1 Hai anakku, berilah perhatian kepada hikmahku, dan arahkanlah telingamu kepada pengertianku,
2 supaya kamu sentiasa berbudi bicara, dan bibirmu dapat memelihara pengetahuan.
3 Biarpun bibir perempuan lucah menitiskan madu, dan kata-katanya lebih licin daripada minyak,
4 pada akhirnya ia pahit seperti hempedu, dan tajam seperti pedang bermata dua.
5 Kakinya turun menuju maut, dan langkahnya langsung menuju alam barzakh.
6 Dia tidak perhatikan jalan kehidupannya; Jalannya sesat tetapi tidak disedarinya.
7 Maka hai anak-anakku, dengarlah nasihatku, dan jangan menyimpang daripada kata-kataku.
8 Jauhkan hidupmu daripada perempuan itu, dan jangan dekati pintu rumahnya,
9 agar kehormatanmu tidak diragut oleh orang lain, dan tahun-tahun umurmu diserahkan kepada orang yang kejam;
10 supaya jangan orang lain dikenyangkan oleh kekuatanmu, dan hasil penat lelahmu masuk ke rumah orang asing,
11 sehingga engkau mengeluh akhirnya, ketika daging dan tubuhmu habis binasa.
12 Kemudian engkau berkata, “Kenapalah aku membenci didikan dan hatiku menolak teguran?
13 Aku jua tidak mematuhi ajaran para guruku, dan tidak mengarahkan telingaku kepada orang yang mendidikku.
14 Aku nyaris hancur lebur di tengah-tengah jemaah dan perhimpunan orang.”
15 Minumlah air daripada telagamu sendiri, dan air yang segar daripada perigimu sendiri.
16 Patutkah mata airmu memencar ke mana-mana, dan aliran airmu mengalir di jalan-jalan raya?
17 Biarlah itu menjadi milikmu sendiri, dan jangan menjadi milik orang asing yang berada bersamamu.
18 Semoga mata airmu diberkati. Bersukacitalah dengan isteri masa mudamu,
19 bagai seekor rusa yang jelita, kambing hutan anggun. Biarlah payudaranya sentiasa memuaskanmu, dan engkau selalu ghairah dengan cintanya.
20 Hai anakku, apa gunanya engkau ghairah dengan perempuan lucah, dan mendakap dada perempuan penzina?
21 Kerana jalan-jalan manusia nyata di hadapan mata TUHAN, dan Dia meneliti setiap langkahnya.
22 Orang durjana akan terjebak dalam kejahatannya sendiri, dan terjerat dalam serabut dosanya.
23 Dia akan mati kerana kurang didikan, dan tersesat dalam keluasan kancah kebodohannya sendiri.