1 Pada tahun kesepuluh zaman pemerintahan Zedekia, raja Yehuda, iaitu tahun kelapan belas zaman pemerintahan Nebukadnezar, datanglah firman daripada TUHAN kepada Yeremia.
2 Pada waktu itu pasukan raja Babel mengepung Yerusalem, sedangkan Nabi Yeremia dikurung di pelataran penjagaan, di istana raja Yehuda.
3 Dia dikurung oleh Zedekia, raja Yehuda, yang berkata, “Mengapa engkau bernubuat demikian, ‘Beginilah firman TUHAN: Sesungguhnya, Aku akan menyerahkan kota ini ke dalam tangan raja Babel, dan dia akan merebutnya.
4 Zedekia, raja Yehuda, tidak akan terselamat daripada tangan orang Kasdim, tetapi pasti diserahkan ke dalam tangan raja Babel. Dia akan berbicara dengan raja Babel secara langsung dan mereka akan bertentang muka.
5 Zedekia akan dibawanya ke Babel dan dia akan tinggal di sana sampai Aku mendatanginya, demikianlah firman TUHAN. Apabila kamu berperang melawan orang Kasdim, kamu tidak akan beruntung’?”
6 Yeremia berkata, “Firman TUHAN datang kepadaku demikian:
7 Sesungguhnya, Hanameel, anak bapa saudaramu Salum, akan datang kepadamu dan berkata, ‘Belilah ladangku yang terletak di Anatot, kerana engkaulah yang mempunyai hak tebus untuk membelinya.’
8 Kemudian, selaras dengan firman TUHAN datanglah Hanameel, anak bapa saudaraku, menemui aku di pelataran penjagaan. Dia berkata kepadaku, ‘Belilah ladangku yang ada di Anatot, di Tanah Benyamin, kerana engkaulah yang mempunyai hak milik dan hak tebusnya. Belilah ladang itu bagimu sendiri.’ Maka tahulah aku bahawa itu ialah firman TUHAN.
9 Lalu aku membeli ladang yang di Anatot itu daripada Hanameel, anak bapa saudaraku, dan menimbang wang untuknya sebanyak tujuh belas syikal perak.
10 Aku menandatangani surat pembelian, memateraikannya, mendatangkan saksi-saksi, dan menimbang wang itu dengan neraca.
11 Selanjutnya aku mengambil surat pembelian yang telah dimateraikan itu, yang berisi peraturan dan syarat bersertakan salinannya yang terbuka,
12 lalu kuserahkan surat pembelian itu kepada Barukh anak Neria anak Mahseya di hadapan mata Hanameel, anak bapa saudaraku, di hadapan mata para saksi yang menandatangani surat pembelian itu, dan di hadapan mata semua orang Yehuda yang hadir di pelataran penjagaan itu.
13 Di depan mata mereka aku memerintahkan Barukh,
14 ‘Beginilah firman TUHAN alam semesta, Allah Israel: Ambillah surat-surat ini, baik surat pembelian yang telah dimateraikan ini mahupun salinan yang terbuka ini. Taruhlah semua itu dalam bejana tanah supaya tahan lama.
15 Beginilah firman TUHAN alam semesta, Allah Israel: Rumah, ladang, dan kebun anggur di negeri ini akan dibeli lagi.’
16 Setelah surat pembelian itu kuserahkan kepada Barukh anak Neria, aku pun berdoa kepada TUHAN,
17 “Ah, ya Tuhan ALLAH, sesungguhnya Engkaulah yang menjadikan langit dan bumi dengan kuasa-Mu yang besar dan dengan lengan-Mu yang terhulur. Tidak ada sesuatu hal yang mustahil bagi-Mu.
18 Engkau menunjukkan kasih abadi kepada beribu-ribu orang dan membalas kesalahan nenek moyang kepada anak cucu. Ya Allah yang besar dan perkasa, yang bernama TUHAN alam semesta,
19 rancangan-Mu besar dan pekerjaan-Mu agung. Pandangan-Mu terarah pada segala jalan hidup anak-anak manusia, dan Engkau mengganjar setiap orang menurut jalan hidupnya serta menurut hasil perbuatannya.
20 Engkaulah yang mengadakan tanda-tanda dan mukjizat-mukjizat di Tanah Mesir dan melanjutkannya sampai hari ini, baik antara orang Israel mahupun antara umat manusia. Engkau menjadikan diri-Mu masyhur sebagaimana nyata pada hari ini.
21 Engkau telah membawa umat-Mu Israel keluar dari Tanah Mesir dengan tanda dan mukjizat, dengan tangan yang perkasa dan lengan yang terhulur, dan dengan kedahsyatan yang besar.
22 Engkau telah mengurniakan kepada mereka tanah ini, yang telah Kaujanjikan dengan bersumpah kepada nenek moyang mereka untuk dikurniakan kepada mereka, sebuah negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu.
23 Mereka masuk dan mendudukinya, tetapi mereka tidak mahu mematuhi-Mu atau menuruti hukum-Mu. Mereka tidak melakukan segala sesuatu yang Kauperintahkan kepada mereka untuk dilakukan. Itulah sebabnya Engkau menimpakan segala malapetaka ini kepada mereka.
24 Lihatlah, tambak-tambak pengepung yang digunakan untuk merebut kota ini datang mendekatinya. Melalui pedang, bencana kebuluran, dan wabak penyakit, kota ini telah diserahkan ke dalam tangan orang Kasdim yang memeranginya. Apa yang Kaufirmankan telah terjadi. Sungguh, Engkau melihatnya.
25 Engkau telah berfirman kepadaku, ya Tuhan ALLAH, ‘Belilah ladang itu dengan perak dan datangkanlah para saksi,’ padahal kota ini telah diserahkan ke dalam tangan orang Kasdim.”
26 Datanglah firman TUHAN kepada Yeremia demikian,
27 “Sesungguhnya, Akulah TUHAN, Allah semua manusia. Adakah sesuatu hal yang mustahil bagi-Ku?
28 Oleh sebab itu beginilah firman TUHAN: Sesungguhnya, Aku akan menyerahkan kota ini ke dalam tangan orang Kasdim dan ke dalam tangan Nebukadnezar, raja Babel. Dia akan merebutnya.
29 Orang Kasdim yang memerangi kota ini akan datang dan membakar habis kota ini. Mereka akan membakarnya bersama-sama rumah-rumah yang bumbungnya menjadi tempat membakar dupa bagi Baal dan tempat mencurahkan persembahan minuman kepada tuhan-tuhan lain untuk membangkitkan murka-Ku.
30 Sungguh, bani Israel dan bani Yehuda semata-mata melakukan apa yang jahat di mata-Ku sejak masa muda mereka. Bani Israel semata-mata membangkitkan murka-Ku dengan perbuatan tangan mereka, demikianlah firman TUHAN.
31 Kota ini telah membangkitkan amarah-Ku dan murka-Ku sejak pertama kali dibangunkan sampai hari ini, sehingga Aku harus menyingkirkannya dari hadapan-Ku,
32 kerana segala kejahatan yang dilakukan bani Israel dan bani Yehuda untuk membangkitkan murka-Ku – baik mereka, raja-raja mereka, para pembesar mereka, para imam mereka, para nabi mereka, orang Yehuda, mahupun penduduk Yerusalem.
33 Mereka menghadapkan belakang kepada-Ku, bukan muka. Sungguhpun Aku mengajar mereka terus-menerus, mereka tidak mahu mendengar dan menerima pengajaran.
34 Mereka menaruh tuhan mereka yang menjijikkan di dalam bait yang disebut dengan nama-Ku, sehingga bait itu menjadi najis.
35 Mereka membangunkan bukit-bukit pemujaan bagi Baal di Lembah Ben-Hinom untuk mempersembahkan anak-anak mereka baik lelaki mahupun perempuan sebagai korban yang dibakar bagi Molokh – hal yang tidak pernah Kuperintahkan kepada mereka, dan tidak pernah timbul dalam hati-Ku bahawa mereka harus melakukan kekejian itu – sehingga orang Yehuda berdosa.
36 Maka sekarang, beginilah firman TUHAN, Allah Israel, mengenai kota yang kamu katakan telah diserahkan ke dalam tangan raja Babel melalui pedang, bencana kebuluran, dan wabak penyakit:
37 Sesungguhnya, Aku akan mengumpulkan mereka dari segala negeri tempat Aku menghalau mereka dalam murka-Ku, kegusaran-Ku, dan amarah-Ku yang besar. Aku akan mengembalikan mereka ke tempat ini dan membuat mereka tinggal dengan aman.
38 Mereka akan menjadi umat-Ku dan Aku akan menjadi Allah mereka.
39 Aku akan mengurniakan kepada mereka satu hati dan satu jalan hidup sehingga mereka bertakwa kepada-Ku sepanjang masa demi kebaikan mereka dan keturunan mereka kelak.
40 Aku akan mengikat perjanjian yang kekal dengan mereka, bahawa Aku tidak akan berhenti berbuat baik kepada mereka. Aku akan menaruh dalam hati mereka ketakwaan kepada-Ku supaya mereka tidak menjauh daripada-Ku.
41 Aku akan berasa girang berbuat baik kepada mereka dan Aku akan menempatkan mereka di negeri ini dengan kesetiaan, dengan segenap hati-Ku dan dengan segenap jiwa-Ku.
42 Beginilah firman TUHAN: Sebagaimana Aku telah mendatangkan bagi bangsa ini segala malapetaka yang besar itu, demikianlah Aku akan mendatangkan bagi mereka segala kebaikan yang telah Kujanjikan kepada mereka.
43 Orang akan membeli ladang lagi di negeri ini, yang kamu katakan, ‘Tempat itu sunyi sepi, tanpa manusia dan haiwan. Tanah itu telah diserahkan ke dalam tangan orang Kasdim.’
44 Orang akan membeli ladang dengan perak, menandatangani surat pembelian, memateraikannya, dan mendatangkan para saksi di Tanah Benyamin, di tempat-tempat sekeliling Yerusalem, di kota-kota Yehuda, di kota-kota pergunungan, di kota-kota dataran rendah, dan di kota-kota Tanah Negeb, kerana Aku akan memulihkan keadaan mereka, demikianlah firman TUHAN.”