1 Untuk pemimpin muzik. Menurut lagu “Bunga Bakung.” Mazmur Daud. Selamatkanlah aku, ya Allah, kerana air sudah naik ke leherku.
2 Aku tenggelam dalam air lumpur yang dalam, aku tidak dapat berjejak. Aku telah masuk ke air yang dalam; dan aku hampir lemas.
3 Aku lesu meratap; kerongkongku kering. Mataku kelam, menanti Allahku.
4 Mereka yang membenciku tanpa alasan lebih banyak daripada rambut di kepalaku; mereka yang hendak membinasakan aku amat berkuasa, mereka memusuhiku sedangkan aku tidak bersalah. Meski aku tidak mencuri apa-apa aku dipaksa membayar.
5 Ya Allah, Engkau mengetahui kebodohanku; dan dosa-dosaku tidak tersembunyi daripada-Mu.
6 Jangan biarkan orang yang menanti-Mu menanggung malu keranaku, Ya Tuhan, ALLAH alam semesta; jangan biarkan mereka yang mencari-Mu menjadi kelam-kabut keranaku, Ya Allah Israel.
7 Kerana-Mu aku telah menerima celaan, keaiban telah menyaluti mukaku.
8 Aku telah menjadi orang asing kepada saudara-saudaraku, orang luar kepada anak-anak ibuku;
9 kerana kasihku terhadap rumah-Mu membakar hatiku, lalu segala celaan daripada mereka yang mencela-Mu telah menimpaku.
10 Apabila aku menangis dan membersihkan jiwaku dengan berpuasa, aku dicela kerananya;
11 ketika aku mengenakan pakaian penyesalan dosa, mereka mengejek aku.
12 Orang yang duduk di pintu pagar mengumpat aku, dan aku menjadi bahan nyanyian orang mabuk.
13 Tetapi aku tetap berdoa kepada-Mu, ya TUHAN, pada masa yang Kauredai; Ya Allah, dengan limpah kasih-Mu, dengarlah rayuanku demi kebenaran penyelamatan-Mu.
14 Selamatkanlah aku daripada perangkap lumpur, jangan biarkan aku tenggelam; selamatkan aku daripada mereka yang membenciku, dan daripada air yang dalam.
15 Jangan biarkan ombak melemaskan aku jangan biarkan aku terbenam ke dasar laut atau lubang kubur menelanku.
16 Dengarlah rayuanku, ya TUHAN, kerana kasih-Mu sungguh besar; berpalinglah kepadaku demi limpah belas kasihan-Mu.
17 Jangan sembunyikan wajah-Mu daripada hamba-Mu; kerana aku dalam kesusahan, segeralah kabulkan doaku.
18 Dekatilah aku, selamatkan aku; lepaskan aku daripada musuhku.
19 Engkau tahu bagaimana aku dicela, dimalukan dan dihina; musuhku semuanya berada di hadapan-Mu.
20 Celaan mematahkan hatiku dan aku menanggung kepiluan; kucari orang yang kasihan, tiada seorang pun kutemui, kucari orang yang melipurkan, tidak kujumpai.
21 Mereka memberi aku hempedu untuk dimakan dan apabila aku dahaga, mereka memberiku cuka untuk diminum.
22 Biarlah mereka terjerat oleh jamuan sendiri; dan terperangkap oleh kesenangan sendiri.
23 Kelamlah mata mereka, supaya mereka buta, dan biarlah pinggang mereka lemah menggeletar.
24 Curahkan kemurkaan-Mu ke atas mereka; dan biarkan keberangan-Mu memusnahkan mereka.
25 Biar tempat tinggal mereka lengang dan sepi; dan khemah-khemah mereka tiada penghuni.
26 Kerana mereka menganiaya orang yang telah Kauhukum dan memperkatakan kesedihan orang yang telah Kaulukakan.
27 Tambahkan lagi kejahatan mereka; jangan biarkan mereka menyertai penyelamatan-Mu.
28 Biar mereka dipadamkan daripada buku orang yang hidup dan tidak tersurat bersama orang yang benar.
29 Aku daif dan hiba; selamatkanlah aku, ya Allah, supaya aku dilindungi.
30 Aku akan memuji nama Allah dengan nyanyian dan membesarkan-Nya dengan lafaz kesyukuran.
31 Ini akan mendapat keredaan TUHAN lebih daripada persembahan korban lembu jantan, yang bertanduk dan berkuku.
32 Orang yang rendah hati akan melihatnya dan bersukacita – dan kamu yang mencari Allah, hatimu akan pulih!
33 Kerana TUHAN mendengar rayuan orang miskin dan tidak menyingkiri umat-Nya yang dipenjarakan.
34 Biar langit dan bumi memuji-Nya, begitu juga lautan dan segala hidupan di dalamnya,
35 kerana Allah akan menyelamatkan Sion dan membina semula kota-kota Yehuda. Supaya umat-Nya tinggal di sana dan memilikinya;
36 keturunan hamba-hamba-Nya akan mewarisi tempat itu, dan mereka yang mengasihi nama-Nya akan tinggal di situ.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Mazmur 69
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Mazmur 69

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV