1 Pada tahun kemangkatan Raja Uzia, aku melihat Tuhan bersemayam di takhta-Nya yang tinggi dan menjulang. Hujung jubah-Nya memenuhi Bait Suci.
2 Para malaikat serafim berdiri di sebelah atas-Nya, masing-masing memiliki enam sayap, dengan dua sayap menudungi wajah mereka, dua sayap yang lain mereka menudungi kaki mereka, dan dengan dua lagi sayap itulah mereka terbang.
3 Mereka saling berseru, katanya, “Suci, suci, sucilah TUHAN alam semesta! Seluruh bumi penuh dengan kemuliaan-Nya!”
4 Maka bergoyanglah alas ambang pintu kerana suara malaikat yang berseru itu, dan Bait itu pun dipenuhi asap.
5 Lalu kataku, “Malangnya aku! Aku binasa! Sebabnya aku seorang yang najis bibir, dan aku tinggal di tengah-tengah bangsa yang najis bibir. Namun demikian, mataku telah melihat Sang Raja, TUHAN alam semesta!”
6 Kemudian satu daripada para malaikat serafim itu terbang ke arahku dengan membawa bara api yang diambilnya dengan penyepit dari atas mazbah.
7 Lalu disentuhinya bara itu pada mulutku dan berkata, “Lihat, ini telah menyentuh bibirmu, maka kesalahanmu telah dihapuskan dan dosamu telah diampunkan.”
8 Setelah itu, kudengar suara Tuhan berfirman, “Siapakah yang akan Kuutus? Siapakah yang mahu pergi bagi kita?” Maka kataku, “Ini aku, utuslah aku!”
9 Firman-Nya, “Pergilah dan katakanlah kepada bangsa ini, ‘Mendengar terus, tetapi tidak mengerti. Melihat terus, tetapi tidak mengetahui’
10 Buntukanlah hati bangsa ini, pekakkanlah telinga mereka, dan pejamkanlah mata mereka, supaya mereka tidak melihat dengan mata, mendengar dengan telinga, dan mengerti dengan hati, lalu berpaling dan disembuhkan.”
11 Lalu aku bertanya, “Sampai berapa lama, ya Tuhan?” Jawab-Nya, “Sampai kota-kota runtuh, tidak berpenduduk lagi, sehingga di rumah-rumah tidak ada penghuni lagi dan tanah itu menjadi tandus serta sunyi sepi.
12 TUHAN akan memindahkan manusia jauh-jauh, sehingga ada banyak tempat terbengkalai di tengah-tengah negeri itu.
13 Kalau masih tertinggal sepersepuluh daripada mereka, maka mereka itu akan dimusnahkan pula. Tetapi seperti pokok jejawi dan pokok oak yang tertinggal tunggulnya setelah ditebang, demikianlah benih yang suci itu akan menjadi tunggulnya.”