1 Inilah kata-kata Agur anak Yake, dari Masa: Berkatalah orang itu kepada Itiel, kepada Itiel dan Ukal,
2 “Sesungguhnya, aku ini lebih bodoh daripada orang lain, dan aku tidak mempunyai pengertian manusia.
3 Aku tidak mempelajari hikmah, dan aku tidak mempunyai pengetahuan tentang Yang Maha Suci.”
4 Siapa naik ke langit dan turun? Siapa mengumpulkan angin dalam genggamannya? Siapa yang membungkus air di dalam jubahnya? Siapa menetapkan segala hal hujung bumi? Siapa namanya dan siapa nama anaknya? Engkau pasti tahu!
5 Semua firman Allah teruji. Dia perisai bagi mereka yang berlindung kepada-Nya.
6 Jangan tambahkan sesuatu pun kepada firman-Nya, supaya jangan engkau ditegur-Nya dan terbukti pendusta.
7 Dua hal kupinta daripada-Mu, janganlah Kautolak sebelum aku mati:
8 Jauhkanlah daripadaku kesia-siaan dan perkara dusta, janganlah beri aku kemiskinan atau kekayaan, berilah aku makanan secukupnya.
9 Jangan sampai aku kenyang lalu menyangkal Engkau dan berkata, “Siapakah TUHAN itu?” Jangan sampai aku miskin lalu mencuri dan memfitnah nama Allahku.
10 Jangan fitnahkan seorang hamba di hadapan tuannya, supaya jangan dia mengutukmu dan engkau dihukum.
11 Ada keturunan yang mengutuk ayahnya dan tidak memohonkan berkat bagi ibunya.
12 Ada pula orang yang menganggap dirinya tahir, tetapi belum juga bersih daripada kecemarannya.
13 Ada orang yang matanya sangat bongkak, dan kelopak matanya terangkat tinggi!
14 Ada keturunan yang giginya seperti pedang dan rahangnya seperti pisau, untuk membaham orang miskin dari bumi dan kaum tertindas daripada kalangan manusia.
15 Si lintah mempunyai dua orang anak perempuan, “Berilah! Berilah!” Ada tiga hal yang tidak pernah puas, bahkan empat hal yang tidak pernah berkata, “Cukup”:
16 alam barzakh, rahim yang mandul, bumi yang tidak pernah puas dengan air, dan api yang tidak pernah berkata, “Cukup!”
17 Mata yang mengolok-olokkan ayah dan mencemuh bimbingan si ibu akan dicungkil oleh burung gagak dari lembah dan dimakan oleh anak-anak rajawali.
18 Ada tiga hal yang terlalu ajaib bagiku, bahkan empat hal yang tidak kufahami:
19 jalan rajawali di udara, jalan ular di atas batu, jalan kapal di tengah lautan, dan jalan seorang lelaki dengan seorang gadis.
20 Demikianlah perilaku si perempuan penzina: dia makan lalu mengesat mulutnya dan berkata, ‘Aku tidak berbuat salah.’
21 Atas sebab tiga hal bumi ini bergetar, bahkan kerana empat hal ia tidak dapat bertahan:
22 kerana seorang hamba menjadi raja, kerana seorang bodoh kenyang dengan makanan,
23 kerana seorang perempuan yang dibenci menikah, dan kerana seorang pelayan perempuan menggantikan tempat cik puannya.
24 Ada empat hal yang kecil di bumi namun sangat bijaksana:
25 semut, makhluk yang tidak kuat tetapi menyediakan makanannya pada musim panas;
26 Landak, haiwan yang lemah tetapi membuat sarangnya di bukit batu;
27 belalang, yang tidak mempunyai raja tetapi semuanya berbaris berpasukan,
28 dan cicak, yang dapat kautangkap dengan tangan tetapi ada di istana raja.
29 Ada tiga hal yang gagah langkahnya, bahkan empat hal yang gagah jalannya:
30 singa, yang terkuat antara segala haiwan dan tidak mundur terhadap apa-apa pun;
31 ayam jantan yang angkuh, atau kambing jantan, dan seorang raja di hadapan pasukannya.
32 Jika engkau bersikap bodoh dengan meninggikan dirimu, atau jika engkau ada niat melakukan kejahatan, tekapkanlah tanganmu pada mulutmu,
33 kerana seperti susu yang diaduk akan menghasilkan mentega, hidung yang ditekan akan mengeluarkan darah, demikianlah kemarahan yang digalakkan bakal mencetuskan sengketa.