1 Seorang yang bernama Ananias, serta isterinya Safira, telah menjual sebidang tanah milik mereka.
2 Dia menyimpan sebahagian wang jualan itu dengan pengetahuan isterinya dan membawa sebahagian lagi untuk diletakkan di kaki para rasul.
3 Petrus berkata, “Ananias, mengapakah Iblis memenuhi hatimu sehingga kau berdusta kepada Roh Kudus dengan menyimpan sebahagian wang jualan tanah itu untuk dirimu?
4 Ketika tanah itu masih ada, bukankah tanah itu milikmu? Setelah dijual, bukankah wangnya dalam kawalanmu juga? Mengapakah kamu membentuk niat ini dalam hatimu? Kamu bukan berdusta kepada manusia tetapi kepada Allah.”
5 Apabila Ananias mendengar kata-kata itu, dia pun rebah lalu meninggal dunia. Oleh yang demikian semua orang yang mendengar hal itu amat ketakutan.
6 Orang muda-muda bangun lalu mengafankannya, mengangkatnya keluar dan menguburkannya.
7 Kira-kira tiga jam kemudian, isterinya masuk tanpa mengetahui apa yang telah terjadi.
8 Petrus berkata kepadanya, “Katakanlah kepadaku, adakah kamu menjual tanah itu dengan harga sekian?” Perempuan itu menjawab, “Ya, dengan harga sekian.”
9 Petrus berkata kepadanya, “Bagaimana pula kamu berdua telah bermuafakat untuk mencubai Roh Tuhan? Lihatlah, kaki orang yang telah menguburkan suamimu ada di muka pintu, dan mereka akan mengangkatmu pula keluar.”
10 Perempuan itu serta-merta rebah di kakinya lalu meninggal dunia. Orang muda-muda itu masuk dan mendapati perempuan itu sudah mati lalu mengangkatnya keluar dan menguburkannya di sisi suaminya.
11 Oleh yang demikian, seluruh jemaah amat ketakutan, begitu juga semua yang mendengar hal itu.
12 Melalui rasul-rasul itu banyak tanda ajaib dan mukjizat dilakukan dalam kalangan masyarakat itu. Semuanya berhimpun dengan sehati di Serambi Salomo.
13 Walaupun orang lain tidak berani menyertai mereka, namun orang ramai sangat menghormati mereka.
14 Semakin lama semakinlah bertambah bilangan orang yang mempercayai Tuhan, baik lelaki mahupun perempuan.
15 Orang membawa orang sakit keluar ke tengah jalan, membaringkan mereka di atas katil dan tikar, dengan harapan sekurang-kurangnya bayang-bayang Petrus akan menyentuh sesetengahnya apabila dia lalu kelak.
16 Ramai pula orang dari kota-kota sekeliling Yerusalem datang berhimpun, membawa orang yang sakit dan yang dirasuk roh-roh jahat, lalu semuanya disembuhkan.
17 Imam besar dan semua yang bersamanya (iaitu daripada mazhab orang Saduki) amat iri hati
18 lalu menangkap rasul-rasul itu dan memasukkan mereka ke penjara umum.
19 Tetapi pada malam itu malaikat Tuhan membuka pintu penjara lalu membawa rasul-rasul itu keluar sambil berkata,
20 “Pergilah berdiri di Bait Suci dan nyatakan segala yang dikatakan tentang hidup baru ini kepada orang ramai.”
21 Setelah mendengar kata-kata itu, ketika fajar menyingsing, mereka pergi ke Bait Suci dan mula mengajar. Kemudian tibalah imam besar dan pengikut-pengikutnya. Mereka memanggil para tua-tua orang Israel berkumpul untuk mengadakan mesyuarat Majlis Agama, lalu memerintahkan rasul-rasul itu dibawa dari penjara untuk dihadapkan kepada mereka.
22 Apabila pegawai-pegawai itu sampai di penjara dan mendapati rasul-rasul itu tidak ada di situ, mereka pun pulang melaporkan hal itu,
23 “Kami dapati pintu penjara tetap berkunci dan pengawal-pengawal berjaga di situ, tetapi apabila kami membuka pintu, kami dapati tiada seorang pun di dalam penjara itu.”
24 Apabila ketua Bait Suci dan ketua-ketua imam mendengar laporan itu, mereka kebingungan tentang apa yang mungkin terjadi kelak.
25 Kemudian seorang lelaki masuk dan berkata kepada mereka, “Orang yang tuan-tuan penjarakan itu sedang mengajar orang ramai di dalam Bait Suci!”
26 Dengan demikian, ketua Bait Suci pergi diiringi pegawai-pegawai lalu membawa rasul-rasul itu beredar dari situ tanpa menggunakan kekerasan, kerana takut direjam oleh orang ramai.
27 Mereka membawa para rasul ke hadapan Majlis Agama. Imam besar berkata,
28 “Bukankah kami telah melarang keras kamu mengajar atas nama itu? Tetapi lihatlah, kamu telah menyebarkan ajaran itu ke serata Yerusalem dan berniat mempertanggungjawabkan kami atas kematian-Nya!”
29 Petrus dan rasul yang lain menjawab, “Kami harus taat akan Allah, bukan manusia!
30 Allah nenek moyang kita telah membangkitkan Yesus yang telah kamu bunuh dengan menyalib-Nya.
31 Allah mengangkat Yesus kepada kedudukan mulia di sebelah kanan-Nya, sebagai Anak Raja dan Penyelamat, supaya umat Israel dapat bertaubat dan dosa-dosa mereka diampunkan.
32 Kami menjadi saksi dalam semua hal ini, begitu juga Roh Kudus yang dikurniakan Allah kepada semua yang taat akan perintah-Nya.”
33 Apabila anggota-anggota Majlis Agama mendengar kata-kata itu, mereka sangat marah sehingga berura-ura hendak membunuh para rasul.
34 Akan tetapi, dalam kalangan anggota Majlis Agama itu ada seorang Farisi bernama Gamaliel, seorang ahli Taurat yang sangat disegani. Dia bangkit lalu mengarahkan orang membawa para rasul keluar sejurus.
35 Kemudian dia berkata kepada Majlis Agama, “Saudara-saudara orang Israel! Timbangkan halus-halus apa yang hendak saudara semua lakukan terhadap orang itu.
36 Suatu masa dahulu, Teudas telah bangkit dan mengaku dirinya pemimpin besar. Kira-kira empat ratus orang menjadi pengikutnya. Tetapi dia dibunuh, lalu semua pengikutnya kucar-kacir dan pergerakannya hilang begitu sahaja.
37 Selepas itu muncul pula Yudas, orang Galilea, pada masa pembancian. Dia mempengaruhi ramai orang untuk memberontak, namun dia juga dibunuh, lantas semua pengikutnya kucar-kacir.
38 Dengan demikian, dalam hal ini, aku cadangkan jangan ambil apa-apa tindakan terhadap orang itu. Bebaskan mereka. Kalau rancangan atau usaha ini daripada manusia, segalanya akan hilang begitu sahaja.
39 Sebaliknya, kalau segalanya itu datang daripada Allah, saudara-saudara tidak mungkin menumpaskannya, malah mungkin akan ternyata bahawa saudara-saudara melawan Allah.”
40 Majlis Agama menerima nasihat Gamaliel. Para rasul dipanggil, dipukul, dilarang lagi bercakap dengan nama Yesus, lalu dibebaskan.
41 Ketika beredar pergi dari Majlis Agama, para rasul bersukacita kerana dianggap layak menanggung aib atas nama Yesus.
42 Setiap hari, di Bait Suci dan di setiap rumah orang, mereka terus-menerus mengajarkan dan mengkhabarkan berita baik bahawa Yesus itulah Mesias.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Kisah Para Rasul 05
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Kisah Para Rasul 05

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV