1 Datanglah firman TUHAN kepadaku demikian,
2 ‘Wahai anak manusia, beritahulah Yerusalem kekejian-kekejiannya.
3 Katakanlah: Beginilah firman Tuhan ALLAH kepada Yerusalem, “Asalmu dan tempat kelahiranmu ialah Tanah Kanaan. Ayahmu orang Amori dan ibumu orang Heti.
4 Beginilah kelahiranmu: pada waktu engkau dilahirkan, tali pusatmu tidak dikerat dan engkau tidak dimandikan dengan air supaya bersih. Engkau sama sekali tidak digosok dengan garam dan sama sekali tidak dibedung.
5 Tidak ada yang berasa hiba kepadamu sehingga mahu melakukan salah satu hal itu ataupun berbelas kasihan kepadamu. Engkau tercampak di padang terbuka kerana orang muak kepadamu pada hari lahirmu.
6 Kemudian Aku melintas berdekatan denganmu dan melihat engkau menendang-nendang dengan masih berlumuran darah. Ketika engkau masih berlumuran darah itu Aku berfirman kepadamu, ‘Hiduplah!’ Ya, Aku berfirman kepadamu ketika engkau berlumuran darah, ‘Hiduplah!’
7 Lalu Kubuat engkau menjadi besar seperti tumbuh-tumbuhan di padang. Engkau menjadi besar, beranjak dewasa, dan menjadi perhiasan yang terindah. Buah dadamu montok dan rambutmu tumbuh, tetapi engkau masih tanpa busana.
8 Ketika Aku melintas lagi berdekatan denganmu dan melihat engkau, ternyata engkau sudah mencapai masa akil baligh. Kubentangkan naungan-Ku ke atasmu dan Kututup auratmu. Aku bersumpah kepadamu dan mengadakan perjanjian dengan engkau, demikianlah firman Tuhan ALLAH. Maka engkau pun menjadi milik-Ku.
9 Aku memandikanmu dengan air, membasuh darah daripada tubuhmu, lalu mengurapi engkau dengan minyak.
10 Kukenakan padamu pakaian bersulam dan kasut daripada kulit anjing laut, lalu Kulilitkan linen halus pada tubuhmu dan Kututup engkau dengan kain sutera.
11 Kemudian Aku menghiasi engkau dengan pelbagai perhiasan dan mengenakan gelang pada tanganmu serta kalung pada lehermu.
12 Kukenakan pula anting-anting pada hidungmu, anting-anting pada telingamu, dan mahkota kemuliaan di kepalamu.
13 Dengan demikian engkau berhiaskan emas dan perak. Pakaianmu daripada linen halus, kain sutera, dan kain bersulam. Tepung terbaik, madu, dan minyak merupakan makananmu. Engkau menjadi amat sangat cantik dan berhasil menjadi ratu.
14 Namamu termasyhur dalam kalangan bangsa kerana kecantikanmu, kerana memang sempurna adanya oleh kegemilangan-Ku yang Kukurniakan kepadamu, demikianlah firman Tuhan ALLAH.” ’
15 ‘Akan tetapi, engkau menaruh harapan kepada kecantikanmu dan berzina dengan memanfaatkan kemasyhuranmu. Engkau melampiaskan perzinaanmu kepada setiap orang yang berlalu, dan kecantikanmu menjadi milik orang itu.
16 Engkau mengambil sebahagian daripada pakaianmu dan membuat bagimu bukit-bukit pemujaan berhiaskan aneka warna, lalu engkau berzina di situ. Hal itu tidak seharusnya terjadi dan tidak boleh terjadi lagi.
17 Engkau mengambil pula barang-barang indah daripada emas dan perak yang Kukurniakan kepadamu. Kaubuat bagimu patung-patung lelaki lalu engkau berbuat kafir dengan berhala-berhala itu.
18 Pakaianmu yang bersulam kauambil lalu kaututupkan pada berhala-berhala itu. Kepada berhala-berhala itu kauberikan minyak dan dupa yang seharusnya kaupersembahkan kepada-Ku.
19 Santapan persembahan milik-Ku yang Kukurniakan kepadamu – tepung terbaik, minyak, dan madu yang Kuberikan sebagai makananmu – kaupersembahkan kepada berhala-berhala itu sebagai bauan harum yang harum. Itulah yang terjadi, demikianlah firman Tuhan ALLAH.
20 Engkau mengambil anak-anakmu baik lelaki mahupun perempuan yang kaulahirkan sebagai milik-Ku dan mempersembahkan mereka sebagai makanan kepada berhala-berhala itu. Adakah perzinaanmu itu perkara yang ringan?
21 Engkau menyembelih anak-anak-Ku dan mempersembahkan mereka dengan membakar mereka sebagai korban bagi berhala-berhala.
22 Di tengah-tengah segala kekejianmu dan perzinaanmu engkau tidak ingat akan masa mudamu ketika engkau tanpa busana dan menendang-nendang dengan berlumuran darah.
23 Malangnya! Malangnya engkau! Demikianlah firman Tuhan ALLAH. Setelah kaulakukan segala kejahatanmu itu,
24 engkau membangunkan bagimu tempat keramat dan membuat bagimu bukit pemujaan di setiap tempat umum.
25 Di setiap hujung jalan kaubina bukit pemujaan dan kaujadikan kecantikanmu suatu kekejian. Tubuhmu kautawarkan kepada setiap orang yang berlalu dan engkau melipatgandakan perzinaanmu.
26 Engkau berzina dengan orang Mesir, tetangga-tetanggamu yang besar nafsu itu, lalu perzinaanmu kaulipatgandakan untuk membangkitkan murka-Ku.
27 Ketahuilah, Aku menghulurkan tangan-Ku melawan engkau dan mengurangi bahagian yang diperuntukkan kepadamu. Aku menyerahkan engkau untuk diperlakukan sewenang-wenang oleh orang yang membenci engkau, iaitu oleh perempuan Filistin yang malu melihat kelakuanmu yang cabul.
28 Belum puas dengan itu, engkau berzina pula dengan orang Asyur. Bahkan setelah engkau berzina dengan mereka, engkau masih belum juga puas.
29 Perzinaanmu kaulipatgandakan lagi ke negeri perdagangan, ke Tanah Kasdim, tetapi dengan itu pun engkau belum puas.
30 Betapa rosaknya hatimu, demikianlah firman Tuhan ALLAH, bahawa engkau melakukan segala hal ini, iaitu perbuatan perempuan sundal yang kurang ajar.
31 Ketika engkau membangunkan tempat keramatmu di setiap hujung jalan dan membuat bukit pemujaanmu di setiap tempat umum, engkau tidak bertindak seperti perempuan sundal biasa kerana engkau menolak upah sundal.
32 Wahai isteri yang berzina, yang menyambut orang lain ganti suaminya!
33 Setiap perempuan sundal diberi upah, tetapi engkau justeru memberikan upah untuk memujuk semua kekasihmu, dan menyuap mereka supaya mereka datang kepadamu dari segala penjuru untuk berzina denganmu.
34 Jadi, dalam perzinaanmu engkau berbeza daripada perempuan-perempuan lain. Tiada seorang pun mengejar engkau untuk berzina, tetapi justeru engkaulah yang memberikan upah sundal, sedangkan engkau sendiri tidak diberi upah apa-apa. Itulah perbezaannya.
35 Oleh sebab itu, wahai perempuan sundal, dengarlah firman TUHAN!
36 Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Kerana nafsumu telah terlampiaskan dan auratmu telah tersingkap dalam perzinaanmu dengan kekasih-kekasihmu, dan kerana segala berhala kekejianmu serta darah anak-anakmu yang telah kaupersembahkan kepada segala berhala itu,
37 maka sesungguhnya Aku akan mengumpulkan semua kekasihmu, iaitu temanmu untuk bersenang-senang, baik semua orang yang kaucintai mahupun semua orang yang kaubenci. Akan Kukumpulkan mereka untuk melawan engkau dari segala penjuru dan akan Kusingkapkan auratmu kepada mereka sehingga mereka melihat segala kebogelanmu.
38 Aku akan menghukum engkau seperti menghukum perempuan penzina dan penumpah darah. Akan Kubalas kepadamu penumpahan darah yang membangkitkan murka dan kecemburuan-Ku.
39 Engkau akan Kuserahkan ke dalam tangan mereka, dan mereka akan meruntuhkan tempat keramatmu serta merobohkan bukit-bukit pemujaanmu. Mereka pun akan melucuti pakaianmu, merampas barang-barang perhiasanmu, dan meninggalkan engkau tanpa busana.
40 Kemudian mereka akan membawa sekumpulan orang untuk melawan engkau, lalu orang ini akan merejam engkau dengan batu dan mencencang engkau dengan pedangnya.
41 Rumah-rumahmu akan dibakar habis oleh mereka, dan mereka akan menjatuhkan hukuman kepadamu di hadapan mata ramai perempuan. Aku akan menghentikan perzinaanmu dan engkau pun tidak akan memberikan upah sundal lagi.
42 Demikianlah Aku akan melampiaskan murka-Ku kepadamu hingga kecemburuan-Ku surut. Setelah itu, Aku akan berasa tenang dan tidak murka lagi.
43 Kerana engkau tidak ingat akan masa mudamu, malah membangkitkan murka-Ku dengan segala hal ini, maka sesungguhnya Aku sendiri akan membalas perilakumu kepadamu, demikianlah firman Tuhan ALLAH, sehingga engkau tidak akan lagi melakukan perbuatan yang cabul di samping segala kekejianmu.
44 Ketahuilah, setiap orang yang biasa menggunakan pepatah akan mengucapkan pepatah ini mengenai engkau: ‘Sebagaimana ibu, demikianlah anak perempuannya.’
45 Engkaulah anak perempuan ibumu, yang muak kepada suami dan anak-anaknya. Engkaulah saudara perempuan adik perempuanmu dan kakakmu, yang muak kepada suami dan anak mereka. Ibumu orang Heti dan ayahmu orang Amori.
46 Kakakmu ialah Samaria, yang tinggal dengan anak-anak perempuannya di sebelah utaramu. Dan adik perempuanmu ialah Sodom, yang tinggal di sebelah selatanmu dengan anak-anak perempuannya.
47 Engkau bukan sahaja hidup menurut perilaku mereka dan bertindak menurut kekejian mereka, tetapi dalam sekejap sahaja seluruh perilakumu menjadi lebih rosak daripada mereka.
48 Demi Aku yang hidup, demikianlah firman Tuhan ALLAH, sesungguhnya Sodom adikmu dengan anak-anak perempuannya tidak berbuat seperti yang kaulakukan dengan anak-anak perempuanmu.
49 Ketahuilah, inilah kesalahan Sodom, adikmu itu: kebongkakan, kelimpahan makanan, dan kesenangan hidup ada padanya serta anak-anak perempuannya, tetapi ia tidak membantu orang miskin dan orang melarat.
50 Mereka menjadi sombong dan melakukan kekejian di hadapan-Ku. Oleh sebab itu Kusingkirkan mereka ketika Aku melihat hal itu.
51 Samaria tidak melakukan setengah pun daripada dosa-dosamu. Kekejianmu jauh lebih banyak daripada mereka, sehingga para saudara perempuanmu itu kelihatan benar berbanding dengan segala kekejian yang kaulakukan.
52 Tanggunglah aibmu sendiri, kerana engkau telah membuat hukuman bagi para saudara perempuanmu menjadi lebih ringan. Oleh sebab dosa-dosa yang kaulakukan lebih keji daripada dosa-dosa mereka, maka mereka menjadi lebih benar daripada engkau. Berasa malulah engkau dan tanggunglah aibmu, kerana engkau membuat para saudara perempuanmu kelihatan benar.” ’
53 ‘Namun begitu, Aku akan memulihkan keadaan mereka, baik keadaan Sodom dengan anak-anak perempuannya mahupun keadaan Samaria dengan anak-anak perempuannya. Aku juga akan memulihkan keadaanmu di tengah-tengah mereka,
54 supaya engkau menanggung aibmu dan berasa malu atas semua yang kaulakukan ketika engkau menjadi penghiburan bagi mereka.
55 Adikmu Sodom dengan anak-anak perempuannya akan dipulihkan seperti keadaannya semula, demikian pula Samaria dengan anak-anak perempuannya. Engkau dengan anak-anak perempuanmu pun akan dipulihkan seperti keadaanmu semula.
56 Bukankah Sodom, adikmu, menjadi buah mulutmu pada masa kebongkakanmu,
57 sebelum kejahatanmu tersingkap? Kini ini engkau seperti dia, menjadi celaan anak-anak perempuan Edom dan semua orang di sekitar mereka, iaitu anak-anak perempuan Filistin yang menghina engkau dari sekelilingmu.
58 Engkau harus menanggung akibat perbuatan kecabulanmu dan kekejianmu, demikianlah firman TUHAN.
59 Sebab beginilah firman Tuhan ALLAH, “Aku akan memperlakukan engkau setimpal dengan yang kaulakukan, kerana engkau telah meremehkan sumpah dengan mengingkari perjanjian.
60 Tetapi Aku akan mengingati perjanjian-Ku dengan engkau pada masa mudamu dan akan meneguhkan suatu perjanjian yang kekal bagimu.
61 Barulah engkau akan teringat bagaimana perilakumu, dan berasa malu pada waktu engkau menyambut para saudaramu, iaitu kakak dan adikmu. Aku akan mengurniakan mereka kepadamu untuk menjadi anak-anakmu tetapi bukan atas asas perjanjian denganmu.
62 Aku akan meneguhkan perjanjian-Ku denganmu dan engkau akan tahu bahawa Akulah TUHAN.
63 Dengan demikian engkau akan mengingat hal-hal yang telah lalu, berasa malu, dan tidak berani lagi membuka mulut kerana aibmu pada waktu Aku mengadakan pendamaian bagimu atas semua yang kaulakukan, demikianlah firman Tuhan ALLAH.” ’