1 Doa minta tolong. Kepada-Mu, ya TUHAN, aku berlindung; jangan biarkan aku menanggung malu.
2 Selamatkanlah aku dalam perbenaran-Mu dan biar aku melepaskan diri; dengarlah rayuanku, dan selamatkan aku.
3 Jadilah batu pejal perlindunganku yang perkasa, tempat aku bernaung setiap waktu; Engkau telah memberikan perintah supaya aku diselamatkan, kerana Engkaulah batu pejal dan kubuku.
4 Selamatkanlah aku, ya Allahku, daripada tangan orang zalim, daripada tangan orang durjana dan kejam.
5 Kerana Engkaulah harapanku, ya Tuhan yang perkasa; Ya TUHAN, Engkaulah kepercayaanku sejak daripada usia mudaku.
6 Kepada-Mu aku bersandar sejak kelahiran; Engkaulah yang membawaku keluar daripada rahim ibuku. Aku akan sentiasa memuji-Mu.
7 Aku telah menimbulkan takjub orang ramai, tetapi Engkau pelindungku yang perkasa.
8 Biarlah aku sentiasa memuji-Mu, dan mengisytiharkan kemuliaan-Mu sepanjang hari.
9 Janganlah singkirkan aku dalam usia tua; jangan tinggalkan aku ketika kekuatanku hilang.
10 Kerana musuhku mencerca aku; dan mereka yang mengendap untuk meragut nyawaku berpakat sama sendiri.
11 Mereka berkata, “Allah telah meninggalkan dia; buru dan tangkaplah dia, kerana tiada siapa yang akan menyelamatkannya.”
12 Ya Allah, janganlah jauh daripadaku; Ya Allahku, segeralah tolong aku.
13 Biar mereka dicela dan dihina; mereka yang cuba mencederakan aku akan dihina dan diaibkan.
14 Aku akan sentiasa berharap; dan akan lebih-lebih lagi memuji-Mu.
15 Lidahku akan menuturkan perbenaran-Mu, dan penyelamatan-Mu sepanjang hari, meski aku tidak dapat menduga batas-batasnya.
16 Aku akan mengisytiharkan perbuatan-Mu, ya Tuhan ALLAH yang perkasa; aku akan menyebut perbenaran-Mu, yang hanya milik-Mu.
17 Ya Allah, Engkau telah mengajarku sejak daripada usia mudaku, dan hingga hari ini aku tetap mengisytiharkan perbuatan-Mu yang menakjubkan.
18 Kini aku sudah tua dan rambutku putih, Ya Allah, jangan tinggalkan aku, kuisytiharkan kuasa-Mu kepada orang zaman ini, kekuatan-Mu kepada semua keturunan yang akan datang.
19 Perbenaran-Mu, ya Allah, mencecah langit, Engkau telah membuat perkara yang besar-besar. Ya Allah, siapa yang serupa dengan-Mu?
20 Engkau yang telah memberiku penderitaan yang pedih, Engkau akan memulihkan aku; dan membawaku naik semula dari perut bumi.
21 Engkau akan menambah kebesaranku dan melipurkan hatiku sepenuhnya.
22 Dengan kecapi aku akan memuji-Mu bagi kesetiaan-Mu, ya Allahku; Untuk-Mu aku akan menyanyi sambil bermain kecapi, Ya Allah Israel, ya Allah Yang Maha Suci.
23 Bibirku bergembira menyanyi untuk-Mu – begitu juga jiwaku yang telah Kauselamatkan.
24 Lidahku akan menuturkan kebenaran-Mu sepanjang hari, kerana mereka telah dikelirukan dan mereka telah dimalukan, mereka yang cuba mencederakan aku.