1 Nehemia anak Hakhalya meriwayatkan: Pada bulan Kislew tahun kedua puluh, ketika aku berada di kubu kota Susan,
2 datanglah Hanani, salah seorang saudaraku, bersama-sama beberapa orang dari Yehuda. Aku bertanya kepada mereka tentang orang Yahudi yang berjaya bolos, yang terselamat setelah pembuangan mereka, dan tentang Yerusalem.
3 Kata mereka kepadaku, “Saki-baki orang yang masih tinggal di wilayah sana, yang terselamat setelah pembuangan berada dalam kesusahan besar dan dalam keadaan tercela. Apatah lagi, tembok Yerusalem telah dirobohkan dan pintu-pintu gerbangnya musnah dijilat api.”
4 Sebaik sahaja mendengar perkataan itu, duduklah aku lantas menangis dan berkabung selama beberapa hari. Aku berpuasa dan berdoa di hadapan Allah semesta langit,
5 kataku, “Ya TUHAN, Allah semesta langit, Allah yang besar dan teramat hebat, yang berpegang teguh pada perjanjian-Nya serta kasih abadi-Nya terhadap orang yang mencintai-Nya dan menuruti segala perintah-Nya,
6 semoga telinga-Mu mendengar dan mata-Mu terbuka untuk mendengar doa hamba-Mu yang sekarang kupanjatkan di hadapan-Mu siang dan malam bagi orang Israel, para hamba-Mu. Aku mengaku bahawa kami, orang Israel, termasuk aku dan seisi keluargaku, telah berdosa terhadap Engkau.
7 Teramat fasiq kelakuan kami terhadap Engkau, dan kami tidak berpegang teguh pada segala perintah, segala ketetapan, dan segala peraturan yang telah Kausampaikan melalui hamba-Mu iaitu Musa.
8 Ingatlah firman yang telah Kauperintahkan kepada Musa, hamba-Mu, ‘Jika kamu berbuat mungkar, maka Aku akan menyelerakkan kamu antara bangsa lain.
9 Tetapi jika kamu kembali kepada-Ku dan berpegang teguh pada segala perintah-Ku serta melakukannya, maka sekalipun orangmu yang terbuang ada di hujung langit, Aku akan mengumpulkan mereka dari sana dan membawa mereka ke tempat yang telah Kupilih untuk membuat nama-Ku bersemayam di sana.’
10 Mereka ini ialah para hamba-Mu dan umat-Mu yang telah Kautebus dengan kuasa-Mu yang besar dan dengan kekuatan-Mu.
11 Ya Tuhan, semoga telinga-Mu mendengar doa hamba-Mu ini dan doa para hamba-Mu yang rela menghormati nama-Mu. Berikanlah kejayaan kepada hamba-Mu hari ini dan kurniakanlah belas ihsan kepadanya di hadapan orang ini.” Pada waktu itu aku menjadi jururasa santapan raja.