1 Pada suatu hari ketika Yesus mengajar orang ramai di dalam Bait Suci dan menyampaikan Injil, ketua-ketua imam, ahli-ahli Taurat dan para tua-tua datang kepada Yesus.
2 Mereka berkata kepada-Nya, “Katakanlah kepada kami dengan kuasa siapakah Kamu melakukan perkara-perkara ini. Dan siapakah yang memberi-Mu kuasa itu?”
3 Yesus menjawab, “Aku juga hendak bertanya kepadamu suatu perkara. Katakanlah kepada-Ku,
4 baptisan Yohanes daripada syurga atau daripada manusia?”
5 Mereka pun berbincang sesama sendiri, “Kalau kita berkata, ‘Daripada syurga,’ Dia akan berkata, ‘Kalau begitu, mengapa kamu tidak percaya kepadanya?’
6 Sebaliknya, kalau kita berkata, ‘Daripada manusia,’ orang ramai sudah tentu akan merejam kita kerana mereka yakin bahawa Yohanes itu seorang nabi.”
7 Mereka pun menjawab kepada Yesus bahawa mereka tidak mengetahui dari mana asalnya baptisan Yohanes itu.
8 Oleh itu, Yesus pun berkata kepada mereka, “Aku pun tidak akan memberitahumu dengan kuasa apa Aku melakukan perkara-perkara ini.”
9 Kemudian Yesus menceritakan ibarat ini kepada orang ramai: “Seorang menanam ladang anggur. Dia menyewakan ladang itu kepada beberapa penyewa lalu berangkat ke negeri lain dan tinggal beberapa lama di situ.
10 Apabila tiba musim memetik, dia menyuruh seorang hamba pergi kepada para penyewa itu supaya mereka memberikan sebahagian daripada hasil ladang anggur kepadanya. Tetapi para penyewa itu memukul hamba itu lalu menyuruhnya pergi dengan tangan kosong.
11 Dia menyuruh seorang hamba yang lain pula. Tetapi para penyewa itu memukulnya, mencercanya dan mengusirnya pergi dengan tangan kosong juga.
12 Tuan itu menyuruh hamba yang ketiga pula. Tetapi para penyewa itu mencederakannya lalu mengusirnya.
13 Pemilik ladang itu berkata, ‘Apakah yang hendak kubuat? Baik kusuruh anakku yang kukasihi. Tentu para penyewa itu akan menghormatinya.’
14 Tetapi apabila para penyewa itu melihatnya, mereka berbincang sesama sendiri, ‘Inilah warisnya. Marilah kita bunuh dia supaya ladang ini menjadi hak kita.’
15 Mereka pun mengusirnya keluar dari ladang lalu membunuhnya.” Yesus bertanya, “Apakah yang akan dilakukan oleh tuan ladang anggur itu terhadap para penyewa tersebut?
16 Sudah tentu dia akan datang dan membunuh para penyewa itu lalu menyewakan ladang anggur itu kepada orang lain pula.” Setelah orang ramai itu mendengar ibarat ini, mereka berkata, “Semoga tidak begitu!”
17 Tetapi Yesus memandang mereka dan bertanya, “Kalau begitu, apakah maksud ayat yang tersurat ini: ‘Batu yang dibuang oleh pembina telah menjadi batu penjuru’?
18 Sesiapa yang jatuh pada batu itu akan hancur luluh, dan sesiapa yang ditimpa batu itu akan remuk-redam.”
19 Ahli-ahli Taurat dan ketua-ketua imam cuba menangkap Yesus ketika itu juga kerana mereka tahu ibarat itu ditujukan terhadap mereka. Tetapi mereka takut akan orang ramai.
20 Mereka menunggu peluang. Lalu mereka mengutus beberapa orang supaya berpura-pura ikhlas untuk memerangkap Yesus dengan mengemukakan pertanyaan tertentu supaya mereka dapat menyerahkan Yesus ke dalam kekuasaan dan bidang kuasa pemerintah.
