1 Inilah kata-kata Lemuel, raja Masa, yang diajarkan oleh ibunya kepadanya:
2 Hai anakku, hai anak daripada rahimku, dan hai anak nazarku,
3 jangan serahkan kekuatanmu kepada perempuan, dan jalan hidupmu kepada pembinasa para raja.
4 Tidaklah patut bagi raja, hai Lemuel, tidaklah patut bagi raja minum air anggur, atau bagi para penguasa menginginkan minuman keras.
5 Kerana jika mereka meminumnya, jangan-jangan mereka lupa kepada ketetapan, dan menyelewengkan hak semua orang yang tertindas.
6 Berikanlah minuman keras kepada orang yang hampir mati, dan air anggur kepada orang yang getir hatinya.
7 Biarlah dia minum dan lupa akan kemiskinannya, serta tidak lagi mengingat akan kesusahannya.
8 Bukalah mulutmu demi mempertahankan orang bisu, dan bagi hak semua orang yang hampir lenyap.
9 Bukalah mulutmu, adililah secara benar, belalah hak orang miskin dan orang melarat.
10 Isteri yang cemerlang, siapakah dapat menemukannya? Dia jauh lebih berharga daripada intan berlian.
11 Hati suaminya mempercayainya dan suaminya tidak akan kekurangan keuntungan.
12 Dia berbuat baik kepada suaminya, bukan berbuat jahat, seumur hidupnya.
13 Dia mencari bulu domba dan rami, lalu dengan senang hati bekerja dengan tangannya.
14 Dia seperti kapal saudagar, dibawanya makanannya dari jauh.
15 Dia bangun ketika hari masih gelap, disiapkannya makanan untuk seisi rumahnya, dan bahagian tugas bagi setiap pelayan perempuannya.
16 Setelah menimbangkan sewajar-wajarnya, dibelinya sebuah ladang, dan daripada hasil tangannya ditanaminya kebun anggur.
17 Dia mengikat pinggangnya dengan kekuatan, dan menguatkan lengannya.
18 Dia tahu bahawa usahanya menguntungkan; pada malam hari pelitanya tidak padam.
19 Tangannya diletakkannya pada pemintal, dan jari-jarinya memegang gelendong benang.
20 Dia membuka tangannya bagi orang miskin, dan menghulurkan tangannya bagi orang melarat.
21 Dia tidak mengkhuatirkan keluarganya ketika musim sejuk tiba, kerana seisi rumahnya berpakaian tebal.
22 Dia membuat bagi dirinya permaidani, dan pakaiannya pun daripada linen halus berwarna ungu.
23 Suaminya dikenal orang di pintu gerbang, ketika dia duduk bersama para tua-tua negeri.
24 Dia membuat pakaian daripada linen lalu menjualnya, dan dia menyediakan ikat pinggang bagi para pedagang.
25 Kekuatan dan kehormatan adalah pakaiannya; dia tersenyum terhadap hari yang mendatang.
26 Dia membuka mulutnya dengan hikmah, dan ajaran kebaikan hati ada di lidahnya.
27 Dia mengawasi jalan rumah tangganya, dan buah hasil kemalasan tidak dijamahnya.
28 Anak-anaknya bangkit dan menyanjungnya, suaminya pun memujinya,
29 “Ramai perempuan yang perbuatan mereka sangat baik, tetapi engkau melebihi mereka semua.”
30 Daya tarikan memperdaya dan kecantikan cuma kesia-siaan, tetapi perempuan yang takut kepada TUHAN akan dipuji-puji.
31 Berikanlah kepadanya hasil tangannya, dan biarlah hasil kerjanya memuji-mujinya di pintu-pintu gerbang!