1 Paulus merenung perhimpunan itu lalu berkata, “Saudara-saudara, dengan hati nurani yang bersih aku telah melakukan segalanya di mata Allah sampai hari ini.”
2 Ananias, imam besar, menyuruh orang yang berdiri di sisi Paulus menampar mulutnya.
3 Paulus berkata kepadanya, “Allah akan menampar mulutmu nanti. Kamu seperti tembok yang dicat putih! Kamu sekarang duduk untuk mengadiliku menurut hukum tetapi kamu sendiri melanggar hukum itu dengan menyuruh orang menamparku!”
4 Orang yang berdiri di sisi Paulus berkata, “Beranikah kamu mencela imam besar Allah?”
5 Paulus menjawab, “Saudara-saudara, aku tidak tahu dia itu imam besar. Memang tersurat dalam Kitab Suci, ‘Jangan hinakan pemimpin bangsamu.’ ”
6 Paulus mengetahui bahawa dalam perhimpunan itu separuhnya orang Saduki dan separuhnya orang Farisi. Dia pun berkata, “Saudara-saudara, aku ini orang Farisi dan anak orang Farisi. Aku didakwa kerana berharap kepada kebangkitan daripada kematian.”
7 Dengan demikian orang Farisi dan orang Saduki mula berbahas. Seluruh perhimpunan berpecah kepada dua pihak.
8 Orang Saduki mengatakan bahawa tiada kebangkitan daripada kematian, tiada malaikat dan tiada roh; tetapi orang Farisi percaya akan semuanya.
9 Pertengkaran besar tercetus. Beberapa orang ahli Taurat daripada pihak orang Farisi bangkit dan menegaskan dengan penuh kesungguhan, “Kami dapati orang ini tidak bersalah langsung. Mungkin sekali roh atau malaikat telah bercakap dengannya.”
10 Perkelahian menjadi begitu sengit sehingga ketua pasukan tentera itu takut kalau-kalau Paulus diserang. Dia menyuruh askar-askar segera mengambil Paulus dengan paksaan dari tengah-tengah orang itu dan membawanya ke dalam kubu.
11 Pada malam berikut itu Tuhan berdiri di sisinya dan berkata, “Tabahkanlah hatimu; kerana sebagaimana kamu telah bersaksi tentang-Ku dengan sungguh-sungguh di Yerusalem ini, begitulah kamu akan bersaksi di Roma pula.”
12 Setelah hari siang, orang Yahudi membuat pakatan. Mereka bersumpah tidak akan makan dan minum hingga mereka membunuh Paulus.
13 Lebih empat puluh orang sepakat mengangkat sumpah itu.
14 Mereka semua menghadap ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat mereka lalu berkata, “Kami telah bersumpah tidak akan makan dan minum hingga kami membunuh Paulus itu.
15 Kamu dan ahli-ahli Majlis Agama tolonglah minta ketua pasukan tentera itu hadapkan Paulus kepada kamu esok, seolah-olah kerana kamu hendak meneliti perkara itu dengan lebih halus lagi. Kami akan bersedia untuk membunuhnya sebelum dia sampai ke sini.”
16 Anak kepada saudara perempuan Paulus mendengar tentang pakatan itu lalu masuk ke kubu memberitahunya.
17 Paulus memanggil dan berkata kepada seorang ketua tentera, “Bawalah pemuda ini kepada ketua pasukan tentera kerana ada suatu perkara yang hendak dikatakan kepadanya.”
18 Pegawai itu membawa pemuda itu berjumpa ketuanya lalu berkata, “Paulus, orang yang terpenjara itu, memanggilku dan meminta pemuda ini dibawa berjumpa tuan kerana ada suatu perkara yang hendak dikatakannya kepada tuan.”
19 Ketua pasukan tentera memegang tangan pemuda itu dan membawanya ke tempat yang sunyi lalu bertanya, “Apa hal yang hendak kaukatakan kepadaku itu?”
20 Pemuda itu berkata, “Orang Yahudi telah berpakat hendak meminta tuan membawa Paulus menghadap Majlis Agama esok, seolah-olah hendak meneliti halnya lebih halus lagi.
21 Janganlah tuan terperdaya oleh kata-kata mereka, kerana lebih empat puluh orang daripada mereka telah bersumpah tidak akan makan dan minum hingga mereka membunuh Paulus. Mereka akan membunuhnya sebelum dia sampai ke hadapan Majlis Agama itu. Sekarang pun mereka semua sudah sedia menantikan tuan berjanji demikian.”
22 Ketua pasukan tentera itu menyuruh pemuda itu pulang setelah berpesan, “Jangan beritahu sesiapa pun bahawa kamu telah menyatakan hal ini kepadaku.”
23 Kemudian dia memanggil dua orang ketua tentera lalu berkata, “Lengkapkan dua ratus orang askar untuk pergi ke Kaisarea; askar bertombak dua ratus orang dan askar berkuda tujuh puluh. Mereka mesti bertolak pada jam ketiga malam ini.
24 Sediakan juga kuda tunggang untuk membawa Paulus kepada Feliks, gabenor negeri, dengan selamat.”
25 Ketua tentera itu menulis surat seperti yang berikut:
26 “Salam daripadaku, Klaudius Lisias, kepada Feliks, gabenor yang amat mulia.
27 Orang ini telah ditangkap oleh orang Yahudi. Mereka hendak membunuhnya, lalu aku datang dengan askar-askar dan menyelamatkannya. Aku mendapat tahu dia warga negeri Roma.
28 Aku ingin mengetahui apa sebabnya dia dituduh oleh bangsanya. Oleh itu, aku membawanya untuk menghadap Majlis Agama mereka.
29 Aku mendapati dia tertuduh atas beberapa pertikaian tentang hukum agama; tetapi tiada suatu tuduhan pun yang patut dihukum bunuh atau penjara.
30 Apabila aku diberitahu tentang suatu pakatan hendak membunuh orang ini, aku segera menghantarkannya kepada tuan. Aku berpesan kepada mereka yang menuduhnya supaya mendakwanya di hadapan tuan.”
31 Askar-askar mengambil Paulus sebagaimana diarahkan lalu membawanya pada waktu malam ke Antipatris.
32 Esoknya askar berkuda sahaja meneruskan perjalanan bersama Paulus manakala askar yang lain pulang ke kubu.
33 Setelah sampai ke Kaisarea, surat itu dipersembahkan kepada gabenor dan Paulus pun dihadapkan kepadanya.
34 Selepas membaca surat itu, gabenor itu bertanya kepada Paulus di mana negeri asalnya. Apabila dia mendengar bahawa Paulus orang Kilikia,
35 dia berkata, “Aku akan mengadili perkara ini setelah pendakwa-pendakwa kamu sampai.” Kemudian dia mengarahkan supaya Paulus ditahan di dalam istana yang dahulu dibina oleh Herodes.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Kisah Para Rasul 23
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Kisah Para Rasul 23

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV