1 Untuk pemimpin muzik. Untuk Yedutun. Mazmur Daud. Aku telah berkata, “Aku akan menjaga langkahku takut nanti aku berdosa dengan lidahku; Aku akan mengekang mulutku ketika orang zalim di hadapanku.”
2 Aku senyap membisu, kebaikan pun tidak kututurkan, lalu kesedihanku berkecamuk.
3 Hatiku panas, ketika aku bermenung, apinya menyala; lalu lidahku berkata:
4 “Ya TUHAN, tunjukkanlah aku bila ajalku dan berapa lama aku akan hidup; supaya aku tahu betapa fananya aku.
5 Sememangnya Engkau telah membuat hidupku begitu singkat; dan usiaku bagaikan tiada bagi-Mu. Sebenarnya manusia dalam keadaan terbaik pun hanyalah sehembus nafas. Sela
6 Sesungguhnya, setiap manusia melangkah seperti bayang-bayang: Sesungguhnya, dia sibuk dengan sia-sia; dia menimbun harta, dan tidak tahu siapa mendapatnya nanti.
7 Sekarang, ya Tuhan, apa yang kunantikan? Harapanku tertumpu kepada-Mu.
8 Bebaskanlah aku daripada segala dosaku; jangan biarkan aku diejek oleh orang bodoh.
9 Aku membisu; aku tidak membuka mulutku, kerana Engkau yang melakukannya.
10 Sembuhkanlah penyakit yang Kautimpakan kepadaku; aku binasa di bawah hukuman-Mu.
11 Apabila Engkau memurkai dan menghukum manusia kerana dosa mereka; Engkau membuat kehebatannya lenyap seperti terbangnya rama-rama – sesungguhnya setiap manusia itu hanya sehembus nafas. Sela
12 “Dengarlah doaku, ya TUHAN, dengarlah rayuanku; jangan berdiam diri melihat air mataku. Kerana aku orang asing bagi-Mu, menumpang untuk sementara, seperti nenek moyangku.
13 Alihkan renungan tajam-Mu daripadaku, supaya tenagaku pulih sebelum aku pergi dan tiada lagi.”