1 Perempuan yang bijaksana membina rumahnya, tetapi yang bodoh merobohkannya dengan tangannya sendiri.
2 Sesiapa yang hidup jujur, takut kepada TUHAN, tetapi orang yang menyimpang perilakunya menghina Dia.
3 Di dalam mulut orang bodoh ada rotan bagi punggungnya, tetapi orang bijaksana dijaga oleh bibirnya.
4 Jika tidak ada lembu, maka bersihlah kandang, tetapi dengan kekuatan lembu banyaklah hasil.
5 Saksi yang setia tidak akan berdusta, tetapi saksi dusta menyampaikan pembohongan.
6 Si pencemuh mencari hikmah dan tidak mendapatinya, tetapi orang yang berpengertian mudah mendapati pengetahuan.
7 Jauhilah orang bodoh, kerana pada bibirnya tidak akan kautemukan pengetahuan.
8 Hikmah orang bijaksana adalah memahami jalan hidupnya, tetapi kebodohan orang tolol adalah tipu daya.
9 Orang bodoh mencemuh korban yang menebus kesalahan, tetapi kebajikan terdapat dalam kalangan yang tulus hati.
10 Hati mengetahui kepahitannya sendiri, dan kegembiraannya tidak dapat turut dirasakan orang lain.
11 Rumah orang durjana akan musnah, tetapi khemah orang yang jujur akan berkembang maju.
12 Ada jalan yang dianggap orang lurus, tetapi akhirnya menuju maut.
13 Dalam tertawa pun hati dapat berasa sakit, dan kesukaan dapat berakhir dengan duka.
14 Orang yang hatinya menyeleweng akan mendapat balasan untuk jalannya sendiri, dan orang yang baik untuk perbuatannya.
15 Orang yang betul bendul mempercayai segala-galanya, tetapi orang bijaksana mempertimbangkan gerak langkahnya.
16 Orang bijaksana berwaspada dan menghindari kejahatan, tetapi orang bodoh bongkak dan ceroboh.
17 Orang yang lekas marah bertindak bodoh, dan sesiapa yang merancang kejahatan dibenci.
18 Orang yang betul bendul mewarisi kebodohan, tetapi orang yang bijaksana bermahkotakan pengetahuan.
19 Orang jahat tunduk kepada orang baik, dan orang durjana di pintu gerbang orang benar.
20 Orang miskin dibenci, bahkan oleh jirannya, tetapi ramai sekali sahabat si orang kaya.
21 Sesiapa yang menghina jirannya berbuat dosa, tetapi berbahagialah orang yang mengasihani fakir miskin.
22 Bukankah orang yang merancang kejahatan itu sesat? Walhal orang yang merancang kebaikan memperoleh kasih dan kesetiaan.
23 Segala penat lelah mendatangkan keuntungan, tetapi kata-kata kosong hanya mendatangkan kemiskinan.
24 Kekayaan ialah mahkota orang bijaksana, tetapi kebodohan orang bodoh sekadar menghasilkan kebodohan.
25 Saksi yang bercakap benar menyelamatkan nyawa, tetapi orang yang berdusta ialah pengkhianat.
26 Orang yang takut kepada TUHAN menampilkan keyakinan yang kuat, dan anak-anaknya mendapat perlindungan.
27 Takut kepada TUHAN ialah mata air kehidupan, sehingga seseorang itu dapat menghindari jerat-jerat maut.
28 Rakyat yang ramai ialah kemuliaan raja, tetapi tanpa rakyat runtuhlah pemerintah.
29 Sesiapa yang panjang sabar, besar pengertiannya, tetapi orang yang lekas naik darah mempamerkan kebodohan.
30 Hati yang tenteram menyegarkan tubuh, tetapi hasad dengki mereputkan tulang.
31 Sesiapa menindas orang miskin, mencela Penciptanya, tetapi sesiapa yang mengasihani orang yang melarat, memuliakan Dia.
32 Orang durjana dihempaskan kerana kejahatannya, tetapi orang benar mendapatkan pelindung dalam kematiannya.
33 Hikmah wujud dalam hati orang yang berpengertian, bahkan dalam kalangan bodoh pun hikmah dinyatakan.
34 Perbenaran meninggikan martabat sesuatu bangsa, tetapi dosa menjadi keaiban mana-mana sahaja bangsa.
35 Raja berkenan kepada hamba yang bijaksana, tetapi dia murka terhadap orang yang membawa keaiban.