1 Untuk pemimpin muzik. Dengan iringan seruling. Mazmur Daud. Dengarlah kata-kataku, ya TUHAN, pertimbangkan keluhanku.
2 Dengarlah jeritanku meminta tolong, wahai Rajaku dan Allahku, kerana kepada-Mu aku berdoa.
3 Pada waktu pagi, ya TUHAN, Kaudengar suaraku; pada waktu pagi kulafazkan permohonanku ke hadirat-Mu lalu menanti dengan harapan.
4 Engkau bukanlah Allah yang suka akan kejahatan; dengan-Mu orang zalim tidak dapat tinggal.
5 Orang angkuh tidak dapat berdiri di hadirat-Mu; Engkau benci akan semua yang berbuat jahat.
6 Engkau membinasakan orang yang berdusta; orang yang suka menumpahkan darah dan memperdaya dibenci oleh TUHAN.
7 Tetapi aku, dengan limpah belas kasihan-Mu, akan masuk ke rumah-Mu; dengan sepenuh hormat aku akan tunduk ke arah Bait Suci-Mu.
8 Pimpinlah aku, ya TUHAN, dalam perbenaran-Mu kerana musuh-musuhku – luruskanlah jalan-Mu di hadapanku.
9 Tiada sepatah kata pun daripada mulut mereka dapat dipercayai; hati mereka dipenuhi pembinasaan. Kerongkong mereka seperti kubur terbuka; lidah mereka menuturkan tipu daya.
10 Isytiharkan mereka bersalah, ya Allah! Biarkan pakatan sulit mereka menjatuhkan mereka. Singkirkan mereka kerana dosa mereka yang banyak, kerana mereka telah menderhaka terhadap-Mu.
11 Tetapi biarlah semua orang yang bernaung kepada-Mu bersukacita; biar mereka sentiasa bernyanyi kegembiraan. Berilah mereka perlindungan-Mu, supaya orang yang mengasihi nama-Mu dapat bersukacita dalam-Mu.
12 Kerana, ya TUHAN, tentulah Engkau memberkati orang yang benar; Engkau melindungi mereka dengan kemurahan-Mu seperti dengan perisai.