1 Seandainya seorang lelaki meminang seorang perempuan dan memperisterinya, tetapi kemudian dia tidak menyukai perempuan itu lagi setelah mendapati ada sesuatu aib padanya, maka dia boleh menulis serta menyerahkan surat cerai kepada perempuan itu dan menyuruh dia pergi dari rumahnya.
2 Setelah perempuan itu keluar dari rumahnya dan pergi dari sana, dia boleh menjadi isteri orang lain.
3 Tetapi jika suaminya yang kedua itu juga tidak menyukainya lalu menulis dan menyerahkan surat talak kepada perempuan itu serta menyuruh dia pergi dari rumahnya; atau sekiranya suaminya yang terakhir itu meninggal,
4 maka suaminya yang pertama, yang dahulu telah menyuruhnya pergi, tidak boleh mengambilnya kembali menjadi isteri setelah perempuan itu ternajis, kerana hal itu keji di hadapan TUHAN. Janganlah kamu datangkan dosa atas negeri yang dikurniakan TUHAN, Allahmu, kepadamu sebagai harta pusaka.
5 Apabila seorang lelaki baru menikahi seorang perempuan, dia tidak boleh pergi berperang dan tidak boleh dibebani urusan apa-apa pun. Hendaklah dia diberi kelepasan selama setahun untuk mengurus rumah tangganya dan menyenangkan hati isterinya itu.
6 Janganlah sesiapa pun mengambil tempat mengisar atau batu kisar sebagai gadaian, kerana itu bererti dia mengambil penyambung hidup sebagai gadaian.
7 Jika didapati bahawa seseorang menculik seorang saudaranya daripada orang Israel, lalu menjadikannya sebagai hamba atau menjualnya, maka hendaklah penculik itu dihukum mati. Demikianlah hendaknya kamu menyingkirkan yang jahat daripada kalanganmu.
8 Berwaspadalah sekiranya munculnya penyakit kusta. Maka berhati-hatilah melakukan segala yang diajarkan kepadamu oleh para imam Lewi. Seperti yang kuperintahkan kepada mereka, demikianlah perlu kamu lakukan dengan cermat.
9 Ingatlah apa yang dilakukan TUHAN, Allahmu, kepada Miryam dalam perjalananmu setelah keluar dari Mesir.
10 Apabila kamu meminjamkan sesuatu kepada sesamamu, jangan masuk ke dalam rumahnya untuk mengambil jaminannya.
11 Berdirilah di luar dan biarlah orang yang kamu beri pinjaman itu membawa jaminannya kepadamu di luar.
12 Jika dia seorang miskin, jangan sampai waktu tidur kamu tahan jaminannya itu.
13 Hendaklah kamu kembalikan jaminan itu kepadanya pada waktu matahari terbenam, supaya dia dapat tidur dengan memakai pakaiannya sendiri dan memohonkan berkat bagimu. Dengan demikian kamu dipandang benar di hadapan TUHAN, Allahmu.
14 Jangan tindas orang upahan yang miskin dan melarat, baik saudaramu mahupun pendatang yang ada di negerimu, di dalam kotamu.
15 Berikanlah upahnya sebelum matahari terbenam setiap harinya, kerana dia miskin; hidupnya bergantung pada upah itu. Jangan sampai dia berseru kepada TUHAN mengenai kamu, dan hal itu menjadi dosa bagimu.
16 Seorang ayah tidak boleh dihukum mati kerana anaknya, dan anak tidak boleh dihukum mati kerana ayahnya. Hendaklah setiap orang dihukum mati atas dosanya sendiri.
17 Jangan putarbalikkan keadilan kaum pendatang atau anak yatim. Jangan ambil pakaian seorang balu sebagai gadaian.
18 Ingatlah bahawa dahulunya kamu juga hamba di Mesir, lalu TUHAN, Allahmu, membebaskan kamu dari sana. Itulah sebabnya aku memerintahkan kamu melakukan hal ini.
19 Setelah kamu menuai hasil tanahmu lalu ternyata tertinggal seberkas di ladangmu, jangan kembali untuk mengambilnya. Itulah bahagian para pendatang, anak yatim, dan balu. Dengan demikian, TUHAN, Allahmu, akan memberkati kamu dalam segala pekerjaan tanganmu.
20 Setelah kamu menjolok buah pokok zaitunmu, jangan kauperiksa dahan-dahannya sekali lagi. Itulah bahagian para pendatang, anak yatim, dan balu.
21 Demikian pula setelah kamu memetik hasil kebun anggurmu, jangan kamu balik untuk memetik sekali lagi. Itulah bahagian para pendatang, anak yatim, dan balu.
22 Ingatlah bahawa dahulunya kamu juga hamba di Tanah Mesir. Itulah sebabnya aku memerintahkan kamu melakukan hal ini.