1 Dengan demikian, jika kamu telah dibangkitkan bersama Kristus, carilah perkara-perkara yang berkaitan dengan syurga, tempat Kristus duduk di sebelah kanan Allah.
2 Tumpukan pemikiranmu kepada hal-hal di syurga, bukan hal-hal di bumi.
3 Kerana kamu telah mati, dan hidupmu tersembunyi bersama Kristus dalam Allah.
4 Apabila Kristus yang merupakan kehidupan kamu itu muncul, kamu akan muncul bersama-Nya dalam kemuliaan.
5 Oleh itu, matikanlah dalam dirimu segala yang bersifat dunia: perbuatan cabul, kecemaran, hawa nafsu, keinginan jahat dan tamak haloba, yang sama dengan menyembah berhala.
6 Disebabkan semua inilah kemurkaan Allah akan menimpa anak-anak derhaka.
7 Dulu kamu pun berkelakuan demikian, pada masa kamu masih dalam kehidupan itu.
8 Tetapi sekarang kamu haruslah menyingkirkan segalanya seperti: marah, geram, niat jahat, menghina Allah, mengeluarkan kata-kata kotor dari mulutmu.
9 Jangan bercakap bohong satu sama lain, kerana kamu sudah melucutkan dirimu yang lama itu dengan segala kelakuannya
10 dan mengenakan diri yang baru, yang terus-menerus diperbaharu dengan pengetahuan menurut rupa Allah yang menjadikannya.
11 Dengan demikian tiada lagi orang Yunani atau orang Yahudi, orang bersunat atau orang tidak bersunat, orang gasar, orang Skit, hamba atau merdeka. Kristus segala-galanya dan dalam segala-galanya.
12 Sebagai orang pilihan Allah yang suci dan amat dikasihi-Nya kamu haruslah bersifat belas kasih, baik budi, rendah hati, lemah lembut dan sabar.
13 Bersabarlah terhadap satu sama lain, maaf-memaafi, jika seseorang ada sesuatu aduan terhadap yang lain. Sebagaimana Tuhan telah mengampuni kamu, demikianlah kamu harus mengampuni sesama sendiri.
14 Paling utama amalkanlah kasih, ikatan dan penyatu yang sempurna.
15 Biarlah damai Kristus menguasai hatimu. Kamu telah dipanggil untuk mendapat damai itu dalam satu tubuh. Kamu haruslah bersyukur.
16 Biarlah sabda Kristus menetap dalam dirimu dengan segala kekayaan dan kebijaksanaannya. Ajar dan nasihati satu sama lain dengan mazmur, lagu pujian dan nyanyian rohani, serta nyanyikanlah lagu rohani dengan rasa syukur kepada Allah dalam hatimu.
17 Segala yang kamu katakan dan lakukan haruslah dengan nama Tuhan Yesus sambil mengucap syukur kepada Bapa kita Allah melalui-Nya.
18 Isteri, tunduklah kepada suamimu, sebagaimana yang patut dalam Tuhan.
19 Suami, kasihilah isterimu dan jangan berlaku keras terhadapnya.
20 Anak-anak, turutlah perintah ibu bapamu dalam segala perkara, kerana demikianlah yang diredai Tuhan.
21 Bapa, jangan sakitkan hati anak-anakmu, supaya mereka tidak tawar hati.
22 Hamba sahaya, dalam segala hal turutlah perintah orang yang menjadi tuanmu dalam perkara dunia; bukan secara bermuka-muka, untuk menyukakan hati manusia, tetapi dengan tulus ikhlas dan takut akan Allah.
23 Lakukan segala kerja dengan sebulat hatimu untuk Tuhan, bukan untuk manusia,
24 kerana kamu tahu bahawa daripada Tuhan kamu akan menerima warisan sebagai ganjaranmu. Kristus ialah Tuanmu dan kamu hamba-Nya.
25 Orang yang melakukan kesalahan akan mendapat balasan yang setimpal, tidak kira siapa dia.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Kolose 3
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Kolose 3

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV