1 Jika secara ikhlas engkau bersungguh-sungguh mematuhi TUHAN, Allahmu, dan melakukan dengan setia segala perintah-Nya yang kusampaikan kepadamu pada hari ini, maka TUHAN, Allahmu, akan meninggikan engkau mengatasi segala bangsa di bumi.
2 Segala berkat ini akan datang ke atasmu dan sampai kepadamu, jika engkau mematuhi TUHAN, Allahmu:
3 Diberkatilah engkau di kota dan diberkatilah engkau di ladang.
4 Diberkatilah buah kandunganmu, hasil tanahmu, dan hasil ternakanmu, iaitu anak lembumu dan kawanan dombamu.
5 Diberkatilah bakulmu dan tempat adunanmu.
6 Diberkatilah engkau ketika engkau masuk dan diberkatilah engkau ketika engkau keluar.
7 TUHAN akan menyebabkan musuhmu yang menyerang kamu tumpas di hadapanmu. Mereka akan datang melalui satu jalan untuk menggempur kamu, tetapi akan lari dari hadapanmu melalui tujuh jalan.
8 TUHAN akan memerintahkan berkat-Nya turun ke atas bangsal-bangsal di ladangmu dan ke atas segala usaha kamu. Dia akan memberkati engkau di negeri yang dikurniakan TUHAN, Allahmu, kepadamu.
9 TUHAN akan meneguhkan kamu sebagai umat-Nya yang suci, seperti yang disumpah-Nya kepadamu, asalkan kamu mentaati segala perintah TUHAN, Allahmu, dan hidup menurut jalan-Nya.
10 Segala bangsa di bumi akan melihat bahawa nama TUHAN disebut olehmu, dan mereka akan takut kepadamu.
11 TUHAN akan membuat kamu berkelimpahan dalam kebaikan, dalam buah kandunganmu, hasil ternakanmu, dan hasil bumimu di tanah yang TUHAN sumpah untuk memberikan kepada nenek moyangmu.
12 TUHAN akan membuka bagimu perbendaharaan-Nya yang baik, iaitu langit, untuk menurunkan hujan ke atas tanahmu pada musimnya dan untuk memberkati segala pekerjaan tanganmu. Engkau akan memberikan pinjaman kepada banyak bangsa, tetapi engkau sendiri tidak akan meminjam.
13 TUHAN akan membuat engkau menjadi kepala, bukan ekor. Engkau akan berada di atas dan bukan di bawah, asalkan engkau mematuhi segala perintah TUHAN, Allahmu, yang kusampaikan kepadamu pada hari ini untuk kaulakukan dengan setia,
14 dan tidak menyimpang ke kanan atau ke kiri daripada segala hal yang kusampaikan kepadamu pada hari ini dengan mengikuti tuhan-tuhan lain serta beribadat menyembah mereka.
15 Akan tetapi, jika kamu tidak mahu mematuhi TUHAN, Allahmu, untuk melakukan dengan setia segala perintah-Nya dan kanun-Nya yang kusampaikan kepadamu pada hari ini, maka segala kutukan ini mendatangi ke atasmu dan sampai kepadamu:
16 Terlaknatlah kamu di kota dan terlaknatlah kamu di ladang.
17 Terlaknatlah bakulmu dan tempat adunanmu.
18 Terlaknatlah buah kandunganmu, hasil tanahmu, anak lembumu, dan kawanan dombamu.
19 Terlaknatlah kamu ketika kamu masuk dan terlaknatlah kamu ketika kamu keluar.
20 TUHAN akan mengirimkan kepadamu kutukan, kekacauan, dan herdikan dalam segala usaha yang kamu lakukan, hingga dengan segera kamu punah dan binasa akibat kemungkaran yang kamu lakukan, kerana kamu telah meninggalkan Aku.
21 TUHAN akan melekatkan wabak penyakit padamu hingga kamu habis dari tanah yang akan kamu masuki untuk diduduki.
22 TUHAN akan mengazab kamu dengan batuk kering, demam, radang, panas yang menyengat, kemarau, kelayuan tanaman, dan penyakit bijirin. Semua itu akan mengejar kamu hingga kamu binasa.
23 Langit di atas kepalamu akan menjadi gangsa dan bumi di bawahmu akan menjadi besi.
24 Hujan di negerimu akan dibuat TUHAN menjadi debu, dan abulah yang akan turun dari langit ke atasmu hingga kamu binasa.
25 TUHAN akan menyebabkan kamu tumpas di hadapan musuh-musuhmu. Kamu akan mara melalui satu jalan untuk menyerang mereka, tetapi akan lari melalui tujuh jalan dari hadapan mereka. Kamu akan menjadi suatu kengerian bagi segala kerajaan di bumi.
26 Mayatmu akan menjadi makanan segala burung di udara serta binatang di bumi, dan tiada seorang pun akan mengusir haiwan itu.
27 TUHAN akan mengazab kamu dengan bisul Mesir, borok, kudis, dan kurap yang tidak dapat disembuhkan.
28 TUHAN pun akan mengazab kamu dengan ketidaksiuman, kebutaan, dan kekacauan fikiran.
29 Kamu akan meraba-raba pada tengah hari, seperti orang buta yang meraba-raba dalam kegelapan. Perjalananmu tidak akan berhasil. Sebaliknya, kamu akan selalu diperas dan dirampas orang tanpa ada yang menolong.
30 Kamu akan bertunangan dengan seorang perempuan, tetapi orang lain akan menidurinya. Kamu akan membina rumah, tetapi tidak akan tinggal di dalamnya. Kamu akan menanami kebun anggur, tetapi tidak akan menikmati hasilnya.
31 Lembumu akan dibantai orang di hadapan matamu, tetapi kamu tidak akan memakan dagingnya. Keldaimu akan dirampas dari hadapanmu dan tidak akan dikembalikan kepadamu. Dombamu akan diserahkan kepada musuh-musuhmu, dan tiada seorang pun akan menolong kamu.
32 Anak-anakmu baik lelaki mahupun perempuan akan diserahkan kepada bangsa lain. Matamu menyaksikannya dan menjadi sayu kerana merindukan mereka sepanjang hari, namun kamu tidak berdaya.
33 Hasil tanahmu dan segala jerih lelahmu akan dibaham oleh bangsa yang tidak kamu kenal, dan kamu akan selalu diperas serta ditindas.
34 Kamu akan menjadi gila kerana apa yang kamu lihat.
35 TUHAN akan mengazab kamu dengan bisul parah yang tidak dapat disembuhkan pada lutut dan pahamu, juga dari telapak kakimu sampai ke ubun-ubunmu.
36 TUHAN akan membawa kamu serta rajamu yang kamu lantik kepada suatu bangsa yang tidak dikenal baik kamu mahupun nenek moyangmu. Di sana kamu akan menyembah tuhan-tuhan lain yang terbuat daripada kayu dan batu.
37 Kamu akan menjadi suatu kengerian, ibarat, dan sindiran dalam kalangan segala bangsa tempat TUHAN menggiring kamu.
38 Banyak benih yang akan kamu bawa ke ladang, tetapi sedikit sahaja hasil yang akan kamu kumpulkan, kerana belalang akan melahapnya.
39 Kamu akan menanami kebun-kebun anggur dan menggarapnya namun tidak akan meminum air anggurnya dan tidak akan mengumpulkan hasilnya, kerana ulat-ulat akan melahapnya.
40 Pokok-pokok zaitun akan ada di seluruh daerahmu, tetapi kamu tidak akan mengurapi dirimu dengan minyaknya, kerana buah-buah zaitunmu akan gugur.
41 Kamu akan mempunyai anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan, tetapi mereka tidak akan menjadi milikmu, kerana mereka akan pergi sebagai tawanan.
42 Segala pokok yang kamu tanam dan hasil tanahmu akan dimakan habis oleh kawanan belalang.
43 Kaum pendatang yang ada antaramu akan bangkit menjadi semakin tinggi mengatasi kamu. Akan tetapi, kamu akan menjadi semakin rendah.
44 Mereka akan memberikan pinjaman kepadamu, tetapi kamu tidak akan memberikan pinjaman kepada mereka. Mereka akan menjadi kepala, sedangkan kamu akan menjadi ekor.
45 Demikianlah segala laknat itu akan datang ke atasmu, mengejar kamu, dan sampai kepadamu hingga kamu punah, kerana kamu tidak mahu mematuhi TUHAN, Allahmu, dan tidak berpegang teguh pada segala perintah serta kanun-Nya yang disampaikan-Nya kepadamu.
46 Semua itu akan menjadi tanda ajaib dan mukjizat bagimu dan bagi keturunanmu untuk selama-lamanya.
47 Atas sebab kamu tidak beribadat kepada TUHAN, Allahmu, dengan gembira dan dengan hati yang riang atas segala kelimpahan yang ada
48 maka kamu akan menjadi hamba musuh-musuhmu, yang dikerahkan TUHAN untuk melawan kamu, dalam keadaan lapar, haus, telanjang, serta kekurangan segala sesuatu. Mereka akan memasang kuk besi pada tengkuk kamu hingga mereka memunahkan kamu.
49 TUHAN akan mendatangkan kepadamu sebuah bangsa dari jauh, dari hujung bumi, yang terbang melayah turun seperti rajawali – bangsa yang kamu tidak mengerti bahasanya,
50 bangsa yang garang mukanya, yang tidak mengendahkan orang tua dan juga tidak mengasihani kalangan muda.
51 Mereka akan melahap hasil ternakanmu dan hasil tanahmu hingga kamu punah. Mereka pun tidak akan meninggalkan sisa bagimu daripada gandum, anggur, atau minyak, juga anak lembumu dan kawanan dombamu, hingga kamu dibinasakan.
52 Mereka akan mengepung kamu di segala kotamu, hingga runtuh tembok-tembok kebal yang kamu percayai yang tinggi dan berkubu di seluruh negerimu itu. Kamu akan dikepung di segala kotamu, di seluruh negeri yang dikurniakan TUHAN, Allahmu, kepadamu.
53 Dalam saat kesesakan sewaktu dikepung oleh musuhmu itu, kamu akan memakan buah kandunganmu sendiri, iaitu daging anak-anakmu, baik lelaki mahupun perempuan, yang dikurniakan TUHAN, Allahmu, kepadamu.
54 Lelaki yang paling lembut dan halus antaramu akan tidak mengasihani saudaranya, isterinya sendiri, dan anak-anaknya yang masih tinggal dengannya.
55 Dia tidak akan memberikan sedikit pun daging anak-anaknya yang sedang dimakannya kepada seorang daripada mereka, kerana tidak ada sisa apa-apa lagi padanya dalam kesesakan saat musuh mengepung kamu di segala kotamu.
56 Demikian pula perempuan yang paling lembut dan halus antaramu, yang tidak pernah mencuba menjejakkan telapak kakinya ke tanah kerana kehalusan dan kelembutannya. Dia tidak akan mengasihani suaminya dan anaknya baik lelaki mahupun perempuan
57 kerana dia bermaksud memakan bayi yang baru dilahirkannya berserta urinya secara sembunyi-sembunyi. Hal itu dilakukannya kerana dia kekurangan segala sesuatu selama musuh mengepung kamu di kota-kotamu.
58 Jika kamu tidak berhemat mengikut semua kata dalam hukum Taurat yang tertulis dalam kitab ini dan tidak takut kepada nama yang mulia serta terhebat, iaitu TUHAN, Allahmu,
59 maka TUHAN akan menimpakan kepadamu dan kepada keturunanmu azab yang luar biasa – segala azab yang besar dan lama serta penyakit-penyakit yang parah bagi tempoh yang lama juga.
60 Dia juga akan mendatangkan ke atasmu segala wabak penyakit Mesir yang kautakuti itu. Semua itu akan melekat kepadamu.
61 Bahkan segala penyakit dan segala azab yang tidak dituliskan dalam Kitab Suci Taurat ini pun akan didatangkan TUHAN kepadamu hingga kamu punah.
62 Sekalipun dahulunya kamu ramai sebagaimana bintang-bintang di langit, jumlahmu akan tinggal sedikit sahaja kerana kamu tidak mahu mematuhi TUHAN, Allahmu.
63 Jadi, sebagaimana TUHAN dengan senang telah berbuat baik kepadamu serta meramaikan jumlahmu, demikian juga TUHAN dengan senang akan membinasakan dan memunahkan kamu. Kamu akan dicabut-Nya dari tanah yang akan kaumasuki untuk kaududuki.
64 TUHAN pun akan mencerai-beraikan kamu antara segala bangsa dari hujung bumi ke hujung bumi. Di sana kamu akan beribadat menyembah tuhan-tuhan kayu dan batu, yang tidak dikenali baik olehmu mahupun oleh nenek moyangmu.
65 Antara bangsa itu kamu tidak akan mendapat ketenangan. Tidak akan ada tempat perhentian bagi telapak kakimu. Di sana TUHAN akan memberikan kepadamu hati yang gementar, mata yang sayu, dan jiwa yang merana.
66 Hidupmu akan terkatung-katung. Siang dan malam kamu akan ketakutan, dan tidak ada kepastian dalam hidupmu.
67 Pada pagi kamu akan berkata, ‘Kalaulah sudah malam,’ dan pada waktu senja kamu akan berkata, ‘Kalaulah sudah pagi,’ kerana ketakutan yang dirasakan hatimu serta hal-hal yang kaulihat dengan matamu.
68 TUHAN akan membawa kamu kembali ke Mesir dengan kapal-kapal melalui jalan yang pernah kukatakan kepadamu, ‘Kamu tidak akan melihatnya lagi.’ Di sana kamu akan menjual diri kepada musuh-musuhmu untuk menjadi hamba lelaki dan hamba perempuan, tetapi tiada seorang pun akan membeli kamu.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Ulangan 28
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Ulangan 28

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV