1 Untuk pemimpin muzik. Renungan puak Korah. Kami telah mendengar dengan telinga kami sendiri, ya Allah; nenek moyang kami menceritakan kepada kami perbuatan yang Kaulakukan pada zaman mereka, zaman dahulukala.
2 Engkau telah mengusir bangsa-bangsa asing dengan tangan-Mu lalu menempatkan umat-Mu di tanah ini; Engkau menurunkan bala kepada bangsa-bangsa asing dan menyingkiri mereka.
3 Umat-Mu tidak menakluki tanah ini dengan pedang mereka, dan tidak menyelamatkan diri dengan kekuatan mereka sendiri; yang melakukannya ialah tangan kanan-Mu, kekuatan-Mu dan cahaya wajah-Mu, kerana Engkau meredai mereka.
4 Engkau Rajaku, ya Allahku, perintahkanlah kemenangan untuk Yakub.
5 Melalui Engkau kami akan menumbangkan musuh kami; dengan nama-Mu kami akan menakluki orang yang menyerang kami.
6 Aku tidak akan percaya kepada busurku, atau pedangku untuk menyelamatkan kami daripada musuh kami;
7 tetapi Engkau telah menyelamatkan kami daripada musuh kami, dan memalukan mereka yang membenci kami.
8 Kami memegahkan Allah sepanjang hari, dan memuji nama-Mu selama-lamanya. Sela
9 Tetapi sekarang Engkau menyingkiri dan memalukan kami; dan Engkau tidak bersama tentera kami.
10 Engkau membuat kami berundur apabila diserang musuh, dan mereka yang membenci kami merampas harta kami.
11 Engkau membiarkan kami disembelih seperti domba dan mencerai-beraikan kami dalam kalangan bangsa-bangsa.
12 Engkau menjual umat-Mu dengan harga picisan, dan tidak mendapat untung daripada jualan itu.
13 Engkau menjadikan kami bahan ejekan jiran kami, penghinaan dan cemuhan semua orang sekeliling kami.
14 Engkau membuat kami buah mulut bangsa-bangsa; mereka menggeleng kepala mengumpat kami.
15 Aku sentiasa sedar akan maruahku yang tercemar, dan keaiban yang terpalit di mukaku
16 kerana suara orang yang mengejek dan mencaci, kerana suara musuh dan pendendam.
17 Segala ini telah menimpa kami, tetapi kami tidak melupakan-Mu dan tidak mengkhianati perjanjian dengan-Mu.
18 Hati kami tidak berpaling tadah; dan langkah kami tidak meninggalkan jalan-Mu.
19 Tetapi Engkau meninggalkan kami untuk dimakan serigala dan meliputi kami dengan bayangan maut.
20 Kalaulah kami telah melupakan nama Allah kami atau menghulur tangan menyembah tuhan asing,
21 tidakkah Allah mengetahuinya, kerana Dia tahu akan segala rahsia hati?
22 Namun kerana-Mu kami menghadapi maut sepanjang hari; kami dianggap sebagai domba untuk disembelih.
23 Bangunlah! Mengapa Engkau tidur, ya Tuhan? Bangkitlah! Jangan singkirkan kami selama-lamanya.
24 Mengapa Kausembunyikan wajah-Mu, dan Kaulupakan penderitaan serta penindasan yang menimpa kami?
25 Jiwa kami tersungkur di debu; tubuh kami terlekap ke tanah.
26 Bangkitlah untuk menolong kami; dan tebuslah kami demi kasih setia-Mu.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Mazmur 44
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Mazmur 44

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV