1 Janganlah kamu persembahkan lembu atau domba yang ada sebarang cacat cela kepada TUHAN, Allahmu, kerana itu sesuatu yang keji bagi TUHAN, Allahmu.
2 Seandainya dalam kalangan kamu, didapati seorang lelaki atau perempuan yang melakukan sesuatu yang jahat di mata TUHAN, Allahmu di salah sebuah kota yang dikurniakan TUHAN, Allahmu, kepadamu yakni dia melanggar perjanjian-Nya
3 dengan pergi beribadat dan sujud menyembah tuhan-tuhan lain atau menyembah matahari, bulan, atau seluruh cakerawala di langit yang Kularang
4 dan kemudian hal itu diberitahukan kepadamu atau terdengar oleh kamu, dan setelah engkau menyelidikinya dengan baik ternyata hal itu benar dan terbukti bahawa hal keji itu memang dilakukan dalam kalangan orang Israel,
5 maka hendaklah lelaki atau perempuan yang telah melakukan hal yang jahat itu dibawa ke pintu gerbang dan harus kaurejam dengan batu sampai mati.
6 Hendaklah orang itu dihukum mati berdasarkan keterangan dua atau tiga orang saksi; seseorang tidak boleh dihukum mati hanya berdasarkan keterangan seorang saksi sahaja.
7 Hendaklah tangan para saksilah yang pertama-tama sekali bergerak untuk menjalankan hukuman mati itu, kemudian barulah tangan seluruh umat. Demikianlah harus kausingkirkan orang yang jahat itu daripada kalanganmu.
8 Jika di kota-kotamu muncul persengketaan tentang perkara hukum yang terlalu sukar untuk kauputuskan misalnya perihal bunuh-membunuh, serang-menyerang, tuntut-menuntut, atau luka-melukai, maka pergilah segera ke tempat yang akan dipilih TUHAN, Allahmu.
9 Pergilah menghadap para imam Lewi serta hakim yang ada pada waktu itu untuk berunding serta menanyakan pendapat mereka, dan mereka akan menyatakan kepadamu keputusan hukum.
10 Turutlah keputusan hukum yang dinyatakan mereka kepadamu di tempat yang akan dipilih TUHAN itu dan lakukanlah dengan saksama semua yang ditunjukkan mereka kepadamu.
11 Lakukanlah tepat seperti hukum yang ditunjukkan mereka kepadamu dan seperti keputusan yang dikatakan mereka kepadamu. Jangan menyimpang daripada keputusan yang dinyatakan mereka kepadamu, baik ke kanan mahupun ke kiri.
12 Orang yang semberono dan tidak mendengar kata-kata imam yang bertugas di sana sebagai pelayan TUHAN, Allahmu, atau kata-kata hakim itu, harus dihukum mati. Demikianlah harus kausingkirkan yang jahat itu daripada kalangan orang Israel.
13 Maka seluruh umat akan mendengar hal itu dan menjadi takut, sehingga mereka tidak lagi semberono.
14 Apabila engkau sudah masuk ke negeri yang dikurniakan kepadamu oleh TUHAN, Allahmu, dan apabila engkau sudah memilikinya serta tinggal di dalamnya lalu engkau berkata, ‘Aku hendak mengangkat seorang raja atasku seperti segala bangsa yang ada di sekelilingku,’
15 maka pastikanlah engkau mengangkat atasmu seorang raja yang dipilih TUHAN, Allahmu. Angkatlah seorang raja atasmu daripada kalangan saudaramu, jangan seorang asing yang bukan saudaramu.
16 Hanya, dia tidak boleh memiliki banyak kuda dan tidak boleh menyuruh bangsa ini kembali ke Mesir demi memperbanyak bilangan kudanya, kerana TUHAN telah berfirman kepadamu, ‘Jangan kembali melalui jalan ini lagi.’
17 Tidak boleh dia mempunyai banyak isteri, supaya jangan hatinya menyimpang. Begitu juga dia pun tidak boleh mengumpulkan terlalu banyak perak dan emas bagi dirinya.
18 Apabila dia bersemayam di atas takhta kerajaannya, hendaklah dia menuliskan untuk dirinya salinan hukum ini menurut Kitab Suci Taurat yang ada pada para imam Lewi.
19 Hendaklah salinan itu sentiasa ada padanya dan hendaklah dibacanya seumur hidupnya, supaya dia belajar bertakwa kepada TUHAN, Allahnya, dengan berpegang teguh dan mengikut semua kata dalam hukum Taurat ini serta kanun-kanun ini.
20 Dengan demikian, tidaklah dia meninggikan diri terhadap para saudaranya dan tidak menyimpang daripada perintah itu, baik ke kanan mahupun ke kiri, sehingga lamalah tempoh pemerintahannya dan pemerintahan anak-anaknya dalam kalangan orang Israel.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Ulangan 17
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Ulangan 17

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV