1 Air anggur itu pencemuh, minuman keras itu membuat gaduh, sesiapa yang terperdaya olehnya sememangnya tidak bijaksana.
2 Murka raja laksana ngauman sang singa, sesiapa membangkitkan amarahnya, kehilangan nyawanya.
3 Terhormatlah orang yang menjauhi persengketaan, tetapi setiap orang yang bodoh suka berbantah.
4 Pada musim dingin si pemalas enggan membajak kerana kesejukan. Maka dia mencari hasil pada musim menuai dan tidak mendapat apa-apa.
5 Niat yang terkandung dalam hati manusia seumpama air yang dalam, tetapi orang yang berpengertian dapat menyelaminya.
6 Ramailah orang mencanangkan fasal kesetiaan mereka, tetapi siapakah yang dapat menemui orang yang betul-betul setia?
7 Orang benar yang hidup dalam keikhlasan, begitu berbahagia sekali keturunannya!
8 Raja yang duduk di atas kerusi pengadilan, menyingkirkan segala kejahatan dengan matanya.
9 Siapa dapat berkata, “Aku telah menyucikan hatiku, dan aku tahir daripada dosaku”?
10 Batu timbangan dan sukatan yang berbeza-beza, kedua-duanya kekejian bagi TUHAN.
11 Kanak-kanak pun dapat dikenal melalui perbuatannya, sama ada kelakuannya bersih dan jujur ataupun tidak.
12 Telinga yang mendengar dan mata yang melihat, kedua-duanya dijadikan oleh TUHAN.
13 Janganlah suka tidur, supaya engkau tidak menjadi miskin, bukalah matamu, maka engkau akan berlebihan makanan.
14 Kata si pembeli, “Tidak baik! Tidak baik!” tetapi setelah pergi berbanggalah dia.
15 Ada emas dan banyak batu permata, tetapi bibir yang berpengetahuan ialah permata yang paling bernilai.
16 Jika seseorang menjadi penjamin bagi orang lain, ambillah pakaiannya, dan tahanlah dia sebagai jaminan ganti orang asing.
17 Roti hasil tipu daya sedap rasanya bagi seseorang, tetapi kemudian mulutnya penuh dengan batu kerikil.
18 Rancangan terlaksana dengan adanya nasihat; dan berperanglah dengan pimpinan yang ampuh.
19 Seseorang yang ke sana ke mari sebagai pemfitnah membuka rahsia, maka janganlah bersekongkol dengan orang yang bocor mulut.
20 Sesiapa yang mengutuk ayahnya atau ibunya, pelitanya akan dipadamkan ketika gelap gelita.
21 Harta warisan yang mula-mulanya diperoleh dengan segera, akhirnya tidak diberkati.
22 Jangan berkata, “Aku hendak membalas kejahatan!” Nantikanlah TUHAN, maka Dia akan menyelamatkanmu.
23 Batu timbangan yang berbeza-beza adalah kekejian bagi TUHAN, dan neraca tipuan tidaklah baik.
24 Langkah-langkah manusia ditentukan oleh TUHAN. Maka bagaimana manusia dapat mengerti jalannya sendiri?
25 Terjeratlah seseorang yang terburu-buru mengatakan sesuatu itu “Suci,” dan hanya memikirkannya semula setelah dia bernazar.
26 Raja yang bijak menyingkirkan orang durjana, lalu mengirik mereka secara berulang-ulang.
27 Roh manusia seumpama pelita TUHAN, yang menyelami seluruh sanubarinya.
28 Kasih kurnia dan kesetiaan melindungi raja, belas kasihan pula menopang takhtanya.
29 Kemuliaan orang muda adalah kekuatannya, dan kehormatan tua-tua ialah uban mereka.
30 Bilur-bilur luka mengumbah kejahatan, dan pukulan pula membersihkan sanubari.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Amsal 20
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Amsal 20

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV