1 Inilah yang diperlihatkan Tuhan ALLAH kepadaku: Lihatlah sebuah bakul berisi buah-buahan musim panas.
2 Firman-Nya, “Apa yang kaulihat, Amos?” Jawabku, “Sebuah bakul berisi buah-buahan musim panas.” Firman TUHAN kepadaku, “Kesudahan telah datang bagi umat-Ku Israel. Aku tidak lagi akan membiarkan kemungkaran mereka begitu sahaja.
3 Pada masa itu kelak, segala nyanyian di Bait Suci akan menjadi raungan,” demikianlah firman Tuhan ALLAH, “dan akan ada banyak bangkai yang dibuang orang secara diam-diam ke serata tempat.”
4 Dengarlah ini, wahai kamu yang menginjak-injak golongan yang melarat, dan yang melenyapkan fakir miskin di negeri ini,
5 dan yang berkata, “Bilakah tamatnya bulan baru ini supaya kita dapat menjual gandum, dan bilakah berakhirnya hari Sabat ini supaya kita dapat menjual gandum dengan mengecilkan efa , membesarkan syikal dan berbuat curang dengan neraca tipuan;
6 supaya kita dapat membeli fakir miskin dengan perak dan orang melarat dengan sepasang kasut serta menjual sekam bersama-sama gandumnya?”
7 TUHAN telah bersumpah demi keangkuhan Yakub, “Sesungguhnya, Aku tidak akan melupakan segala perbuatan mereka.
8 Tidakkah negeri ini akan gementar kerana hal itu dan setiap penduduknya akan berkabung? Bukankah seluruh negeri itu kelak meluap seperti Sungai Nil, bergelora dan surut seperti Sungai Nil di Mesir.”
9 “Pada hari itu,” demikianlah firman Tuhan ALLAH, “Aku akan membuat matahari terbenam pada tengah hari dan bumi menggelap sewaktu rembang tengah hari.
10 Akan Kuubah perayaan-perayaanmu kepada perkabungan, dan segala nyanyianmu kepada ratapan. Kain perkabungan akan Kukenakan pada setiap pinggang dan setiap kepala akan Kugondolkan. Aku akan menjadikan hal itu seperti perkabungan atas kematian si anak tunggal dan kesudahannya seperti hari yang getir.”
11 “Sesungguhnya, akan datang waktunya,” demikianlah firman Tuhan ALLAH, “Aku akan menimpakan kebuluran atas negeri ini – bukan kelaparan dan kehausan kerana tiada makanan atau tiada air, melainkan untuk mendengar firman TUHAN.
12 Mereka akan mengembara dari laut ke laut dan dari utara ke timur, serta menjelajah untuk mencari firman TUHAN, tetapi mereka tidak akan menemukannya.
13 Pada waktu itu para perawan yang cantik dan para pemuda akan lemah lesu kerana haus.
14 Itulah kalangan yang bersumpah demi Asima, dewi Samaria, dan yang berkata, ‘Demi tuhanmu yang hidup, wahai Dan!’ atau, ‘Demi tuhanmu Bersyeba yang hidup!’ – mereka akan jatuh dan tidak akan bangun lagi.”