1 Maka Elifas, orang Teman, menjawab,
2 “Bergunakah manusia bagi Allah? Sesungguhnya, orang yang berhikmah berguna bagi dirinya sendiri.
3 Adakah Yang Maha Kuasa senang hati kalau engkau benar? Apa untungnya bagi Dia kalau jalanmu tidak bercela?
4 Adakah kerana ketakwaanmu kepada-Nya maka Dia menegur engkau dan datang berperkara denganmu?
5 Bukankah kejahatanmu besar dan kesalahanmu tiada habisnya?
6 Kauambil gadaian daripada saudaramu dengan sewenang-wenang, kaulucuti pakaian orang sehingga dia telanjang.
7 Orang yang lelah tidak kauberi air minum, kautahan makanan daripada orang yang lapar.
8 Orang yang berkuasalah yang memiliki tanah, dan orang yang terhormatlah yang mendudukinya.
9 Kausuruh para balu pergi dengan tangan hampa, lengan anak yatim dipatahkan.
10 Itulah sebabnya ada perangkap di sekelilingmu, dan engkau dikejutkan oleh kedahsyatan yang tiba-tiba
11 atau oleh kegelapan sehingga engkau tidak dapat melihat, dan air bah meliputi kamu.
12 Bukankah Allah bersemayam di langit yang tinggi? Lihatlah, betapa tingginya bintang-bintang yang tertinggi!
13 Namun demikian, engkau berkata, ‘Allah tahu apa? Masakan Dia mengadili dari balik kelam pekat itu?
14 Awan menutupi-Nya sehingga Dia tidak dapat melihat, Dia berjalan-jalan di lengkungan langit.’
15 Adakah engkau mahu tetap menuruti jalan lama yang ditempuh oleh kalangan jahat?
16 Mereka telah dicabut sebelum waktu mereka, dasar mereka dihanyutkan sungai.
17 Mereka berkata kepada Allah, ‘Menjauhlah daripada kami!’ dan, ‘Apakah yang dapat dilakukan Yang Maha Kuasa terhadap kami?’
18 Padahal Dialah yang memenuhi rumah mereka dengan segala yang baik-baik. Nasihat orang fasiq jauh daripadaku.
19 Orang benar melihat hukuman mereka dan bersukacita, orang yang tidak bersalah mengolok-olokkan mereka demikian,
20 ‘Sungguh, lawan kita sudah dilenyapkan, peninggalan mereka sudah dimakan api.’
21 Berdamailah hendaknya dengan Dia dan jadilah tenteram, maka kebaikan akan mendatangimu.
22 Terimalah pengajaran-Nya, dan simpanlah firman-Nya dalam hatimu.
23 Jika engkau berbalik kepada Yang Maha Kuasa, engkau akan dibangunkan kembali. Jika engkau menjauhkan kezaliman dari khemahmu,
24 meletakkan biji emas di dalam debu, dan emas Ofir di antara batu kali,
25 maka Yang Maha Kuasa akan menjadi khazanah kamu serta perak yang berharga bagimu.
26 Sesungguhnya, pada waktu itu engkau akan bersenang-lenang kerana Yang Maha Kuasa, dan akan menengadahkan muka kepada Allah.
27 Engkau akan berdoa kepada-Nya dan Dia akan mendengar kamu, engkau akan membayar nazarmu.
28 Apa yang kauputuskan akan terlaksana bagimu, dan cahaya akan menyinari jalan-jalanmu.
29 Apabila orang direndahkan, engkau akan berkata, ‘Angkatlah!’ dan orang yang tertunduk itu akan diselamatkan oleh-Nya.
30 Dia akan melepaskan orang yang tidak bersalah, dan orang itu akan dilepaskan atas sebab kebersihan tanganmu.”