1 Untuk pemimpin muzik. Mazmur suku Korah. TUHAN, Engkau telah meredai tanah-Mu; Engkau telah membawa Yakub pulang daripada tawanan.
2 Engkau telah mengampunkan dosa umat-Mu; Engkau telah menghapuskan semua dosa mereka. Sela
3 Engkau telah menarik balik segala kemurkaan-Mu Engkau telah berpaling daripada nyala kemarahan-Mu.
4 Pulihkanlah kami, ya Allah Penyelamat kami, dan padamkanlah kemarahan-Mu terhadap kami.
5 Akan marahkah Engkau kepada kami selama-lamanya? Akan Kauteruskankah kemarahan-Mu turun-temurun?
6 Tidakkah Engkau mahu memulihkan kami, supaya umat-Mu dapat bergembira kerana-Mu?
7 Tunjukkanlah kasih setia-Mu kepada kami, ya TUHAN, dan kurniai kami penyelamatan-Mu.
8 Aku akan mendengar firman Allah, TUHAN; kerana Dia akan melafazkan sejahtera kepada umat-Nya dan orang warak-Nya – tetapi janganlah mereka kembali kepada kebodohan mereka.
9 Sesungguhnya, penyelamatan-Nya dekat kepada mereka yang takut kepada-Nya, supaya kemuliaan menetap di tanah kita.
10 Kasih sayang dan kesetiaan telah bertemu; Perbenaran dan sejahtera telah berdakapan.
11 Kesetiaan akan muncul dari bumi, dan perbenaran akan memandang ke bawah dari syurga.
12 Ya, TUHAN akan memberikan apa yang baik, dan tanah kita akan bertambah makmur.
13 Perbenaran akan berjalan di hadapan-Nya dan menjadikan jejak langkah-Nya jalan untuk kita turuti.