1 Untuk pemimpin muzik. Mazmur Daud. Sebuah nyanyian. Semoga Allah bangkit, semoga musuh-Nya bertempiaran; semoga semua yang membenci-Nya lari daripada-Nya.
2 Seperti angin meniup asap, Ya Allah usirkan mereka; seperti lilin dilebur oleh api, semoga orang zalim binasa di hadapan Allah.
3 Biar orang yang benar bersukacita; biar mereka bergembira di hadapan Allah; ya, biar mereka bergembira tidak terhingga.
4 Menyanyilah untuk Allah, nyanyikan pujian untuk nama-Nya, sanjungi Dia yang memerintah awan – nama-Nya TUHAN – bergembiralah di hadirat-Nya.
5 Dialah bapa kepada anak yatim, pelindung kepada balu, Dialah Allah di tempat bersemayam-Nya yang suci.
6 Allah meletakkan mereka yang sebatang kara dalam lingkungan keluarga, Dia melepaskan mereka yang terikat dan memberi mereka kemakmuran; tetapi orang yang memberontak akan menetap di tanah tandus.
7 Ya Allah, apabila Engkau memimpin umat-Mu, Engkau menyeberangi gurun, Sela
8 bumi bergempa, langit menurunkan hujan kerana kehadiran Allah, Sinai terharu dengan kedatangan Allah, Allah Israel.
9 Engkau, ya Allah, menghantar hujan lebat; untuk mengesahkan warisan pusaka-Mu, umat-Mu yang lesu menderita.
10 Umat-Mu tinggal di situ, Engkau, ya Allah, memberi rahmat-Mu kepada mereka yang miskin melarat.
11 TUHAN menurunkan firman, maka sungguh besar perhimpunan orang yang mengisytiharkannya:
12 “Raja-raja yang memimpin tentera melarikan diri, mereka lari; kaum perempuan di rumah membahagikan rampasan.
13 Walaupun engkau baring di antara kawanan domba, engkau seperti sayap merpati disalut perak, dan bulunya disalut emas tulen.”
14 Ketika Allah Yang Maha Kuasa mengusir raja-raja bertempiaran, kelihatan seputih salji di Zalmon.
15 Gunung Basan sebuah gunung Allah; Gunung Basan banyak puncaknya.
16 Mengapa kamu iri hati, hai gunung-gunung yang berpuncak banyak? Allah memilih gunung ini untuk kediaman-Nya, ya, TUHAN akan berada di sini selama-lamanya.
17 Allah memiliki dua puluh ribu pedati malah ribuan ribu; datangnya Tuhan ke Sinai, ke tempat suci.
18 Engkau telah naik ke tempat yang tinggi, Engkau membawa orang tawanan; Engkau menerima persembahan dalam kalangan manusia, malah daripada pemberontak – supaya TUHAN Allah akan tinggal di sana.
19 Segala puji bagi Tuhan, Allah Penyelamat kita, yang setiap hari memikul beban kita. Sela
20 Allah kita, Allah Penyelamat; dan daripada ALLAH, Tuhan ada kebebasan daripada kematian.
21 Tetapi Allah akan mencederakan kepala musuh-Nya, mereka yang terus melakukan dosa.
22 Tuhan telah berfirman, “Aku akan membawa mereka pulang dari Basan; Aku akan membawa mereka pulang dari lautan dalam,
23 supaya kakimu dapat meremukkan mereka dalam lumuran darah, dan anjingmu menjilat habuannya daripada musuhmu.”
24 Mereka telah melihat perarakan-Mu, ya Allah, perarakan Allahku, Rajaku ke khemah-Mu.
25 Para biduan berjalan di hadapan, pemain alat muzik di belakang; antara mereka gadis-gadis bermain tamborin.
26 Pujilah Allah dalam semua perhimpunan; pujilah TUHAN wahai umat daripada perhimpunan Israel.
27 Suku Benyamin yang terkecil berjalan dahulu, diikuti ketua-ketua Yehuda dan pengikut mereka, kemudian ketua-ketua Zebulon dan Naftali.
28 Allahmu telah memerintahkan supaya kami diberi kekuatan; Kukuhkanlah, ya Allah, segala yang telah Kaulakukan; segala yang telah Kaulakukan untuk kami.
29 Kerana Bait Suci-Mu di Yerusalem raja-raja membawa persembahan untuk-Mu.
30 Murkailah bangsa yang seperti binatang liar di rumput air, dan bangsa-bangsa yang seperti lembu jantan bersama anak-anaknya. Sehingga semuanya tunduk mempersembahkan perak kepada-Mu. Usirlah pencinta perang sehingga bertempiaran.
31 Para utusan akan dihantar dari Mesir; Kush akan segera menghulur tangan kepada Allah.
32 Bernyanyilah untuk Allah, hai kerajaan-kerajaan di bumi, nyanyikan puji-pujian kepada Tuhan, Sela
33 kepada Dia pemerintah langit purba tertinggi, sesungguhnya Dia berfirman dengan penuh kekuasaan.
34 Isytiharkan kekuatan Allah, keunggulan-Nya memerintah Israel, dan kekuatan-Nya di angkasa.
35 Ya Allah, Engkau lebih menakjubkan daripada tempat-tempat suci-Mu; Allah Israel memberi kekuatan dan kekuasaan kepada umat-Nya. Segala puji bagi Allah!