1 Para rasul dan saudara-saudara di seluruh Yudea mendengar khabar bahawa bangsa-bangsa asing juga telah menerima firman Allah.
2 Apabila Petrus pergi ke Yerusalem, orang Yahudi yang percaya kepada Yesus dan masih berpegang kepada upacara sunat, membantah perbuatannya.
3 Mereka berkata, “Kamu telah menumpang di rumah orang bangsa asing yang tidak bersunat; malah kamu telah makan bersama mereka!”
4 Oleh yang demikian, Petrus menerangkan segala yang telah berlaku, satu persatu:
5 “Ketika aku sedang berdoa di Yope, aku telah melihat satu penglihatan. Aku melihat sesuatu seperti kain yang amat lebar, terikat keempat-empat penjurunya, diturunkan dari langit lalu terletak dekat denganku.
6 Aku memerhatikannya lalu melihat binatang yang berkaki empat, yang liar dan yang melata, juga burung-burung di langit.
7 Aku mendengar suara berkata, ‘Hai Petrus, bangunlah, sembelih dan makanlah.’
8 Aku berkata, ‘Ya Tuhan, jangan demikian, aku belum pernah makan barang yang haram atau najis.’
9 Suara dari syurga berkata pula kepadaku, ‘Barang yang dihalalkan oleh Allah, jangan kauharamkan.’
10 Ini berulang tiga kali, kemudian semuanya terangkat naik semula ke langit.
11 Pada ketika itu tiga orang yang diutus dari Kaisarea kepadaku berdiri di hadapan rumah yang kami tumpang.
12 Roh Kudus menyuruh aku pergi bersama mereka tanpa ragu-ragu. Enam orang saudara seiman menyertaiku ke Kaisarea lalu kami masuk ke rumah orang itu.
13 Kemudian orang itu bercerita kepada kami bahawa dia telah melihat malaikat berdiri di hadapannya di rumahnya dan berkata kepadanya, ‘Suruhlah orang pergi ke Yope memanggil seorang bernama Simon bergelar Petrus.
14 Dia akan menyampaikan perkhabaran yang menyelamatkan kamu sekeluarga.’
15 Apabila aku mula bercakap, Roh Kudus memenuhi mereka, seperti yang terjadi kepada kita dahulu.
16 Ketika itu aku teringat kata-kata Tuhan: ‘Yohanes membaptis dengan air, tetapi kamu akan dibaptiskan dengan Roh Kudus.’
17 Jelaslah bahawa Allah telah memberi orang asing itu kurnia yang sama seperti yang kita terima ketika kita beriman kepada Tuhan Yesus Kristus. Siapakah aku untuk cuba menghalang kuasa Allah?”
18 Setelah mendengar penjelasan Petrus, mereka tidak membantah perbuatannya lagi, lantas mereka memuji Allah dan berkata, “Kalau begitu, Allah memberikan peluang kepada bangsa-bangsa asing juga untuk bertaubat dan mendapat hidup.”
19 Setelah Stefanus dibunuh, orang yang tercerai-berai kerana dianiaya sampai ke Fenisia, Siprus dan Antiokhia. Mereka menyampaikan firman hanya kepada orang Yahudi;
20 tetapi sesetengah daripada mereka dari Siprus dan Kirene datang ke Antiokhia lalu mengkhabarkan berita baik tentang Tuhan Yesus kepada orang Yunani.
21 Melalui kuasa Tuhan yang menyertai mereka, ramai orang percaya dan berpaling kepada-Nya.
22 Jemaah di Yerusalem mendengar hal itu lalu menyuruh Barnabas pergi ke Antiokhia.
23 Setelah dia sampai dan melihat kasih kurnia Allah itu, dia amat sukacita dan menggalakkan mereka semua supaya meneguhkan azam untuk tetap setia kepada Tuhan dengan sepenuh hati.
24 Barnabas orang baik, penuh dengan Roh Kudus dan iman. Semakin bertambahlah bilangan orang yang percaya akan Tuhan.
25 Kemudian Barnabas pergi ke Tarsus mencari Saul;
26 setelah menemuinya, dibawanya ke Antiokhia. Selama setahun kedua-duanya berserta dengan jemaah dan mengajar ramai orang. Di Antiokhialah para murid mula-mula disebut orang Kristian.
27 Pada masa itu beberapa orang nabi turun dari Yerusalem ke Antiokhia.
28 Seorang yang bernama Agabus bernubuat dengan ilham Roh Kudus bahawa bencana kebuluran akan melanda seluruh dunia; ini sesungguhnya terjadi pada zaman Klaudius.
29 Para murid Yesus membuat keputusan hendak menghantar bantuan, menurut kemampuan masing-masing, kepada saudara-saudara di Yudea.
30 Mereka mengirimkannya kepada tua-tua melalui Barnabas dan Saul.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Kisah Para Rasul 11
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Kisah Para Rasul 11

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV