1 Untuk pemimpin muzik. Mazmur Daud. Kepada-Mu, ya TUHAN, aku berlindung; jangan biarkan aku menanggung malu; selamatkanlah aku kerana perbenaran-Mu.
2 Condongkan telinga-Mu kepadaku, selamatkanlah aku dengan segera; jadilah batu pejal tempat aku berlindung, kubu pertahanan untuk keselamatanku.
3 Kerana Engkaulah batu pejal dan kubuku; oleh itu, demi nama-Mu, bimbing dan pandulah aku.
4 Lepaskan aku daripada jerat yang dipasang mereka untukku dalam rahsia, kerana Engkaulah kekuatanku.
5 Ke dalam tangan-Mu kuserahkan rohku; Engkau telah menebusku, Ya TUHAN, Allah yang setia.
6 Aku membenci penyembah berhala yang tidak berguna; aku percaya kepada TUHAN.
7 Aku akan gembira dan bersukacita dengan kasih-Mu, kerana Engkau melihat penderitaanku; Engkau tahu segala kesusahan yang menimpaku.
8 Engkau tidak menyerahkan aku ke dalam cengkaman musuh; Engkau telah menjejakkan kakiku di tempat yang lapang.
9 Kasihanilah aku, ya TUHAN, kerana aku dalam kesusahan; mataku kian musnah oleh kesedihan, ya, seluruh jiwa ragaku.
10 Kerana hidupku habis dengan berduka dan usiaku dengan mengeluh; kekuatanku hilang akibat dosaku, dan tulang-tulangku semakin rapuh.
11 Aku dicemuh oleh segala musuhku, tetapi lebih-lebih lagi oleh jiran tetanggaku; aku dipandang jijik oleh kenalanku – sesiapa melihatku di jalan lari daripadaku.
12 Aku dilupakan seperti orang yang sudah mati, luput dari ingatan; aku seperti sebuah bekas yang pecah.
13 Aku mendengar ramai orang memfitnahku; ketakutan mengepungku; mereka sedang berpakat menentangku mereka merancang untuk meragut nyawaku.
14 Namun aku tetap percaya kepada-Mu, ya TUHAN; aku berkata, “Engkaulah Allahku.”
15 Usiaku berada dalam tangan-Mu; selamatkanlah aku daripada segala musuhku dan daripada mereka yang memburuku.
16 Limpahkan cahaya wajah-Mu ke atas hamba-Mu; selamatkan aku demi kasih setia-Mu.
17 Jangan biarkan aku malu, ya TUHAN, kerana aku telah berseru kepada-Mu; biarlah orang zalim ditimpa malu biarlah mereka membisu dalam kubur.
18 Biar lidah mereka yang berdusta dikelukan, lidah yang menuturkan kata-kata biadab dengan sombong dan menghina terhadap orang yang benar.
19 Betapa limpahnya kebaikan-Mu, yang telah Kausediakan untuk mereka yang takut kepada-Mu, yang telah Kausiapkan di hadapan manusia untuk mereka yang berlindung dalam-Mu.
20 Engkau akan menyembunyikan mereka dalam naungan hadirat-Mu daripada pakatan jahat manusia; Engkau akan menyembunyikan mereka di tempat selamat daripada serangan lidah manusia.
21 Segala puji bagi TUHAN, kerana Dia telah menunjukkan aku kebaikan-Nya yang menakjubkan ketika aku di kota yang dikepung.
22 Kerana aku telah berkata dengan tidak sabar, “Aku telah disingkirkan daripada pandangan-Mu!” Namun Engkau mendengar suaraku merayu apabila aku berseru kepada-Mu.
23 Kasihilah TUHAN, wahai umat-Nya yang warak! Kerana TUHAN memeliharakan orang yang setia, dan membalas sepenuhnya orang yang angkuh.
24 Tabahkan dirimu, teguhkan hatimu, semua kamu yang berharap kepada TUHAN.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Mazmur 31
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Mazmur 31

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV