1 Di Kaisarea ada seorang bernama Kornelius, ketua tentera yang disebut pasukan Itali.
2 Dia seorang yang bertakwa dan takut akan Allah, begitu juga seisi rumahnya. Dia banyak bersedekah kepada orang yang miskin dan sentiasa berdoa kepada Allah.
3 Pada suatu hari kira-kira jam kesembilan, dalam suatu penglihatan dia melihat dengan nyata malaikat Allah mendapatkannya dan berkata kepadanya, “Hai Kornelius!”
4 Dia merenung dengan ketakutan sambil bertanya, “Ya Tuan, ada apa Tuan?” Malaikat itu berkata, “Segala doa dan sedekahmu telah diredai Allah.
5 Suruhlah orang pergi ke Yope memanggil seorang bernama Simon bergelar Petrus.
6 Dia menumpang di rumah Simon penyamak kulit, di tepi laut.”
7 Setelah malaikat itu pergi, Kornelius memanggil dua orang hambanya dan seorang askar yang takut akan Allah daripada kalangan orang yang bertugas melayaninya.
8 Dia menceritakan segala yang berlaku itu kepada mereka dan menyuruh mereka pergi ke Yope.
9 Esoknya, ketika mereka dalam perjalanan dan hampir sampai ke Yope, Petrus naik ke atas bumbung rumah untuk berdoa, kira-kira jam keenam.
10 Kemudian dia berasa lapar dan hendak makan, tetapi sementara makanan sedang disediakan, dia diliputi kuasa ilahi.
11 Dia melihat langit terbuka dan sesuatu seperti kain yang amat lebar, terikat keempat-empat penjurunya, diturunkan ke arahnya lalu ke bumi.
12 Di dalamnya ada segala jenis binatang, yang berkaki empat dan yang melata, juga burung-burung di langit.
13 Dia terdengar suara berkata, “Hai Petrus, bangunlah, sembelih dan makanlah.”
14 Petrus berkata, “Ya Tuhan, jangan demikian, aku belum pernah makan barang yang haram atau najis.”
15 Suara itu berkata pula kepadanya, “Barang yang dihalalkan oleh Allah, jangan kauharamkan.”
16 Ini berulang tiga kali, kemudian kain itu terangkat naik ke langit.
17 Sedang Petrus bertanya-tanya apa agaknya erti penglihatan itu, orang yang disuruh oleh Kornelius itu telah bertanyakan rumah Simon. Mereka berdiri di muka pintu.
18 Lalu mereka berseru bertanya sama ada Simon bergelar Petrus ada menumpang di situ.
19 Petrus masih lagi memikirkan penglihatannya itu. Roh Kudus berkata kepadanya, “Ada tiga orang mencarimu.
20 Bangunlah, turun dan pergi bersama mereka tanpa ragu-ragu, kerana Aku yang menyuruh mereka datang.”
21 Petrus pun turun mendapatkan orang itu lalu berkata, “Aku inilah orang yang kamu cari itu; apa hajatmu datang ke mari?”
22 Mereka berkata, “Kornelius, seorang ketua tentera yang benar dan takut akan Allah serta disegani oleh seluruh bangsa Yahudi, telah menerima pesan Allah melalui malaikat yang suci bahawa dia hendaklah menjemput tuan datang ke rumahnya untuk mendengar apa yang akan tuan katakan.”
23 Petrus mengajak ketiga-tiga orang itu masuk dan menumpang bermalam di rumah itu. Esoknya dia bangun lalu pergi bersama mereka; beberapa orang saudara seiman di Yope turut serta.
24 Keesokan harinya mereka sampai di Kaisarea. Kornelius sedang menantikan kedatangan mereka, bersama semua kaum keluarga dan sahabat handai yang diajaknya berhimpun di situ.
25 Apabila Petrus masuk, Kornelius mendapatkannya lalu sujud menyembah di kakinya;
26 tetapi Petrus menariknya bangkit berdiri sambil berkata, “Bangkitlah; aku ini pun seorang manusia juga.”
27 Sambil bercakap dengan Kornelius, Petrus masuk ke dalam rumah itu dan melihat betapa ramainya orang yang berhimpun di situ.
28 Petrus berkata kepada mereka, “Saudara-saudara sedia maklum bahawa orang Yahudi dilarang berhubung dengan orang bangsa lain atau mengunjungi mereka; tetapi Allah telah menyatakan kepadaku supaya jangan memandang sesiapa pun sebagai haram atau najis.
29 Oleh itu, apabila aku dipanggil, aku terus datang tanpa teragak-agak. Sekarang aku bertanya kepadamu, apakah sebabnya aku dipanggil datang ke sini?”
30 Kornelius berkata, “Empat hari lalu, kira-kira jam kesembilan, aku sedang berdoa di rumah; tiba-tiba seorang berdiri di hadapanku, pakaiannya bersinar-sinar.
31 Dia berkata, ‘Hai Kornelius! Segala doa dan sedekahmu telah diredai Allah.
32 Suruhlah orang pergi ke Yope memanggil seorang bernama Simon bergelar Petrus. Dia menumpang di rumah Simon penyamak kulit, di tepi laut.’
33 Aku terus menyuruhkan orang mendapatkanmu; kamu sungguh baik hati datang ke mari. Sekarang kami semua hadir di sini di hadirat Allah untuk mendengar segala perkara yang diperintahkan Tuhan kepadamu untuk disampaikan kepada kami.”
34 Petrus pun berkata, “Sesungguhnya, aku mengerti sekarang bahawa Allah tidak memilih kasih.
35 Sesiapa yang takut akan Allah dan mengerjakan yang benar, tidak kira apa bangsanya, dialah yang diredai-Nya.
36 Firman yang disampaikan Allah kepada bangsa Israel ialah firman yang mengkhabarkan kesejahteraan melalui Yesus Kristus, Tuhan semua manusia.
37 Saudara-saudara tahu akan apa yang berlaku di seluruh Yudea mulai dari Galilea, selepas baptisan yang dikhabarkan oleh Yohanes.
38 Perkhabaran itu tentang Yesus orang Nazaret, betapa Allah telah memilih-Nya sebagai Kristus dan memberi-Nya Roh Kudus serta kuasa. Dia telah pergi ke merata-rata membuat kebajikan dan menyembuhkan orang yang diseksa oleh Iblis, kerana Allah menyertai Yesus.
39 Kami ini menjadi saksi akan segala yang dilakukan-Nya di tanah orang Yahudi malah juga di Yerusalem. Dia telah dibunuh dengan disalib;
40 tetapi Allah membangkitkan-Nya pada hari yang ketiga serta memperlihatkan Dia;
41 bukan kepada semua orang tetapi kepada kami yang telah dipilih oleh Allah sebagai saksi, kami yang semakan seminum dengan-Nya setelah Dia bangkit daripada kalangan orang mati.
42 Dia memerintah kami mengkhabarkan kepada semua orang dan memberikan kesaksian bahawa Dialah yang dijadikan Allah hakim ke atas orang hidup dan orang mati.
43 Semua nabi bersaksi tentang-Nya bahawa setiap orang yang percaya kepada Yesus akan diampuni dosanya dengan nama-Nya.”
44 Ketika Petrus sedang bercakap, Roh Kudus turun dan memenuhi semua yang mendengar perkhabaran itu.
45 Orang yang percaya kepada Yesus daripada golongan bersunat datang bersama Petrus berasa hairan melihat Allah mencurahkan Roh Kudus kepada bangsa-bangsa asing juga.
46 Mereka mendengar orang itu bertutur dalam aneka bahasa dan memuji Allah. Kemudian Petrus berkata,
47 “Lihatlah, mereka telah menerima Roh Kudus seperti kita. Dapatkah sesiapa menghalang mereka dibaptiskan dengan air?”
48 Petrus pun menyuruh mereka dibaptiskan dengan nama Yesus Kristus. Selepas itu, mereka meminta Petrus tinggal dengan mereka beberapa hari.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Kisah Para Rasul 10
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Kisah Para Rasul 10

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV