1 Setelah Raja Hizkia mendengar hal itu, dia pun mengoyakkan pakaiannya, mengenakan kain kabung, lalu masuk ke Bait TUHAN.
2 Kemudian dia mengutus Elyakim, ketua istana, Sebna, jurutulis negara, dan para tua-tua antara imam untuk menemui Nabi Yesaya anak Amos dengan mengenakan kain kabung.
3 Kata mereka kepadanya, “Beginilah titah Hizkia: Hari ini hari kesesakan, hukuman, dan kenistaan, kerana anak sudah hampir dilahirkan, tetapi tidak ada kekuatan untuk melahirkannya tidak ada pula.
4 Mudah-mudahan TUHAN, Allahmu, mendengar apa yang dikatakan Rabshakeh , yang telah diutus oleh tuannya, raja Asyur, untuk mencela Allah yang hidup. Mudah-mudahan TUHAN, Allahmu, menjatuhkan hukuman selaras dengan perkataan yang telah didengar-Nya. Oleh sebab itu, panjatkanlah doa bagi saki-baki orang yang masih ada.”
5 Setelah para pegawai Raja Hizkia menyampaikan pesan kepada Yesaya,
6 berkatalah Yesaya kepada mereka, “Beginilah harus kamu katakan kepada tuanmu, ‘Beginilah firman TUHAN, “Jangan takut terhadap perkataan yang kaudengar itu, yang diucapkan oleh para pelayan raja Asyur untuk mengkufuri Aku.
7 Sesungguhnya, Aku akan menaruh suatu roh dalam dirinya, sehingga dia mendengar suatu khabar lalu pulang ke negerinya. Aku akan membuat dia tewas oleh pedang di negerinya sendiri.’ ”
8 Apabila Rabshakeh kembali, didapatinya raja Asyur sedang berperang melawan Libna, kerana dia memang telah mendengar bahawa raja sudah berangkat dari Lakhis.
9 Pada waktu itu raja menerima laporan tentang Tirhaka, raja Kush, demikian, “Dia sedang mara untuk berperang dengan tuanku.” Setelah mendengar hal itu, dikirimnya semula para utusan kepada Hizkia dengan pesan,
10 “Beginilah harus kamu katakan kepada Hizkia, raja Yehuda, ‘Jangan biarkan Allahmu yang kauandalkan itu menipu kamu dengan janji, “Yerusalem tidak akan diserahkan ke dalam tangan raja Asyur.”
11 Sesungguhnya, engkau telah mendengar apa yang dilakukan oleh raja-raja Asyur terhadap semua negeri. Negeri-negeri itu telah ditumpaskan mereka sama sekali. Masakan engkau akan terlepas?
12 Dapatkah tuhan bangsa-bangsa yang dimusnahkan oleh nenek moyangku, iaitu bangsa Gozan, Haran, Rezef, dan bani Eden yang tinggal di Telasar melepaskan mereka?
13 Di manakah raja Hamat, raja Arpad, raja kota Sefarwaim, Hena, dan Iwa?’ ”
14 Hizkia menerima surat itu daripada tangan para utusan lantas membacanya. Kemudian Hizkia pergi ke Bait TUHAN dan membentangkan surat itu di hadapan TUHAN.
15 Lalu berdoalah Hizkia kepada TUHAN,
16 “Ya TUHAN alam semesta, Allah Israel yang bersemayam di atas malaikat-malaikat kerubin! Hanya Engkaulah Allah atas segala kerajaan di bumi. Engkaulah yang menjadikan langit dan bumi.
17 Berikanlah perhatian, ya TUHAN, dan dengarlah. Sudilah memandang, ya TUHAN, dan lihatlah. Dengarlah semua kata Sanherib yang telah dikirimnya untuk mencela Allah yang hidup.
18 Ya TUHAN, memang benar bahawa raja-raja Asyur telah memusnahkan semua bangsa dan negeri mereka
19 serta mencampakkan tuhan mereka ke dalam api. Hal ini demikian kerana semuanya itu bukanlah Tuhan, melainkan buatan tangan manusia, kayu dan batu, sehingga dapat dibinasakan.
20 Sekarang ya TUHAN, Allah kami, selamatkanlah kami daripada tangannya, supaya semua kerajaan di bumi tahu bahawa hanya Engkaulah TUHAN.”
21 Kemudian Yesaya anak Amos menghantar seorang utusan kepada Hizkia untuk mengatakan, “Beginilah firman TUHAN, Allah Israel: Kerana engkau telah berdoa kepada-Ku tentang Sanherib, raja Asyur,
22 maka inilah firman yang disampaikan TUHAN mengenai raja Asyur itu, ‘Anak dara, iaitu puteri Sion, menghina dan mengolok-olokkan engkau. Puteri Yerusalem menggeleng-gelengkan kepala di belakangmu.
23 Siapakah yang kaucela dan kaukufuri? Terhadap siapakah engkau meninggikan suara dan melayangkan pandang dengan sombong? Terhadap Yang Maha Suci, Allah Israel!
24 Dengan perantaraan hamba-hambamu engkau telah mencela Tuhan dan engkau berkata, “Dengan rataku yang banyak aku naik ke gunung-gunung yang tinggi, ke hujung-hujung Lebanon. Aku menebang pokok-pokok araznya yang tertinggi, pokok-pokok sanubarnya yang terpilih. Aku telah menaiki puncaknya yang terjauh, dan memasuki hutannya yang lebat.
25 Aku telah menggali perigi dan minum air. Dengan telapak kakiku kukeringkan semua anak sungai di Mesir.”
26 Belum pernahkah kaudengar, bahawa Aku telah menetapkannya sejak dahulukala dan menentukannya sejak zaman purbakala? Sekarang Aku mewujudkannya, bahawa engkau meruntuhkan kota-kota berkubu sehingga menjadi timbunan puing.
27 Penduduknya yang tidak berdaya menjadi kecut hati dan malu. Mereka menjadi seperti tumbuh-tumbuhan di padang, seperti rumput muda yang hijau, seperti rumput di atas bumbung rumah, yang layu sebelum bertumbuh.
28 Tetapi Aku tahu ketika engkau duduk, dan ketika engkau keluar masuk, dan amarahmu terhadap Aku.
29 Kerana engkau marah kepada-Ku dan kerana ketakburanmu telah sampai kepada pendengaran-Ku, maka Aku akan memasang kelikir-Ku pada hidungmu dan kekang-Ku pada mulutmu. Aku akan mengembalikan engkau melalui jalan yang kautempuh ketika engkau datang.’
30 Inilah tandanya bagimu, wahai Hizkia: Pada tahun ini kamu akan makan apa yang tumbuh dengan sendirinya, dan pada tahun kedua, apa yang tumbuh daripada tanaman tadi. Tetapi pada tahun ketiga, kamu harus menyemai, menuai, menanami kebun anggur, dan memakan buahnya.
31 Orang yang terselamat daripada keturunan kaum Yehuda, iaitu orang yang tertinggal, akan berakar ke bawah dan berbuah ke atas.
32 Kerana dari Yerusalem akan keluar saki-baki kalangan itu, dan dari Gunung Sion orang yang terselamat. Semangat TUHAN alam semesta, akan membuat hal ini terwujud.
33 Oleh sebab itu beginilah firman TUHAN mengenai raja Asyur, ‘Dia tidak akan masuk ke dalam kota ini dan tidak akan menembakkan anak panah di sini. Dia tidak akan maju menghampiri kota ini dengan perisai dan tidak akan menimbunkan tanggul pengepung terhadapnya.
34 Dia akan kembali melalui jalan yang ditempuhnya ketika dia datang dan tidak akan masuk ke kota ini,’ demikianlah firman TUHAN.
35 ‘Aku akan melindungi kota ini dan menyelamatkannya demi diri-Ku sendiri dan demi Daud, hamba-Ku.’ ”
36 Kemudian malaikat TUHAN keluar dan menewaskan 185,000 orang di perkhemahan Asyur. Apabila orang bangun pada pagi esoknya, didapati mayat-mayat belaka!
37 Maka berangkatlah Sanherib, raja Asyur, berjalan pulang, lalu dia tinggal di Niniwe.
38 Pada suatu hari, ketika dia sedang bersembahyang di dalam kuil Nisrokh, tuhannya, Adramelekh dan Sarezer, anak-anaknya, membunuhnya dengan pedang lalu mereka melarikan diri ke Tanah Ararat. Maka Esarhadon, anaknya, menaiki takhta menggantikannya.