21 Mereka bertanya kepada Yesus, “Guru, kami tahu apa yang Engkau katakan dan ajarkan itu betul. Guru, kami juga tahu bahawa Engkau tidak pilih kasih tetapi dengan ikhlas mengajar cara Allah berdasarkan yang benar.
22 Wajarkah kami membayar cukai kepada Kaisar atau tidak?”
23 Yesus mengetahui niat muslihat mereka lalu berkata,
24 “Tunjukkanlah Aku sekeping wang dinar. Gambar dan nama siapakah ini?” Mereka menjawab, “Gambar dan nama Kaisar.”
25 Yesus berkata kepada mereka, “Kalau begitu, berikan milik Kaisar kepada Kaisar, dan milik Allah kepada Allah.”
26 Mereka tidak dapat memerangkap Yesus mengenai apa yang Dia katakan di hadapan orang ramai itu. Maka mereka diam sahaja kerana kagum akan jawapan-Nya.
27 Beberapa orang Saduki, yang mengatakan tidak ada kebangkitan, datang kepada Yesus lalu bertanya,
28 “Guru, Musa menulis untuk kami bahawa jika seseorang lelaki meninggal dunia tanpa anak, saudara lelakinya patutlah berkahwin dengan balunya dan memanjangkan zuriatnya.
29 Ada tujuh orang adik-beradik lelaki. Yang sulung berkahwin, kemudian meninggal dunia tanpa anak.
30 Yang kedua berkahwin dengan balunya,
31 kemudian yang ketiga dan seterusnya sampai kepada ketujuh saudara itu. Semuanya meninggal dunia tanpa anak.
32 Akhirnya, wanita itu pun meninggal dunia.
33 Pada hari kebangkitan, isteri siapakah wanita itu kerana ketujuh-tujuhnya pernah mengahwininya?”
34 Yesus menjawab, “Orang dunia zaman ini berkahwin dan dikahwinkan
35 tetapi mereka yang layak dibangkitkan daripada kematian dan hidup pada zaman yang akan datang tidak berkahwin dan tidak dikahwinkan.
36 Mereka itu seperti malaikat dan tidak boleh mati lagi. Mereka menjadi anak Allah kerana mereka telah dibangkitkan.
37 Musa telah menjelaskan bahawa orang mati akan dibangkitkan. Dalam kisah belukar yang bernyala, Tuhan disebut Allah Abraham, Allah Ishak dan Allah Yakub.
38 Dia bukan Allah orang mati tetapi Allah orang hidup kerana semua hidup pada Allah.”
39 Beberapa orang ahli Taurat berkata, “Guru, betul jawapan-Mu.”
40 Mereka tidak berani menyoal-Nya apa-apa lagi.
41 Yesus berkata kepada mereka, “Bagaimana dikatakan bahawa Kristus itu anak Daud
42 sedangkan Daud sendiri berkata dalam kitab Mazmur: ‘Tuhan berfirman kepada Tuanku: Duduklah di sebelah kanan-Ku
43 sehingga Aku menjadikan musuh-Mu alas kaki-Mu.’
44 Daud menyebut Dia ‘Tuan’ bagaimana mungkin Dia anaknya pula?”
45 Di hadapan orang ramai itu Yesus berkata kepada murid-murid-Nya,
46 “Berhati-hatilah dengan ahli-ahli Taurat yang suka ke sana sini berjubah labuh, suka diberi salam hormat di pasar, suka duduk di kerusi khas di saumaah dan tempat terhormat di majlis jamuan.
47 Mereka merampas rumah balu tetapi kemudian pura-pura berdoa berjela-jela. Mereka ini akan menerima hukuman yang lebih berat.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Lukas 20
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Lukas 20
Studi Alkitab dengan Video LUMO, silahkan lihat LUMO Indonesia :: Lukas

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV