1 Sesungguhnya, TUHAN akan membinasakan bumi dan menanduskannya. Dia akan membalikkan permukaannya dan mencerai-beraikan penduduknya.
2 Maka nasib yang sama akan menimpa imam sebagaimana umat, Tuan sebagaimana hamba lelakinya, cik puan sebagaimana hamba perempuannya, penjual sebagaimana pembeli, peminjam sebagaimana pemberi pinjaman, penghutang sebagaimana pemiutang.
3 Bumi akan binasa sepenuhnya dan disamun habis-habisan. Sesungguhnya, TUHAN telah menyampaikan firman ini.
4 Bumi berkabung dan layu, dunia merana dan layu, bangsa yang termasyhur di bumi pun merana.
5 Bumi dinajiskan oleh penduduknya, kerana mereka melanggar hukum, mengubah ketetapan, dan mengingkari perjanjian yang kekal.
6 Itulah sebabnya bumi dimamah kutukan dan penduduknya menanggung kesalahan mereka sendiri. Itulah sebabnya penduduk bumi dihanguskan sehingga sedikit sahaja orang yang tertinggal.
7 Air anggur berkabung, pokok anggur merana, semua orang yang bersuka hati berkeluh-kesah.
8 Terhenti sudah kemeriahan bunyi rebana, tamat sudah kemeriahan orang yang bersuka ria, ria bunyi kecapi pun terhenti.
9 Orang tidak lagi minum air anggur sambil bernyanyi, arak terasa pahit bagi peminumnya.
10 Kota yang kacau itu hancur, semua rumah tertutup sehingga tidak dapat dimasuki.
11 Orang menjerit di jalan-jalan kerana kekurangan air anggur. Segala kesukaan menjadi kesuraman, kegirangan bumi pun hilang.
12 Di dalam kota hanya terdapat kehancuran, pintu gerbang musnah diruntuhkan.
13 Begitulah akan terjadi di seluruh bumi, di antara bangsa, iaitu seperti pada waktu orang menjolok buah zaitun, seperti pada waktu pemetikan susulan apabila penuaian buah anggur telah berakhir.
14 Mereka menyaringkan suara, mereka bersorak-sorai, mereka memekik dari sebelah barat demi keagungan TUHAN.
15 Oleh sebab itu muliakanlah TUHAN di sebelah timur, muliakanlah nama TUHAN, Allah Israel, di daerah-daerah pesisir laut.
16 Dari hujung bumi kami dengar nyanyian, “Kemuliaan bagi Yang Maha Benar.” Tetapi kataku, “Merana aku! Merana aku! Malangnya aku! Orang khianat berkhianat, bahkan semakin berkhianat!”
17 Kengerian, lubang jebak, dan perangkap menantimu, wahai penduduk bumi.
18 Jadi, siapa berlari menghindari bunyi yang mengerikan itu akan terperosok ke dalam lubang jebak, siapa naik dari dalam lubang jebak akan terkena perangkap. Sesungguhnya, tingkap-tingkap di langit terbuka dan dasar-dasar bumi bergoncang.
19 Bumi hancur lebur, bumi pecah belah, bumi kegoncangan.
20 Bumi terhuyung-huyung seperti orang mabuk dan bergoyang-goyang seperti gubuk dilanda ribut. Beban segala pelanggarannya amat berat sehingga ia roboh dan tidak bangkit lagi.
21 Pada waktu itu TUHAN akan menghukum para angkatan di langit dan raja-raja bumi, di atas bumi.
22 Mereka akan dikumpulkan bersama-sama, seperti tahanan dikumpulkan di dalam kurungan. Mereka akan dikurung di dalam penjara dan setelah beberapa lama mereka akan dihukum.
23 Bulan purnama akan mendapat aib dan matahari menjadi malu, kerana TUHAN alam semesta, akan bertakhta di Gunung Sion dan di Yerusalem, dan di hadapan para tua-tua-Nya dengan mulia.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yesaya 24
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yesaya 24

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV