1 “Malangnya kanak-kanak yang memberontak!” demikianlah firman TUHAN, “Mereka melaksanakan rancangan, tetapi bukan rancangan-Ku, mereka membentuk persekutuan, tetapi bukan atas dorongan roh-Ku, sehingga mereka menambah dosa demi dosa.
2 Mereka pergi ke Mesir tanpa mendapatkan petunjuk-Ku, untuk memperkuat kedudukan di bawah kuasa Firaun dan untuk berlindung di bawah naungan Mesir.
3 Oleh sebab itu kuasa Firaun hanya akan membawa keaiban buatmu, dan perlindungan di bawah naungan Mesir akan membuatmu menanggung malu.
4 Sekalipun para penguasanya sudah ada di Zoan dan para utusannya sudah sampai ke Hanes,
5 mereka semua akan malu kerana bangsa yang tidak dapat memberikan faedah kepada mereka – tidak dapat memberi pertolongan atau faedah, malah mendatangkan malu dan juga cela.”
6 Pernyataan ilahi tentang binatang-binatang di Tanah Negeb. Melalui tanah yang penuh kesesakan dan kesulitan, tempat singa betina dan singa jantan, tempat ular berbisa dan naga terbang, mereka mengangkut kekayaan mereka di atas belakang keldai dan harta mereka di atas bonggol unta kepada bangsa yang tidak dapat memberikan faedah.
7 Pertolongan Mesir itu sia-sia dan tidak berguna, sebab itu Aku menamai dia begini, “Rahab yang duduk menganggur.”
8 Sekarang pergilah, tuliskanlah hal itu bagi mereka pada sebuah loh, dan suratkanlah dalam sebuah kitab, supaya itu menjadi kesaksian untuk masa yang akan datang, untuk selama-lamanya.
9 Mereka ini bangsa yang derhaka, anak-anak yang suka berdusta, anak-anak yang tidak mahu mendengar hukum TUHAN.
10 Mereka berkata kepada para pelihat, “Jangan menelah lagi,” dan kepada para nabi, “Jangan menilik apa yang benar bagi kami. Katakanlah hal-hal yang manis kepada kami; Katakanlah hal-hal khayalan.
11 Menyisihlah dari laluan, menjauhlah dari jalan ini! Biarlah Yang Maha Suci, Allah Israel itu, menyingkir meninggalkan kami!”
12 Oleh sebab itu beginilah firman Yang Maha Suci, Allah Israel, “Kerana kamu menolak firman ini, menaruh harapan kepada pemerasan dan muslihat, serta bergantung kepadanya,
13 maka kesalahanmu ini seperti tembok tinggi yang retak dan hampir jatuh, yang tersembul pada tembok tinggi, yang kehancurannya datang dengan tiba-tiba, dalam sekelip mata.
14 Kehancurannya seperti kehancuran tempayan tukang periuk yang diremukkan tanpa rasa sayang, sehingga antara pecahannya tidak didapati sekeping pun yang dapat digunakan untuk mengambil api dari pendiangan atau untuk mencedok air dari dalam takungan.”
15 Beginilah firman Tuhan ALLAH, Yang Maha Suci, Allah Israel, “Dengan bertaubat dan bertenang, kamu akan diselamatkan. Dengan berdiam diri dan percaya, terdapatnya kekuatanmu.” Tetapi kamu tidak mahu!
16 Sebaliknya, kamu berkata, “Tidak, kami akan lari menaiki kuda.” Oleh sebab itu kamu akan melarikan diri! “Kami akan menunggang kuda yang tangkas.” Oleh sebab itu para pengejarmu pun memang tangkas!
17 Seribu orang akan lari kerana gertakan seorang. Dengan gertakan lima orang kamu semua akan melarikan diri, sampai kamu ditinggalkan seperti tiang di puncak gunung dan seperti panji-panji di atas bukit.
18 Itulah sebabnya TUHAN menanti-nantikan saat untuk mengasihani kamu, itulah sebabnya Dia bangkit untuk menyayangi kamu, kerana TUHAN sememangnya Allah yang adil. Berbahagialah semua orang yang menanti-nantikan Dia!
19 Sungguh, wahai rakyat Sion yang tinggal di Yerusalem, kamu tidak akan menangis lagi. Dia pasti mengasihani engkau apabila Dia mendengar suara engkau berseru-seru, dan Dia akan menjawab engkau apabila Dia mendengarnya.
20 Sekalipun Tuhan memberikan roti kesukaran dan air kesusahan kepadamu, guru-gurumu tidak akan menyembunyikan diri lagi. Matamu akan melihat guru-gurumu itu
21 dan telingamu akan mendengar perkataan ini dari belakangmu: “Inilah jalannya, tempuhilah” apabila kamu menyimpang ke kanan atau ke kiri.
22 Kamu akan menganggap najis patung-patung ukiranmu yang disalut perak dan patung-patung tuanganmu yang dilapisi emas. Semua itu akan kamu hamburkan seperti kain cemar sambil berkata kepadanya, “Nyahlah!”
23 Dia akan menurunkan hujan bagi benih yang kautabur di tanahmu. Makanan hasil tanahmu akan menjadi bernas dan berzat. Pada waktu itu ternakanmu akan meragut rumput di padang yang luas.
24 Lembu dan keldai yang mengerjakan tanah akan memakan makanan ternak yang baik, yang telah ditampi dengan penyodok dan penggembur.
25 Di atas setiap gunung yang tinggi dan di atas setiap bukit yang menjulang akan ada sungai dan aliran air pada hari pembunuhan besar-besaran, apabila menara-menara roboh.
26 Cahaya bulan purnama akan seperti cahaya matahari, dan cahaya matahari akan menjadi tujuh kali lipat ganda, seperti cahaya tujuh hari, pada waktu TUHAN membalut luka umat-Nya dan menyembuhkan bekas hukuman-Nya.
27 Sesungguhnya, kemasyhuran TUHAN tersiar dari jauh. Murka-Nya menyala-nyala dan asap bergumpal-gumpal. Titah-Nya penuh dengan amarah dan sabda-Nya seperti api yang menghanguskan.
28 Hembusan nafas-Nya seperti sungai yang meluap-luap, yang dalamnya mencapai setengah leher. Dia hendak menampi bangsa-bangsa dengan nyiru kebinasaan, dan memasang kekang yang menyesatkan pada rahang suku-suku bangsa.
29 Tetapi kamu akan menyanyikan sebuah lagu seperti pada malam apabila orang mengadakan perayaan suci. Kamu akan bersuka hati seperti pada waktu orang berarak-arakan sambil meniup seruling untuk pergi ke gunung TUHAN, ke Batu Pejal Israel.
30 TUHAN akan memperdengarkan suara-Nya yang mulia dan memperlihatkan kuasa-Nya yang turun menimpa dengan murka yang dahsyat dan nyala api yang menghanguskan, dengan hujan lebat, angin ribut, dan hujan batu.
31 Sungguh, oleh suara TUHAN hancurlah orang Asyur apabila tongkat-Nya menghukum mereka.
32 Setiap deraan tongkat hukuman yang dijatuhkan TUHAN kepada mereka akan diiringi bunyi rebana dan kecapi. Dia akan memerangi orang Asyur dalam peperangan yang berkecamuk.
33 Tempat pembakaran telah ditata sejak dahulu, ya, itu disiapkan untuk raja. Tempat itu dalam dan luas, timbunannya penuh api dan kayu. Nafas TUHAN yang laksana sungai belerang, akan menyalakannya.