1 Beginilah firman TUHAN, “Sesungguhnya, Aku akan menggerakkan suatu semangat pemusnah untuk melawan Babel dan penduduk Leb Kamai.
2 Aku akan mengutus ke Babel orang asing yang akan menampi dia dan mengosongkan negerinya. Mereka akan mengepung dia dari segala jurusan pada hari kesesakan.
3 Hendaklah pemanah merentangkan busurnya terhadap dia dan terhadap orang yang meninggikan diri dalam baju zirahnya. Jangan sayangkan pemudanya, tumpaslah seluruh tenteranya.
4 Mereka akan tewas terbunuh di tanah orang Kasdim dan tertikam di jalan-jalannya.
5 Sungguh, Israel dan Yehuda tidak ditinggalkan oleh Allahnya, iaitu TUHAN alam semesta, sekalipun negerinya penuh dengan kesalahan terhadap Yang Maha Suci, yang disembah orang Israel.
6 Larilah dari tengah-tengah Babel, selamatkanlah nyawa masing-masing. Janganlah sampai kamu dibinasakan kerana kesalahannya, kerana inilah waktu pembalasan TUHAN. Dia akan mengadakan pembalasan terhadapnya.
7 Babel tadinya seperti cawan emas di tangan TUHAN, yang memabukkan seluruh bumi. Bangsa-bangsa meminum air anggurnya, sebab itu bangsa-bangsa menjadi gila.
8 Tiba-tiba Babel jatuh dan hancur. Meraung-raunglah kerana dia, ambillah balsam untuk sakitnya, siapa tahu dia boleh disembuhkan.
9 ‘Kami bermaksud menyembuhkan Babel, tetapi dia tidak tersembuhkan. Tinggalkanlah dia, mari kita pulang ke negeri masing-masing, kerana penghukumannya telah sampai ke langit dan telah terangkat sampai ke awan.’
10 TUHAN telah membuat kebenaran kita nyata. Mari kita ceritakan di Sion perbuatan TUHAN, Allah kita.
11 Tajamkanlah anak panah, siapkanlah perisai. TUHAN telah membangkitkan semangat raja-raja Media, kerana rancangan-Nya adalah untuk memusnahkan Babel. Inilah pembalasan TUHAN, pembalasan kerana Bait Suci-Nya.
12 Angkatlah panji-panji terhadap tembok-tembok Babel, perkuatkanlah penjagaan. Tempatkanlah penjaga, siapkanlah penyerang hendap, kerana TUHAN telah merancangkan dan melaksanakan apa yang difirmankan-Nya mengenai penduduk Babel.
13 Wahai engkau yang berdiam di tepi perairan besar, yang berlimpah harta, kesudahanmu telah tiba, iaitu batas ketamakanmu.
14 TUHAN alam semesta, telah bersumpah demi diri-Nya: Sesungguhnya, Aku akan memenuhi engkau dengan manusia sebanyak belalang. Mereka akan meneriakkan pekikan perang terhadap engkau.
15 Allah menjadikan bumi dengan kuasa-Nya. Dia menegakkan dunia dengan kebijaksanaan-Nya dan membentangkan langit dengan pengertian-Nya.
16 Ketika Dia memperdengarkan suara-Nya, riuhlah air di langit. Dia menaikkan kabus dari hujung bumi, membuat kilat menyertai hujan, dan mengeluarkan angin daripada perbendaharaan-Nya.
17 Semua manusia itu dungu dan tidak berpengetahuan. Semua tukang emas menjadi malu kerana patung ukiran mereka. Patung tuangan mereka ialah kebohongan, tidak ada nafas di dalamnya.
18 Semua itu kesia-siaan, pekerjaan yang menjadi bahan ejekan, yang akan binasa pada waktu dihukum.
19 Tetapi Dia yang menjadi Pusaka Yakub tidaklah demikian, kerana Dialah yang membentuk segala sesuatu, dan Israel ialah suku harta pusaka-Nya. TUHAN alam semesta, ialah nama-Nya.
20 “Engkau adalah godam bagi-Ku, senjata perang, denganmu Aku menghancurkan bangsa-bangsa, denganmu Aku memusnahkan kerajaan-kerajaan,
21 denganmu Aku menghancurkan kuda dan penunggangnya, denganmu Aku menghancurkan rata dan pengendaranya,
22 denganmu Aku menghancurkan lelaki dan perempuan, denganmu Aku menghancurkan orang tua dan orang muda, denganmu Aku menghancurkan pemuda dan pemudi,
23 denganmu Aku menghancurkan gembala dan kawanan ternaknya, denganmu Aku menghancurkan petani dan pasangan lembunya, denganmu Aku menghancurkan penguasa dan pembesar.
24 Aku akan membalas kepada Babel dan kepada seluruh penduduk Kasdim segala kejahatan yang telah dilakukan mereka di Sion, di hadapan matamu sendiri,” demikianlah firman TUHAN.
25 “Sesungguhnya, Aku akan menjadi lawanmu, wahai gunung pemusnah, yang memusnahkan seluruh bumi,” demikianlah firman TUHAN. “Aku akan menghulurkan tangan-Ku terhadap engkau, menggulingkan engkau dari bukit batu, dan menjadikan engkau gunung yang terbakar.
26 Orang tidak akan mengambil batu penjuru atau batu asas daripadamu, tetapi engkau akan menjadi sunyi sepi untuk selama-lamanya,” demikianlah firman TUHAN.
27 Angkatlah panji-panji di negeri, tiuplah sangkakala di antara bangsa-bangsa. Persiapkanlah bangsa-bangsa melawan dia, kerahkanlah kerajaan-kerajaan melawan dia – Ararat, Mini, dan Askenas. Angkatlah seorang panglima melawan dia, bawalah kuda sebanyak kerumunan belalang.
28 Persiapkanlah bangsa-bangsa melawan dia, raja-raja Media berserta pembesar mereka, semua penguasa mereka dan semua negeri yang ada di bawah kuasa mereka.
29 Negeri itu goncang dan gementar kerana rancangan TUHAN menentang Babel terlaksana, iaitu untuk menjadikan Tanah Babel tandus, tanpa penduduk.
30 Kesateria Babel berhenti berperang, mereka tinggal di kubu-kubu pertahanan. Keperkasaan mereka hilang, mereka menjadi seperti perempuan. Tempat-tempat penghunian mereka telah terbakar, palang-palang pintu mereka telah patah.
31 Seorang pesuruh cepat berlari menyusul yang lain dan seorang pembawa khabar menyusul yang lain, untuk memberitahu raja Babel bahawa kotanya telah direbut dari segala penjuru.
32 Tempat-tempat penyeberangan telah direbut, benteng pertahanan telah dibakar habis, para pejuang menjadi gempar.”
33 Beginilah firman TUHAN alam semesta, Allah Israel, “Puteri Babel seperti tempat pembantingan pada waktu orang mengirik. Tidak lama lagi akan datang musim menuai baginya.”
34 “Nebukadnezar, raja Babel, melahap kami, menghancurkan kami, meletakkan kami seperti bejana kosong. Ditelannya kami seperti ular naga, dipenuhinya perutnya dengan yang lazat daripada kami, lalu dimuntahkannya kami.
35 Biarlah kekerasan yang terjadi ke atasku dan ke atas darah dagingku dibalas kepada Babel,” kata penduduk Sion. “Biarlah darahku dibalas kepada penduduk Kasdim,” kata Yerusalem.
36 Oleh sebab itu beginilah firman TUHAN, “Sesungguhnya, Aku akan memperjuangkan perkaramu dan menuntut balas bagimu. Aku akan menohorkan lautnya dan mengeringkan mata airnya.
37 Babel akan menjadi timbunan puing, sarang kawanan serigala, tempat kengerian dan cemuhan, tanpa penduduk.
38 Mereka akan mengaum bersama-sama seperti singa muda, menggeram seperti anak singa.
39 Setelah mereka berasa panas, Aku akan mengadakan perjamuan bagi mereka. Aku akan memabukkan mereka sehingga mereka bersuka ria, lalu tertidur sepanjang masa dan tidak terjaga lagi,” demikianlah firman TUHAN.
40 Aku akan merebahkan mereka untuk dibantai seperti anak-anak domba, seperti domba jantan dan kambing jantan.
41 Betapa Sesakh direbut! Negeri yang dipuji seluruh bumi itu diduduki! Betapa Babel menjadi kengerian di antara bangsa-bangsa!
42 Laut telah meluap melanda Babel, gelombang-gelombangnya yang riuh meliputinya.
43 Kota-kotanya menjadi tandus, gersang dan sebuah gurun, sebuah negeri yang tidak dihuni oleh seorang pun dan tidak dilintasi oleh anak manusia.
44 Aku akan menghukum Dewa Bel di Babel, dan Aku akan mengeluarkan daripada mulutnya apa yang ditelannya. Bangsa-bangsa tidak akan berduyun-duyun lagi mendatanginya, tembok Babel pun akan roboh.
45 Keluarlah dari dalamnya, wahai umat-Ku, selamatkanlah nyawa masing-masing daripada murka TUHAN yang menyala-nyala.
46 Jangan tawar hati dan ketakutan kerana khabar yang terdengar di negeri: khabar yang satu datang tahun ini dan tahun kemudian datang khabar yang lain, kekerasan terjadi di negeri dan penguasa melawan penguasa.
47 Sesungguhnya, waktunya akan datang, bahawa Aku akan menghukum patung-patung ukiran Babel. Seluruh negerinya akan malu dan semua orangnya yang terbunuh akan rebah di tengah-tengahnya.
48 Maka langit, bumi, dan segala isinya akan bersorak-sorai kerana Babel, kerana para pembinasa mendatanginya dari sebelah utara,” demikianlah firman TUHAN.
49 Babel harus jatuh kerana orang Israel yang terbunuh, sebagaimana orang yang terbunuh di seluruh bumi telah jatuh kerana Babel.
50 Kamu yang terselamat daripada pedang, pergilah, jangan berhenti! Ingatlah TUHAN dari jauh dan biarlah Yerusalem ada dalam fikiranmu.
51 ‘Kami malu, kerana kami telah mendengar celaan. Aib menyelubungi muka kami, kerana orang asing telah masuk ke dalam tempat-tempat suci di Bait TUHAN.’
52 “Sesungguhnya, waktunya akan datang,” demikianlah firman TUHAN, “bahawa Aku akan menghukum patung-patung ukirannya. Di seluruh negerinya akan mengerang orang yang tertikam.
53 Sekalipun Babel naik ke langit, dan sekalipun dia memperkukuh kubu kekuatannya di tempat tinggi, atas perintah-Ku para pembinasa akan mendatanginya,” demikianlah firman TUHAN.
54 “Terdengar bunyi teriakan dari Babel, bunyi kehancuran besar dari negeri orang Kasdim!
55 TUHAN merosakkan Babel dan menghentikan hiruk-pikuknya yang hebat. Gelombang pasukan musuh menderu seperti limpahan air, dan terdengar keributan suaranya.
56 Pembinasa datang menyerangnya, ya, menyerang Babel. Kesaterianya akan ditangkap dan busur-busur mereka akan dihancurkan, sebab TUHAN ialah Allah yang pembalas. Dia pasti mengadakan pembalasan.
57 Aku akan memabukkan pembesarnya, orang bijaknya, para pembesarnya, para penguasanya, dan para kesaterianya. Mereka akan terlelap sepanjang masa dan tidak akan terjaga lagi,” demikianlah firman Sang Raja yang bernama TUHAN alam semesta.
58 Beginilah firman TUHAN alam semesta, “Tembok-tembok Babel yang tebal akan diruntuhkan dan pintu-pintu gerbangnya yang tinggi akan dibakar habis sehingga bangsa-bangsa melelahkan diri untuk sesuatu yang sia-sia sahaja, dan suku-suku bangsa meletihkan diri untuk sesuatu yang akan dimakan api sahaja.”
59 Kata-kata yang dipesankan Nabi Yeremia kepada Seraya anak Neria anak Mahseya ketika Seraya pergi ke Babel dengan Zedekia, raja Yehuda, pada tahun keempat zaman pemerintahannya – Seraya ialah ketua alat kelengkapan.
60 Dalam sebuah kitab Yeremia menulis segala malapetaka yang akan menimpa Babel, iaitu segala firman yang tertulis di atas mengenai Babel.
61 Kata Yeremia kepada Seraya, “Ingat, setelah sampai di Babel, bacakanlah segala firman ini.
62 Kemudian katakanlah, ‘Ya TUHAN, Engkau telah berfirman mengenai tempat ini bahawa Engkau akan melenyapkannya, sehingga tidak ada lagi yang tinggal di dalamnya, baik manusia mahupun haiwan. Kota ini akan menjadi sunyi sepi untuk selama-lamanya.’
63 Setelah engkau selesai membaca kitab ini, ikatkanlah sebuah batu padanya lalu campakkannya ke tengah-tengah Sungai Efrat.
64 Kemudian katakanlah, ‘Begitulah Babel akan tenggelam dan tidak akan timbul lagi, kerana malapetaka yang Kudatangkan kepadanya. Mereka akan menjadi lemah longlai.’ ” Sampai di sinilah kata-kata Yeremia.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yeremia 51
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yeremia 51

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV