ku.
50 Sesiapa yang melakukan kehendak Bapa-Ku yang di syurga, merekalah saudara lelaki, saudara perempuan dan ibu-Ku.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Matius 12
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Matius 12
Studi Alkitab dengan Video LUMO, silahkan lihat LUMO Indonesia :: Matius

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV