1 Setelah itu, kita berangkat dan menuju ke arah Basan. Og, raja Basan, berserta seluruh pasukannya keluar menghadapi kita untuk berperang di Edrei.
2 Namun demikian, TUHAN berfirman kepadaku, ‘Jangan takut kepadanya, kerana Aku telah menyerahkan dia ke dalam tanganmu juga seluruh pasukannya dan negerinya. Perlakukanlah dia seperti engkau memperlakukan Sihon, raja bani Amori, yang tinggal di Hesbon.’
3 Demikianlah TUHAN, Allah kita, menyerahkan Og, raja Basan dan seluruh pasukannya ke dalam tangan kita. Kita mengalahkannya, tiada seorang pun yang kita biarkan terselamat.
4 Pada waktu itu kita merebut semua kotanya. Tidak ada kota yang tidak kita rebut daripada mereka – enam puluh buah kota, iaitu seluruh kawasan Argob, kerajaan Og di Basan.
5 Semua kota itu berkubu, bertembok tinggi, berpintu gerbang, dan berpalang, di samping kota-kota tidak bertembok yang sangat banyak jumlahnya.
6 Kita menumpas mereka seperti yang kita lakukan terhadap Sihon, raja Hesbon. Kita tumpas penduduk, baik lelaki, perempuan, mahupun kanak-kanak di setiap kota.
7 Tetapi segala ternakan dan jarahan dari kota-kota itu kita rampas untuk diri kita.
8 Demikianlah pada waktu itu kita merebut negeri itu daripada tangan kedua-dua orang raja bani Amori yang tinggal di seberang Sungai Yordan, dari Lembah Arnon sampai ke Gunung Hermon.
9 (Hermon disebut Siryon oleh orang Sidon, tetapi bani Amori menyebutnya Senir),
10 semua kota di dataran tinggi, seluruh Gilead dan seluruh Basan sampai ke Salkha dan Edrei, iaitu kota-kota kerajaan Og di Basan.
11 (Hanya Og, raja Basan itu, yang masih tinggal hidup daripada saki-baki orang Refaim. Bukankah tempat tidurnya, katil daripada besi, masih tersimpan di Raba, kota bani Amon? Panjangnya sembilan hasta dan lebarnya hampir empat hasta, menurut hasta yang lazim.)
12 Setelah kita menduduki negeri itu pada waktu itu, wilayah dari Aroer di Lembah Arnon dan separuh Gilead dengan kota-kotanya kuberikan kepada bani Ruben dan bani Gad
13 manakala wilayah Gilead yang selebihnya serta seluruh Basan, iaitu seluruh kawasan Argob, kerajaan Og, kuberikan kepada separuh suku Manasye. (Seluruh Basan itu disebut negeri orang Refaim.
14 Yair, keturunan Manasye, merebut seluruh kawasan Argob sampai ke perbatasan wilayah orang Gesur dan orang Maakha. Kemudian dinamainya Basan itu Hawot-Yair, menurut namanya sendiri, sampai hari ini.)
15 Kepada Makhir kuberikan Gilead.
16 Kepada bani Ruben dan bani Gad kuberikan wilayah dari Gilead sampai ke Lembah Arnon, dengan bahagian tengah lembah sebagai perbatasannya, lalu terus ke Sungai Yabok, perbatasan daerah bani Amon;
17 demikian juga wilayah Araba dengan Sungai Yordan sebagai batasnya, dari Danau Kineret sampai ke Laut Araba, iaitu Laut Mati di kaki lereng Gunung Pisga ke arah timur.
18 Pada waktu itu aku memberikan perintah kepadamu, ‘TUHAN, Allahmu, telah mengurniakan negeri ini kepadamu untuk diduduki. Hendaklah orang kamu yang bersenjata, iaitu semua orang yang gagah perkasa, menyeberang di depan saudaramu orang Israel.
19 Tetapi biarlah isterimu, anakmu, dan segala ternakanmu (aku tahu bahawa kamu mempunyai banyak ternakan) tinggal di kota-kota yang telah kuberikan kepadamu,
20 sampai TUHAN mengurniakan ketenteraman kepada saudaramu seperti kepadamu, dan mereka juga memiliki negeri yang dikurniakan TUHAN, Allahmu, kepada mereka di seberang Sungai Yordan. Setelah itu barulah kamu boleh kembali, masing-masing ke tanah miliknya yang telah kuberikan kepadamu.’
21 Kemudian pada waktu itu juga aku memberikan perintah kepada Yosua, ‘Dengan matamu sendiri kamu telah melihat semua yang dilakukan TUHAN, Allahmu, ke atas kedua-dua orang raja itu. TUHAN pun akan melakukan hal yang sedemikian itu terhadap semua kerajaan di tempat yang akan kamu masuki.
22 Jangan takut kepada mereka, kerana TUHAN, Allahmu, Dialah yang akan berperang untukmu.’
23 Pada waktu itu pula aku memohon belas kasihan TUHAN,
24 ‘Ya Tuhan ALLAH, Engkau telah mulai menyatakan kepada hamba-Mu ini kebesaran-Mu dan kekuatan-Mu, kerana tuhan manakah di langit atau di bumi dapat melakukan perbuatan yang perkasa seperti Engkau?
25 Izinkanlah hamba menyeberang dan melihat negeri yang baik di seberang Sungai Yordan itu, pergunungan yang baik, dan juga Lebanon.’
26 Akan tetapi, TUHAN murka kepadaku kerana kamu dan tidak mahu mendengar permohonanku. Firman TUHAN kepadaku, ‘Cukup! Jangan bicarakan lagi hal itu dengan-Ku.
27 Naiklah ke puncak Gunung Pisga dan layangkanlah pandangan ke barat, ke utara, ke selatan, dan ke timur. Lihatlah dengan saksama, kerana engkau tidak akan menyeberangi Sungai Yordan ini.
28 Berikanlah perintah kepada Yosua, kuatkanlah dan teguhkanlah hatinya, kerana dialah yang akan memimpin bangsa ini menyeberang dan dialah yang akan memimpin mereka untuk mewarisi negeri yang akan engkau lihat itu.’
29 Maka tinggallah kita di lembah yang berseberangan dengan Bet-Peor.