1 Untuk pemimpin muzik. Menurut lagu: Gitit. Dari Mazmur Asaf. Menyanyilah dengan lantang untuk Allah kekuatan kita; bersoraklah dengan girang kepada Allah Yakub!
                                                                                                                            2 Nyanyikanlah lagu sambil memukul tamborin, bermain kecapi merdu serta gambus.
                                                                                                                            3 Tiuplah nafiri ketika Bulan Baru, dan semasa bulan purnama, pada hari perayaan kita yang luhur;
                                                                                                                            4 kerana ini adalah ketetapan bagi umat Israel, hukum Allah Yakub.
                                                                                                                            5 Dia menjadikannya sebagai suatu peraturan bagi Yusuf apabila Dia menjelajah seluruh tanah Mesir, di situ aku mendengar bahasa yang tidak kufahami.
                                                                                                                            6 Dia berkata, “Aku melepaskan bahunya daripada beban; tangan mereka dibebaskan daripada bakul.
                                                                                                                            7 Kamu menyeru-Ku ketika dalam kesusahan dan Aku melepaskan kamu, Aku menjawabmu di tempat rahsia guruh; Aku mengujimu di perairan Meriba. Sela
                                                                                                                            8 Dengarlah, wahai umat-Ku, Aku akan menegurmu – wahai Israel, kalaulah kamu mahu mendengar kata-Ku!
                                                                                                                            9 Tidak boleh ada tuhan asing dalam kalanganmu; dan kamu tidak boleh menyembah tuhan asing.
                                                                                                                            10 Akulah TUHAN, Allahmu, yang telah membawamu keluar dari Tanah Mesir. Bukalah mulutmu luas-luas, Aku akan memenuhinya.
                                                                                                                            11 “Tetapi umat-Ku enggan mendengar suara-Ku; dan Israel sama sekali tidak mahu menerima-Ku.
                                                                                                                            12 Oleh itu, Aku biarkan mereka mengikut hati mereka yang degil hidup menurut fikiran mereka sendiri.
                                                                                                                            13 “Kalaulah umat-Ku mahu mendengar-Ku, dan Israel mahu hidup menurut jalan-Ku,
                                                                                                                            14 tentu Aku segera menundukkan musuh mereka dan memalingkan tangan-Ku menentang musuh mereka!
                                                                                                                            15 Pembenci TUHAN pura-pura tunduk kepada-Nya, dan hukuman ke atas mereka kekal selama-lamanya.
                                                                                                                            16 Tentu diberi-Nya mereka makan gandum terbaik; dan dengan madu dari batu pejal tentu Kukenyangkan kamu.”