1 Renungan Etan, orang Ezrahi. Aku akan menyanyi tentang kasih TUHAN selama-lamanya; dengan mulutku akan kuceritakan kesetiaan-Mu kepada semua keturunan zaman-berzaman.
2 Kerana aku telah berkata, “Kasih-Mu akan kekal selama-lamanya, kesetiaan-Mu akan Kauteguhkan hingga ke langit.”
3 Engkau berkata, “Aku telah membuat perjanjian dengan orang yang Kupilih, Aku telah berjanji kepada hamba-Ku Daud,
4 ‘Benihmu akan Kuteguhkan selama-lamanya dan takhtamu akan Kupeliharakan untuk keturunanmu zaman-berzaman.’ ” Sela
5 Seisi langit akan memuji keajaiban-Mu, ya TUHAN, kesetiaan-Mu juga dalam perhimpunan orang yang hidup suci.
6 Kerana siapa di langit yang dapat dibandingkan dengan TUHAN? Siapa antara anak orang berkuasa dapat disamakan dengan TUHAN?
7 Allah amat ditakuti dalam perhimpunan orang yang hidup suci; dan amat dihormati oleh semua yang di sekeliling-Nya.
8 Ya TUHAN, Allah alam semesta, siapakah yang berkuasa seperti-Mu? Ya TUHAN, kesetiaan-Mu juga di sekeliling-Mu.
9 Engkau menguasai gelora laut; apabila gelombangnya tinggi, Engkau menenangkannya.
10 Engkau telah meremukkan Rahab, seperti manusia yang dibunuh; Engkau telah menyebabkan musuh-Mu bertempiaran dengan lengan-Mu yang perkasa.
11 Langit milik-Mu, bumi juga milik-Mu; dunia dengan segala isinya, Engkau yang menjadikannya.
12 Utara dan selatan, Engkau yang menciptanya; Gunung Tabor dan Hermon bergembira dengan nama-Mu.
13 Engkau mempunyai lengan yang perkasa; tangan-Mu kuat dan tangan kanan-Mu tinggi.
14 Perbenaran dan keadilan adalah asas takhta-Mu; kasih dan kesetiaan berjalan di hadapan-Mu.
15 Diberkatilah orang yang mengenal bunyi bahagia itu, mereka melangkah, ya TUHAN, dalam cahaya wajah-Mu.
16 Dengan nama-Mu mereka bergembira sepanjang hari; dan dalam perbenaran-Mu mereka ditinggikan.
17 Kerana Engkau kemuliaan kekuatan mereka, dan dengan keredaan-Mu tanduk kami ditinggikan.
18 Perisai kami milik TUHAN, dan raja kami milik Yang Maha Suci Allah TUHAN Israel.
19 Kemudian Engkau berfirman melalui satu penglihatan kepada orang warak-Mu: “Aku telah memberi pertolongan kepada seorang yang perkasa; Aku telah mengangkat tinggi seorang yang dipilih daripada kalangan umat.
20 Aku telah menemui hamba-Ku Daud; dengan minyak suci-Ku telah Kuurapi dia.
21 Dengannya tangan-Ku akan diteguhkan; dan lengan-Ku akan menguatkan dia.
22 Musuh tidak akan dapat memperdayanya; dan anak kedurjanaan tidak akan dapat menyakitinya.
23 Aku akan menumbangkan musuhnya di hadapan matanya dan menyeksa mereka yang membencinya.
24 Kesetiaan-Ku dan kasih-Ku akan menyertainya, dan dengan nama-Ku tanduknya akan ditinggikan.
25 Juga Aku akan meletakkan laut di bawah tangannya, dan sungai-sungai di bawah tangan kanannya.
26 Dia akan berseru kepada-Ku, ‘Engkau Bapaku, Allahku, dan Batu Pejal, Penyelamatku.’
27 Aku juga akan menjadikannya anak sulung-Ku, tertinggi antara raja-raja di bumi.
28 Kasih-Ku akan Kuperuntukkan baginya untuk selama-lamanya, dan perjanjian-Ku akan berdiri teguh dengannya.
29 Benihnya juga akan Kukekalkan selama-lamanya, dan takhtanya berterusan seperti syurga.
30 “Jika anak cucunya meninggalkan hukum-Ku dan tidak hidup mengikut peraturan-Ku,
31 jika mereka melanggar ketetapan-Ku dan tidak mematuhi perintah-perintah-Ku,
32 Maka Aku akan menghukum keingkaran mereka dengan gada, dan dosa mereka dengan cemeti;
33 namun demikian, kasih-Ku tidak akan Kutarik sepenuhnya daripada mereka, dan kesetiaan-Ku tidak akan Kubiarkan lupus.
34 Perjanjian-Ku tidak akan Kumungkiri dan Aku tidak akan mengubah firman yang telah terbit daripada bibir-Ku.
35 Aku telah bersumpah demi kesucian-Ku – maka Aku tidak akan berdusta kepada Daud –
36 benihnya akan kekal selama-lamanya dan takhtanya seperti matahari di hadapan-Ku;
37 bertapak selama-lamanya seperti bulan, seperti saksi setia di langit.” Sela
38 Tetapi Engkau telah menyingkirkan dan membenci, Engkau telah murka akan orang yang Kauurapi.
39 Engkau telah membatalkan perjanjian dengan hamba-Mu; Engkau telah mencemarkan mahkotanya dengan menghumbankannya ke tanah.
40 Engkau telah memecahkan semua pagarnya; Engkau telah meranapkan semua bentengnya.
41 Semua orang yang lalu-lalang menyamun dia; dia menjadi celaan jiran-jirannya.
42 Engkau telah mengangkat tinggi tangan kanan seterunya; Engkau telah menyebabkan semua musuhnya bergembira.
43 Engkau telah membengkokkan hujung pedangnya dan tidak menyokongnya dalam pertempuran.
44 Engkau telah meluputkan kemuliaannya dan melontarkan takhtanya ke tanah.
45 Usia mudanya telah Kausingkatkan; Engkau telah memalukannya. Sela
46 Betapa lama, ya TUHAN? Adakah Engkau akan menyembunyikan diri-Mu selama-lamanya? Adakah kemurkaan-Mu akan terus menyala seperti api?
47 Ingatlah betapa singkat usiaku. Adakah Engkau telah mencipta anak-anak manusia untuk hidup sia-sia?
48 Manusia manakah dapat hidup dan tidak menemui maut, dapatkah dia melepaskan nyawanya daripada kuasa kubur? Sela
49 Ya Tuhan, di manakah kasih-Mu yang dahulu, yang telah Kaujanjikan kepada Daud dalam kesetiaan-Mu?
50 Ingatlah, ya Tuhan, celaan terhadap hamba-hamba-Mu, betapa dadaku menanggung celaan daripada segala bangsa,
51 musuh-Mu telah mencela, ya TUHAN, mereka telah mencela jejak langkah orang yang telah Kauurapi.
52 Pujilah TUHAN selama-lamanya! Amin, Amin.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Mazmur 89
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Mazmur 89

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV