1 Mazmur Asaf. Sesungguhnya, Allah baik kepada Israel, kepada mereka yang murni hati.
2 Tetapi aku, kakiku hampir tersandung; langkahku hampir tergelincir.
3 Kerana aku iri hati kepada mereka yang bermegah apabila kulihat kemewahan orang zalim.
4 Mereka tidak sakit sebelum mati; kekuatan mereka tetap teguh.
5 Mereka tidak susah seperti orang lain; mereka tidak dirundung bencana seperti orang lain.
6 Oleh itu, mereka berkalungkan keangkuhan; keganasan menjadi pakaian mereka.
7 Hati mereka yang kejam penuh kejahatan; fikiran mereka yang durjana melampaui segala batas.
8 Mereka mencemuh orang dan merancang kejahatan serta penindasan; mereka bercakap sombong.
9 Mulut mereka lancang menentang syurga, lidah mereka bercakap bongkak kepada seisi bumi.
10 Maka orang mereka pulang ke sini dan air secawan penuh habis dihirup mereka.
11 Lalu mereka berkata, “Bagaimana Allah tahu? Adakah Yang Maha Tinggi mempunyai pengetahuan?”
12 Ketahuilah, mereka ini orang mungkar – yang sentiasa senang-lenang, mereka semakin kaya.
13 Sesungguhnya, aku telah menyucikan hatiku dengan sia-sia; dan membasuh tanganku dengan hati yang bersih.
14 Kerana sepanjang hari aku disakiti; dan dihukum setiap pagi.
15 Kalaulah aku telah berkata, “Aku akan bercakap begini,” ketahuilah, ertinya aku tidak jujur kepada keturunan anak-anak-Mu.
16 Apabila aku memikirkan bagaimana hendak memahami ini, terlalu pedih bagiku
17 hingga aku masuk ke tempat suci Allah; barulah aku mengerti tujuan mereka.
18 Sesungguhnya, Engkau membawa mereka ke tempat-tempat licin; Engkau menghumbankan mereka ke dalam kemusnahan.
19 Oh, betapa mereka ditimpa malapetaka, seperti dalam sekelip mata, mereka ketakutan!
20 Seperti mimpi apabila seseorang terjaga, demikianlah, ya Tuhan, apabila Engkau terjaga, Engkau akan meluat akan bentuk mereka.
21 Oleh itu, hatiku pilu dan fikiranku risau,
22 Aku begitu bodoh dan jahil; aku seperti seekor binatang di hadirat-Mu.
23 Namun demikian, aku sentiasa bersama-Mu; Engkau memegang tangan kananku.
24 Engkau akan memandu aku dengan bimbingan-Mu, dan kemudian menerimaku ke dalam kemuliaan.
25 Siapa yang ada untukku di syurga melainkan Engkau? dan tiada siapa di bumi yang kuingini selain Engkau.
26 Tubuh dan hatiku layu, tetapi Allah kekuatan hatiku dan untukku selama-lamanya.
27 Kerana sesungguhnya, mereka yang jauh daripada-Mu akan binasa; Engkau telah memusnahkan kesemua mereka yang meninggalkan-Mu untuk melacurkan diri.
28 Tetapi sungguh baik bagiku mendekati Allah. Aku telah menjadikan Tuhan ALLAH tempat aku bernaung; supaya aku dapat mengisytiharkan semua hasil kerja-Mu.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Mazmur 73
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Mazmur 73

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV