1 Bergembiralah tentang TUHAN, wahai orang yang benar; kerana pujian daripada orang tulus sungguh indah.
2 Pujilah TUHAN dengan bermain kecapi; mainkan lagu untuk-Nya dengan alat bertali sepuluh.
3 Nyanyikan lagu baru untuk-Nya; mainkan dengan mahir sekali sambil bersorak ria.
4 Kerana firman TUHAN itu benar; dan semua kerja-Nya dilakukan dengan kesetiaan.
5 TUHAN mencintai perbenaran dan keadilan; bumi ini dipenuhi kasih setia-Nya.
6 Dengan firman TUHAN langit telah dicipta, dan seluruh cakerawala dengan perintah-Nya.
7 Dia menghimpunkan air segala lautan; Dia menyimpan khazanah lautan dalam perbendaharaan.
8 Takutilah TUHAN, hai seluruh bumi; gerunlah kepada-Nya, hai semua penghuni dunia.
9 Kerana Dia berfirman, lalu segalanya terjadi; Dia memberikan perintah, lalu segalanya teguh.
10 TUHAN mematahkan rancangan bangsa-bangsa; Dia menjadikan niat mereka sia-sia.
11 Rancangan TUHAN bertapak selama-lamanya, niat hati-Nya bagi manusia zaman-berzaman.
12 Diberkatilah bangsa yang Allah mereka ialah TUHAN, mereka yang telah dipilih sebagai milik-Nya.
13 TUHAN memandang dari syurga Dia melihat semua anak manusia;
14 dari tempat bersemayam-Nya Dia memandang semua penghuni bumi –
15 Dia membentuk hati setiap orang, Dia mempertimbangkan seluruh perbuatan mereka.
16 Tiada raja yang diselamatkan oleh tentera yang besar; orang gagah perkasa tidak dapat diselamatkan oleh kekuatan yang hebat.
17 Kuda yang diharapkan untuk menyelamatkan pasti mengecewakan; kekuatannya yang hebat tidak akan menyelamatkan sesiapa.
18 Lihatlah, TUHAN menumpukan perhatian kepada mereka yang takut kepada-Nya, kepada mereka yang berharapkan kasih setia-Nya,
19 untuk menyelamatkan mereka daripada maut, dan membolehkan mereka hidup ketika berlaku kebuluran.
20 Jiwa kita berharap akan TUHAN; Dialah penolong dan perisai kita.
21 Hati kita akan bergembira kerana Dia, sebab kita percaya akan nama-Nya yang suci.
22 Limpahi kami dengan kasih setia-Mu, ya TUHAN, sebagaimana kami berharap kepada-Mu.