1 Sesiapa yang tinggal di tempat rahsia Yang Maha Tinggi akan menetap di bawah bayang-bayang Yang Maha Kuasa.
2 Aku akan berkata tentang TUHAN, “Dialah penaungku dan bentengku, Allahku, akan kupercaya kepada-Nya.”
3 Sesungguhnya, Dia akan melepaskan kamu daripada jerat pemikat dan wabak yang berbahaya.
4 Dia akan melitupimu dengan bulu-Nya, dan di bawah sayap-Nya kamu akan bernaung; kesetiaan-Nya akan menjadi perisai dan peneguhmu.
5 Engkau tidak akan takut kepada sesuatu yang ngeri sewaktu malam, atau anak panah yang meluru sewaktu siang,
6 atau wabak yang merayap dalam kegelapan, atau kemusnahan yang melanda pada waktu tengah hari.
7 Seribu orang mungkin rebah di sisimu, dan sepuluh ribu di sebelah kananmu, tetapi maut tidak akan mendekatimu.
8 Hanya dengan matamu kamu akan memandang dan melihat balasan kepada orang zalim.
9 Kerana engkau telah menjadikan TUHAN tempat engkau menetap – Yang Maha Tinggi tempat aku bernaung –
10 kejahatan tidak akan menimpamu, dan wabak tidak akan mendekati tempat tinggalmu.
11 Kerana Dia akan memerintahkan malaikat-malaikat-Nya menjagamu untuk memeliharamu walau di mana kamu berada.
12 Mereka akan menatangmu, supaya kakimu tidak tersandung batu.
13 Engkau akan memijak singa dan ular tedung; singa muda dan ular berbisa akan kaulanyak di bawah kaki.
14 “Kerana dia telah menumpukan kasihnya kepada-Ku, maka Aku akan melepaskannya; Aku akan meletakkannya di tempat tinggi, kerana dia mengetahui nama-Ku.
15 Dia akan berseru kepada-Ku, dan Aku akan menjawabnya; Aku akan menyertainya ketika dia dalam kesusahan, dan Aku akan melepaskannya dan memberinya penghormatan.
16 Dengan umur yang panjang Aku akan memberinya kepuasan dan menunjukkannya penyelamatan-Ku.”