1 Setelah selesainya semua itu, seluruh orang Israel yang hadir pergi ke kota-kota Yehuda. Mereka menghancurkan tiang-tiang berhala dan menebang patung-patung Asyera. Mereka merobohkan bukit-bukit pemujaan dan mazbah-mazbah di seluruh Tanah Yehuda, Benyamin, Efraim, dan Manasye, sampai semuanya habis. Setelah itu, seluruh orang Israel pulang ke tanah milik masing-masing dan ke kota mereka.
2 Hizkia menetapkan regu para imam dan bani Lewi menurut giliran mereka, selaras dengan pekerjaan masing-masing sebagai imam atau bani Lewi. Mereka harus mempersembahkan korban bakaran dan korban kedamaian, menyelenggarakan ibadat, mengucap syukur, dan melantunkan puji-pujian di pintu-pintu gerbang perkhemahan TUHAN.
3 Raja memberikan sumbangan daripada harta bendanya untuk korban bakaran, baik korban bakaran pada pagi dan petang hari mahupun korban bakaran pada hari-hari Sabat, pada bulan-bulan baru, dan pada hari-hari perayaan tertentu, seperti yang tertulis dalam hukum TUHAN.
4 Dia memerintahkan rakyat yang tinggal di Yerusalem untuk memberikan sumbangan yang menjadi bahagian para imam serta bani Lewi, supaya mereka dapat mencurahkan tenaga untuk melaksanakan hukum TUHAN.
5 Apabila perintah itu tersiar, orang Israel membawa banyak sekali hasil pertama mereka daripada gandum, air anggur, minyak, madu, dan segala hasil ladang. Selain itu mereka juga membawa persembahan sepersepuluh daripada segala sesuatu dalam jumlah yang besar.
6 Orang Israel dan Yehuda yang tinggal di kota-kota Yehuda pun membawa persembahan sepersepuluh daripada kawanan lembu dan kawanan domba serta persembahan sepersepuluh daripada barang-barang suci yang ditakdiskan bagi TUHAN, Allah mereka. Semua itu diletakkan mereka sehingga bertimbun-timbun.
7 Hal itu mulai dilakukan mereka pada bulan ketiga hingga selesai pada bulan ketujuh.
8 Ketika Hizkia dan para pembesar datang melihat timbunan itu, mereka memuji TUHAN serta umat-Nya, Israel.
9 Kemudian Hizkia bertanya kepada para imam dan bani Lewi tentang timbunan itu.
10 Ketua imam Azarya, yang berasal daripada keturunan kaum Zadok, menjawab dia demikian, “Sejak orang mulai membawa persembahan khusus ke Bait TUHAN, kami makan sekenyangnya, bahkan sisanya masih banyak. TUHAN memang telah memberkati umat-Nya sehingga sisanya sebanyak ini.”
11 Hizkia pun memerintah agar disediakan bilik-bilik di dalam Bait TUHAN. Setelah bilik-bilik itu disediakan,
12 maka dengan setia mereka membawa ke sana persembahan khusus, persembahan sepersepuluh, dan persembahan-persembahan suci. Konanya, seorang bani Lewi, ketua pegawai yang mengepalai semua urusan itu, dan Simei, saudaranya, menjadi pembantunya.
13 Yehiel, Azazya, Nahat, Asael, Yerimot, Yozabad, Eliel, Yismakhya, Mahat, dan Benanya menjadi pengawas di bawah pimpinan Konanya serta Simei, saudaranya itu, selaras dengan ketentuan Raja Hizkia dan Azarya, ketua Rumah Allah.
14 Kore anak Yimna, si bani Lewi, penjaga pintu gerbang sebelah timur, bertanggungjawab atas persembahan-persembahan sukarela yang dipersembahkan kepada Allah. Dia juga harus membahagi-bahagikan persembahan khusus yang diberikan kepada TUHAN, serta persembahan-persembahan teramat suci.
15 Eden, Minyamin, Yesua, Semaya, Amarya, dan Sekhanya membantunya dengan setia di kota-kota para imam. Mereka harus menyerahkan pembahagian itu kepada saudara-saudara mereka menurut regu mereka, baik tua mahupun muda,
16 selain kepada mereka yang tercatat dalam salasilah sebagai lelaki berumur tiga tahun ke atas, iaitu setiap orang yang akan masuk ke dalam Bait TUHAN selaras dengan hari-hari yang ditetapkan baginya untuk bertugas menurut kewajipan dan regu mereka.
17 Para imam dicatat dalam salasilah menurut keturunan kaum mereka, sedangkan bani Lewi yang berumur dua puluh tahun ke atas dicatat menurut kewajipan dan regu mereka.
18 Salasilah itu mencakup semua kanak-kanak, isteri, anak-anak lelaki dan perempuan daripada seluruh jemaah itu, kerana dengan setia mereka menyucikan diri untuk persembahan suci.
19 Bani Harun, iaitu para imam yang tinggal di padang ragut di sekitar kota masing-masing, melantik orang tertentu dengan disebut nama mereka untuk menyerahkan pembahagian kepada semua lelaki dalam kalangan imam dan bani Lewi yang tercatat dalam salasilah.
20 Demikianlah perbuatan Hizkia di seluruh Tanah Yehuda. Dia melakukan apa yang baik, tepat, dan benar di hadapan TUHAN, Allahnya.
21 Dalam setiap pekerjaan yang dimulainya, baik dalam hal ibadat di Rumah Allah mahupun dalam hal pelaksanaan hukum Taurat serta perintah untuk mencari Allahnya, dia melakukannya dengan segenap hati sehingga dia cukup berjaya.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 2 Tawarikh 31
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 2 Tawarikh 31

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV